Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Friday, 18 July 2014

Persiapan ala kadar

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Ong Kim Swee

KUALA LUMPUR - Dua bulan saja lagi menjelang Sukan Asia Incheon, namun jika melihat persiapan skuad bola sepak Bawah 23 negara jelas tiada sasaran boleh diletakkan kepada pasukan kendalian Datuk Ong Kim Swee untuk pergi jauh.

Atas alasan kewangan yang diberi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) apabila menolak permintaan mengadakan aksi persahabatan di Sydney sepanjang bulan Ramadan, hanya tujuh hari dimiliki skuad muda negara untuk mengadunkan 25 pemain.

Skuad yang dibarisi pemain Liga Super dan Harimau Muda itu hanya memiliki satu perlawanan persahabatan berdepan pasukan Bawah 23 tahun China di Qingdao pada 10 September ini, menjadikan persiapan tidak ubah seperti tangkap muat.

Jika dibandingkan persiapan negara jiran, Indonesia, jelas mereka begitu serius menghadapi Sukan Asia apabila mengatur tiga perlawanan persahabatan menentang beberapa kelab terkemuka Itali.

Bakal bertemu AS Roma pada hari ini diikuti Lazio, dua hari kemudian dan menutup cabaran berdepan Cagliari pada 23 Julai, skuad Bawah 23 Indonesia mengutip pengalaman berharga dan perlu dicemburui anak-anak buah Kim Swee.

Kecuali pemain Harimau Muda A yang beraksi di Liga Queensland, tiada kesempatan dirasai oleh 13 pemain dari Liga Malaysia yang akan menyertai kem latihan di China tanpa perlawanan berkualiti tinggi.

Kim Swee mungkin antara individu yang paling mengeluh kerana mengakui beliau tidak boleh menguji banyak taktikal bagi mencari kombinasi sesuai bagi 13 pemain dari Liga Super serta 12 pemain Harimau Muda untuk beraksi sebagai satu pasukan.

Satu lagi kebimbangan yang difikirkan oleh Kim Swee adalah risiko terpaksa bertemu China sekali lagi sekiranya mereka diundi berada dalam satu kumpulan dengan majlis pengundian bakal diadakan pada bulan depan.

Beliau yang dihubungi di Australia berkata, majlis pengundian yang sedikit lewat menyukarkan perancangannya mendapat lawan pasukan antarabangsa Bawah 23 tahun kerana mereka tidak tahu siapa lawan yang akan ditemui pada temasya berkenaan.

"Buat masa ini kita telah mengatur perlawanan dengan China dan saya bimbang jika kita terpaksa bertemu mereka sekali lagi di peringkat kumpulan.

"Memang pening kepala dibuatnya kerana dalam perlawanan itu sahaja saya boleh uji kesebelasan utama.

"Namun, apa boleh buat kita tiada pilihan lain kerana majlis pengundian hanya dilakukan sebulan sebelum temasya bermula dan perkara ini sebenarnya banyak mengganggu perancangan saya sebagai jurulatih.

"Saya harap pada masa akan datang AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) boleh percepatkan waktu pengundian," katanya.

Mengenai persiapan skuad, Kim Swee enggan memanjangkan lagi perkara berkenaan walaupun sedar tempoh seminggu yang diberikan jauh daripada mencukupi.

"Kalau dalam tempoh tujuh hari, saya mungkin dapat lakukan tiga sesi perubahan daripada segi taktikal dan pemain hanya diberikan tempoh berehat selama satu hari sahaja.

"Satu lagi perkara yang menjadi kerisauan adalah faktor kecergasan para pemain yang mungkin jarang diturunkan bersama pasukan masing-masing dalam Liga Malaysia, mereka ini semua perlukan banyak perlawanan ujian sebelum boleh bermain," katanya.

Skuad Bawah 23 tahun negara diberikan ruang mendaftarkan tiga pemain senior.

Bobby Gonzales, Brendan Gan, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak, S. Subramaniam dan Norfarhan Muhammad menjadi calon untuk membawa cabaran Malaysia pada Termasya Incheon, Korea Selatan, 19 September hingga 4 Oktober ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140718/su_01/Persiapan-ala-kadar#ixzz37mFxQbNm  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: