Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Friday, 18 July 2014

5 gol paling cantik di Piala Dunia 2014

BINTANG Belanda, Robin van Persie menjaringkan salah satu gol paling menarik dalam Piala Dunia menerusi tandukan, dan penyerang Colombia, James Rodriguez merembat salah satu gol dengan gaya paling spektakular dalam kejohanan kali ini.

Berikut merupakan lima jaringan yang dianggap paling cantik dalam kejohanan Piala Dunia Brazil 2014 yang berakhir dengan Jerman muncul juara setelah menewaskan Argentina 1-0 dalam perlawanan akhir kelmarin.

ROBIN van Persie melayangkan badan untuk menanduk bola bagi mencipta 'gol ajaib' ketika Belanda bertemu Sepanyol dalam perlawanan peringkat Kumpulan B pada 13 Jun. - AFP

- ROBIN VAN PERSIE

Belanda lwn Sepanyol,

Kumpulan B

Salvador, 13 Jun
Gol 'ajaib' pertama Piala Dunia 2014, yang dipilih oleh kebanyakan pengulas sebagai gol terbaik. Dengan Belanda ketinggalan 1-0, Daley Blind membuat sepakan lintang ke kotak penalti. Van Persie mengagak arah bola dengan tepat, dan melayangkan badan untuk membuat tandukan lambung dan bola melepasi penjaga gol Iker Casillas dan memasuki gawang. Itu bukan sahaja salah satu gol tercantik kejohanan, malah menjadi pemangkin kepada kejayaan Belanda menewaskan Sepanyol 5-1.


TIM Cahill (kiri) merembat gol pertama pasukannya ketika bertemu Belanda dalam perlawanan peringkat Kumpulan B pada 18 Jun. - AFP

- TIM CAHILL

Australia lwn Belanda,

Kumpulan B

Porto Alegre, 18 Jun
Australia dianggap sukar untuk melepasi Kumpulan B, di mana lawan mereka pada pusingan pertama adalah Belanda, Sepanyol dan Chile. Walaupun mereka telah kalah seperti yang dijangkakan, penyerang veteran Tim Cahill memberi pasukannya satu detik kenangan pada kejohanan tersebut dengan menjaringkan gol yang hebat pada minit ke-21. Berlari untuk menyambut hantaran bola jauh, pemain berusia 34 tahun itu melepaskan rembatan voli yang menggerunkan dan bola terkena bahagian bawah palang lantas menerjah jaring.


LIONEL Messi (kanan) membuat sepakan lencong dari luar kotak penalti untuk menjaringkan gol kemenangan Argentina ketika bertemu Iran dalam perlawanan peringkat Kumpulan F pada 21 Jun lalu. - REUTERS

- LIONEL MESSI

Argentina lwn Iran, Kumpulan F

Belo Horizonte, 21 Jun
Iran kelihatan telah bertahan dengan cemerlang untuk mendapatkan sekurang-kurangnya satu mata ketika menentang pasukan kuat, Argentina. Malah pada satu ketika mereka mampu mendapatkan gol kemenangan. Tetapi ketika perlawanan memasuki masa kecederaan, dan penyokong Argentina hampir terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri tanpa jaringan, Messi membuktikan kehebatannya untuk menjaringkan gol kemenangan. Menyambut bola di sudut kanan kotak penalti, dia menggelecek seorang pemain pertahanan dan menendang bola dengan kaki kiri yang menggegarkan jaring.


JAMES Rodriguez (kiri) melepaskan rembatan jarak jauh selepas mengawal bola dengan dadanya ketika bertemu Uruguay di pusingan kedua pada 28 Jun. - AFP

- JAMES RODRIGUEZ

Colombia lwn Uruguay,

pusingan kedua

Rio de Janeiro, 28 Jun
Pemain berusia 22 tahun Rodriguez telah memenangi hati peminat dengan kemahirannya ketika menyerang di peringkat kumpulan, di mana dia telah menjaringkan tiga gol. Tetapi dia meningkatkan taraf dirinya ke tahap lebih hebat apabila menjaringkan gol dengan cukup bergaya di Stadium Maracana sewaktu bertemu Uruguay di peringkat 16 pasukan terakhir. Menyambut bola dengan dadanya 22 meter dari gawang, pemain nombor 10 Colombia itu membiarkan bola dan kemudian melepaskan voli yang tidak mampu dihalang apabila bola meluru ke bawah palang gol dan memasuki jaring.


MARIO Goetze (kiri) membuat sepakan voli untuk menjaringkan gol kemenangan Jerman ketika bertemu Argentina dalam perlawanan akhir Piala Dunia di Stadium Maracana, Rio de Janeiro kelmarin. - REUTERS

- MARIO GOETZE

Jerman lwn Argentina,

perlawanan akhir

Rio de Janeiro, 14 Julai
GOETZE bermula sebagai salah seorang pemain dalam kesebelasan utama pasukan dibimbing oleh Joachim Loew tetapi kemudiannya kehilangan tempat dalam skuad itu. Tetapi apabila dimasukkan sebagai pemain gantian pada penghujung perlawanan pemain berusia 22 tahun itu tidak mengecewakan. Andre Schuerrle membuat larian dan hantaran lintangnya telah disambut oleh Goetze dengan dadanya sebelum membuat rembatan voli untuk gol kemenangan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140716/sl_10/5-gol-paling-cantik-di-Piala-Dunia-2014#ixzz37mgWqrNS  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: