Oleh Zulkiflee Bakar
KETIKA misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 sejak 8 Mac lalu masih belum terungkai, sebuah lagi pesawat syarikat itu menerima nasib malang apabila disahkan terhempas di Ukraine.
Bagaimanapun kejadian itu bukanlah satu kemalangan biasa yang disebabkan oleh faktor manusia yang mengendalikan pesawat atau masalah teknikal tetapi akibat ditembak ketika berada dalam ruang udara negara tersebut.
Kejadian ini sudah tentulah menggemparkan dunia kerana pesawat MAS bukanlah sebuah pesawat tentera tetapi ia pesawat komersial yang membawa 298 penumpang dan anak kapal. Bagaimana mungkin pesawat seumpama itu boleh ditembak jatuh dengan sewenang-wenangnya, biarpun melintasi dua buah negara yang sedang berkonflik.
Atas alasan apa sekali pun, menembak jatuh sebuah pesawat awam adalah satu jenayah yang tidak boleh dimaafkan sama sekali. Justeru kenyataan tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mendesak supaya mereka yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan adalah tepat.
Malaysia tidak boleh berkompromi dengan perbuatan kejam itu. Sebaliknya perlu tegas untuk terus melakukan desakan demi desakan supaya dalang di sebalik kejadian berkenaan menerima hukuman setimpal.
Kita bersyukur kerana setakat ini, kuasa-kuasa besar menunjukkan komitmen mereka untuk turut memberi tekanan supaya si pelaku tidak terlepas begitu sahaja. Amerika Syarikat (AS), Belanda dan Britain antara negara paling awal mahu tragedi itu disiasat habis-habisan.
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) juga turut mengadakan mesyuarat khas di peringkat Majlis Keselamatan dengan tujuan membincangkan tragedi yang sama sekali tidak diduga oleh dunia akan berlaku. Apatah lagi mangsa yang terkorban berasal dari banyak negara.
Oleh itu sudah tentulah negara-negara terlibat mahu kematian rakyat mereka dibela dan hasrat tersebut hanya boleh tercapai melalui siasatan yang telus dan terbuka bagi membolehkan orang ramai mengetahui punca kejadian.
Dalam soal ini, adalah wajar sebuah badan penyiasat bebas melibatkan beberapa negara khususnya Malaysia ditubuhkan. Ia bagi memastikan tiada mana-mana pihak sama ada Ukraine mahupun Rusia cuba menyembunyikan sebarang fakta.
Seperti mana dituntut oleh Malaysia, pasukan penyiasat antarabangsa yang akan turut disertai oleh negara ini perlu diberikan akses sepenuhnya ke kawasan kejadian bagi mengumpul segala bukti.
Sebenarnya, bukanlah kerana ia pesawat Malaysia maka tuntutan seumpama itu dibuat tetapi ia berkaitan soal kemanusiaan apabila 298 penumpang dan anak kapal dalam sebuah pesawat terkorban hanya disebabkan melalui satu laluan yang sebelum ini disahkan selamat.
Kalau kejadian seumpama itu dibiarkan tanpa tindakan tegas masyarakat antarabangsa, kita bimbang ia akan menjadi kes contoh, di mana pesawat awam boleh ditembak jatuh sewenang-wenangnya di ruang udara kawasan konflik.
Kita tidak mahu mendengar alasan-alasan bodoh seperti tersilap tembak, menyangka ia pesawat musuh atau sekadar tembakan amaran. Tidak timbul soal tidak sengaja dalam kejadian ini, pihak yang melepaskan tembakan sememangnya berhasrat memusnahkan pesawat tersebut.
Mungkin tujuan mereka untuk menarik perhatian dunia terhadap konflik yang berlaku tetapi kenapa perlu membunuh penumpang-penumpang tidak berdosa?
Atas sebab itulah, Malaysia perlu tegas dalam soal ini. Tidak boleh berkompromi atau berganjak setapak pun dalam memberikan tekanan untuk memastikan si pembunuh dibawa ke muka pengadilan.
Usaha ini bukanlah sukar memandangkan Malaysia bersahabat dengan semua negara kecuali Israel. Mereka sudah tentulah bersimpati dengan negara ini dan bersedia memberikan sokongan.
Kepada rakyat Malaysia, marilah kita bersatu bagi memberikan sokongan kepada kerajaan untuk membela kematian penumpang dan anak kapal MH17. Janganlah ada antara kita yang masih lagi mahu berpolitik dengan membuat kenyataan yang bukan-bukan.
Kita perlu bersatu bagi memudahkan usaha kerajaan memberi tekanan supaya mereka yang bertanggungjawab melakukan apa yang boleh disifatkan sebagai pembunuhan beramai-ramai tersebut menerima pembalasan setimpal.
Sememangnya, kita tidak boleh menafikan apabila berlaku kejadian ini maka akan muncul golongan cerdik pandai memberikan pandangan dan komen tetapi biarlah ia berdasarkan fakta, bukannya teori-teori songsang yang hanya akan melukakan hati ahli keluarga penumpang dan anak kapal.
Sama-samalah kita berdoa agar mereka yang bertanggungjawab melakukan kekejaman tersebut dengan melepaskan tembakan ke arah pesawat MH17 tidak terlepas begitu sahaja.
Sesungguhnya doa kita tetap bersama penumpang dan anak kapal MH370 dan MH17.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140719/re_02/Pastikan-si-pembunuh-diheret-ke-muka-pengadilan#ixzz384F36REj © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment