GAMBAR kenangan Maimon Sarpan bersama Mohamad Ghafar Abu Bakar yang dirakamkan di kediaman warga emas tersebut di Kampung Seri Tanjung, Masjid Tanah, Melaka.
MELAKA 19 Julai - Hati ibu mana yang tidak pilu apabila anak sulung kesayangannya adalah antara 15 anak kapal pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang terhempas dipercayai ditembak pelancar peluru berpandu di Ukraine kelmarin.
Maimon Sarpan, 74, berkata, luluh hancur hatinya setelah menerima panggilan telefon daripada menantu, Normi Abdullah, 54, kira-kira pukul 12 tengah malam tadi memaklumkan pesawat dinaiki anak lelakinya, Mohamad Ghafar Abu Bakar, 54, itu terhempas.
Mohamad Ghafar merupakan Ketua Pramugara pesawat yang lebih dikenali dengan panggilan Salem.
"Tak boleh nak cakap dah... Allah yang lebih tahu hati seorang ibu. Hancurlah hati ini dan sedih juga dia (Mohamad Ghafar) tidak dapat balik Hari Raya nanti sebab tiap-tiap tahun dia balik.
"Saya teringat sering kali pesan dekat dia supaya hati-hati kalau belayar (penerbangan) dan banyak-banyak berdoa tetapi apa nak kata, saya reda dengan pemergiannya
"Dia ada telefon saya beritahu dia tidak dapat balik Hari Raya pertama sebab kena pergi China tapi dia tetap nak balik," katanya sambil menangis ketika ditemui di Kampung Seri Tanjung, Masjid Tanah dekat sini hari ini.
Turut berada bersamanya ialah suaminya, Ismail Salleh, 74, bapa tiri kepada Mohamad Ghafar.
Turut menziarahi keluarga mangsa ialah Ahli Parlimen Masjid Tanah yang juga Ketua Puteri UMNO, Mas Ermieyati Samsudin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu, Sulaiman Mohd. Ali.
Maimon berkata, kali terakhir berjumpa dengan Mohamad Ghafar pada Isnin lalu apabila dia pulang seorang diri ke kampung sekadar untuk berbuka puasa.
"Tidak banyak yang kami berdua bualkan semasa dia balik berbuka puasa... itu pun tak lama lepas berbuka dia hantar saya ke masjid kira-kira pukul 8.30 malam dia terus balik ke Kuala Lumpur," katanya sambil memegang foto anaknya yang bergambar bersama Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bersama rakan sekerja.
Katanya, Mohamad Ghafar ada menghubunginya malam Selasa lalu memaklumkan dia akan berangkat ke Belanda keesokan harinya dan dijangka pulang ke tanah air awal pagi Jumaat.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140720/dn_13/Ibu-pilu-terima-berita-MH17-terhempas#ixzz384Ux30sA © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment