ANGGOTA perubatan menunjukkan mayat tiga kanak-kanak dari keluarga Shuheiber yang terbunuh dalam serangan udara di daerah Sabra, Gaza City dan Yassin al-Humidi berusia empat tahun yang terbunuh dalam serangan awal di bilik mayat hospital al-Shifa. - AFP
GAZA CITY 17 Julai - Pergerakan Hamas dan tentera Israel mencapai kata sepakat untuk melaksanakan gencatan senjata selama lima jam bagi memberi laluan kepada misi kemanusiaan di Gaza, hanya beberapa jam selepas kapal tentera laut Israel melepaskan bedilan meriam dari pantai Gaza yang meragut nyawa empat kanak-kanak Palestin yang sedang bermain bola di pantai, semalam.
Gencatan senjata yang bermula pada pukul 10 pagi (3 petang waktu Malaysia hari ini) sehingga 3 petang (8 malam waktu Malaysia) diusulkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi menyalurkan bantuan perubatan, makanan dan memberi rawatan kepada penduduk Palestin di Gaza yang terkepung akibat serangan Israel.
Sepanjang tempoh berkenaan, Israel bersetuju tidak melancarkan pengeboman ke atas Gaza dan Hamas juga tidak akan melancarkan serangan roket ke wilayah Israel.
Bagaimanapun, kereta kebal tentera Israel menembak mati tiga penduduk Palestin hanya beberapa minit sebelum gencatan senjata dikuatkuasakan, sekali gus menjadikan angka korban akibat serangan kejam rejim Zionis Israel meningkat kepada 230 orang dan 1,690 orang lagi cedera.
Hanya seorang rakyat Israel yang terbunuh akibat serangan roket Hamas.
Dalam pada itu, kerajaan Zionis Israel juga mengaku serangan tentera Israel yang membunuh empat kanak-kanak di pantai dekat Gaza, semalam sebagai 'kejadian yang buruk' dan akan menjalankan siasatan terhadap insiden itu.
Dalam pada itu, Hamas menuntut perubahan dalam usul kerajaan Mesir untuk menamatkan konflik di Gaza yang masuk hari ke-10, hari ini ketika timbalan ketua pergerakan itu mengadakan pertemuan dengan pegawai kerajaan Mesir di Kaherah.
Pegawai kanan pergerakan Fatah, Azzam al-Ahmad berkata, Hamas menolak usul yang dibentangkan oleh Mesir dan meminta syarat tambahan termasuk isu sempadan yang melintasi Israel dan menuntut hak menangkap ikan sejauh 19 kilometer dari pantai.
"Hamas juga meminta sekatan ke atas Gaza ditarik balik, selain membuka semua laluan sempadan dan membebaskan penduduk Palestin yang ditahan Israel selepas pembebasan askar Israel, Gilad Shalit pada 2012," katanya. - AFP
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140718/lu_05/Gencatan-senjata-di-Gaza#ixzz37m7pVo7m © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment