Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday 21 July 2014

Perlu tegas cari kebenaran MH17

Oleh Azmi Hassan

Hanya serpihan bangkai pesawat yang berkecai dapat dilihat di lokasi MH17 terhempas di perkampungan Grabovo di wilayah Donetsk, Ukraine, semalam. Akmar Mohd. Noor, 67, pula gagal mengawal perasaan apabila mengetahui ahli keluarganya antara mangsa insiden mh17. - REUTERS/AFP

JIKA tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 empat bulan lepas telah menterjemahkan geopolitik antarabangsa dalam senario terbaik kerana kerjasama yang dipamerkan oleh kuasa besar terutama sekali Amerika Syarikat (AS) dan China adalah sesuatu yang sukar digambarkan dalam keadaan yang lazim. Memang benar juga jika dibuat telahan bahawa peristiwa kehilangan MH370 dari hari pertama hingga hari ini banyak dibelenggu oleh geopolitik dunia.

Bagaikan dirancang pula oleh pihak berkepentingan, semalam nasib malang telah menimpa penerbangan MH17 dari Amsterdam menuju ke Kuala Lumpur. Persepsi ini timbul kerana laluan yang digunakan oleh MH17 adalah laluan lazim untuk penerbangan dari Eropah ke Asia Tenggara dan pada satu hari beratus pe­nerbangan yang melalui laluan tersebut. Begitu juga seperti senario MH370, peristiwa MH17 menjadi sasaran peluru berpandu ke­rana geopolitik dunia yang sedang melanda Ukraine. Walaupun belum dapat dibuktikan secara sahih bahawa pesawat MH17 terhempas kerana menjadi sasaran peluru berpandu tetapi terdapat beberapa petunjuk yang menjerumus kepada kepercayaan bahawa peluru berpandu adalah punca utama.

Jika isu utama yang membelenggu kegagalan pencarian MH370 adalah kekurangan maklumat mengenai lokasi terakhir pesawat, masalah yang dihadapi untuk merungkai tragedi MH17 adalah kebenaran untuk mema­suki kawasan terhempas. Ini adalah kerana kawasan tersebut berada di dalam kawalan kumpulan pemberontak yang tidak sehaluan dengan kerajaan Ukraine di Kiev. Walaupun Kiev telah menubuhkan satu kumpulan khas untuk menyiasat peristiwa ini, tanpa mendapat kebenaran untuk ke tempat kejadian, penyiasatan tidak memberi apa-apa makna.

Apa yang paling dikhuatiri ialah jika status-quo ini dikekalkan, iaitu kemu­dahan untuk ke kawasan terhempas menjadi halangan, maka besar kemungkinan kumpulan yang bertanggungjawab me­lancarkan peluru berpandu akan sedaya upaya cuba menghapuskan bukti yang terdapat di lapangan.

Berdasarkan beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh White House, AS agak yakin bahawa MH17 terhempas kerana ledakan peluru berpandu. Keyakinan ini berdasarkan modus operandi pemberontak yang telah menjatuhkan dua kapal terbang milik tentera udara Ukraine beberapa hari sebelum kejadian malang menimpa MH17.

Begitu juga dengan amaran yang dikeluarkan oleh pemberontak kepada kerajaan Ukraine bahawa mereka akan menembak jatuh jika pesawat milik Kiev menggunakan ruang udara Ukraine Timur, menjadi sandaran utama mengapa faktor penggunaan peluru berpandu tidak boleh diketepikan.

Tetapi bukti paling nyata lebih menjerumus kepada sistem pemantauan peluru berpandu milik AS yang lebih dikenali dengan nama singkatan BMD. Sistem ini dibangunkan di dua negara Eropah Timur iaitu di Poland dan Republik Czech ketika era Pre­siden George W. Bush lagi dengan alasan untuk memantau peluru berpandu yang dilancarkan ke Eropah dari Iran. Tetapi itu hanyalah alasan kerana tujuan utama sistem BMD ini ditempatkan di Eropah Timur adalah untuk memantau pergerakan peluru berpandu Rusia.

Tetapi sehingga setakat ini Washington tidak menyiarkan data BMD tersebut dan besar kemungkinan maklumat tersebut akan dirahsiakan demi menjaga kepentingan kemampuan BMD. Daripada data sistem BMD ini bukan sahaja boleh ditentukan bila peluru berpandu ini dilancarkan, bahkan yang lebih penting di mana ianya dilancarkan.

Sudah tidak syak lagi peluru berpandu tersebut dilancarkan dari kawasan di bawah kawalan pemberontak jika berdasarkan maklumat tersirat Washington. Tetapi Wa­shington begitu berhati-hati dalam membuat tuduhan walaupun dipercayai mempunyai bukti yang kukuh kerana ia melibatkan kuasa besar lain iaitu Moscow.

Ini adalah kerana Rusia mempunyai aset peluru berpandu mudah alih yang boleh mencapai sasaran sehingga 10 kilometer (km) ke udara iaitu ketinggian MH17 ketika pesawat tersebut melalui ruang udara Ukraine.

Terdapat juga andaian bahawa sasaran sebenar peluru berpandu adalah pesawat Presiden Rusia iaitu Vladimir Putin yang melalui laluan yang sama dengan MH17 pada waktu yang lebih kurang sama. Jika benar analisis ini maka besar kemungkinan peluru berpandu itu berpunca dari Kiev dan bukannya pemberontak.

Dalam apa jua keadaan, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mempunyai tanggungjawab yang agak berat untuk mencari kebenaran tragedi MH17.

Resolusi segera perlu dikeluarkan untuk memaksa pihak pemberontak membenarkan pasukan penyiasat antarabangsa memasuki kawasan terhempas. Selagi kawasan terhempas tidak dapat dicapai oleh pasukan penyiasat maka selagi itu peristiwa ini tidak dapat dirungkaikan.

Agak malang bagi Malaysia yang telah menjadi mangsa akibat kemelut geopolitik Ukraine sedangkan Kuala Lumpur tidak ada kena-mengena dengan perbalahan di antara Kiev dan Moscow.

Kemelut ini sebenarnya adalah pertembungan proksi kuasa besar. AS dan Kesa­tuan Eropah (EU) cuba memujuk Kiev berpihak kepada mereka sedangkan Rusia pula mahu Ukraine bergantung kepada Moscow dan tidak menyertai EU.

Jika geopolitik dunia mampu dilupakan buat sementara waktu demi menjalin kerjasama dalam pencarian MH370, harapan yang serupa disandarkan kepada peristiwa MH17 demi mencari kebenaran dan pihak yang bertanggungjawab menjatuhkan pesawat tersebut.

Jika benar pemberontak yang melancarkan peluru berpandu dan peralatan tersebut dibekalkan oleh Rusia, maka kedua-duanya perlu dihukum.

Kemelut geopolitik Ukraine sebenarnya boleh dihindarkan jika AS dan EU tidak begitu angkuh memujuk bekas negara Soviet Union menyertai EU. Begitu juga dengan Rusia tidak boleh menggunakan alasan penduduk Ukraine Timur yang meminta campur tangan dari Moscow untuk membantu kumpulan pemberontak.

AS dan EU perlu lebih tegas menghadapi Rusia kerana kecelaruan yang dipamerkan ketika Moscow menjadikan Crimea sebagai wilayah mereka telah memberi isyarat yang salah iaitu masyarakat antarabangsa tidak berani mengambil tindakan yang tegas.

Tragedi MH17 harapnya mampu me­ngubah persepsi serong tersebut.

PENULIS ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140719/re_01/Perlu-tegas-cari-kebenaran-MH17#ixzz384DPS0QP  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: