(KIRI ke kanan) Pemain Costa Rica, Michael Umana, Waylon Francis, Johnny Acosta, dan Michael Barrantes menyertai sesi latihan sebagai persiapan menentang Greece di Stadium Vila Belmiro, Santos, Brazil, semalam. - AFP
RECIFE - Costa Rica yakin mereka mampu meledakkan gol terlebih dahulu pada perlawanan menentang Greece di pusingan 16 pasukan akhir di Racife, esok.
Greece telah membina reputasi mereka sejak sekian lama dengan menjadi pasukan yang sukar ditembusi, terutama ketika mereka sedang mendahului perlawanan tersebut.
Mereka memiliki corak permainan hampir sempurna dengan menerapkan gaya permainan klasik Itali yang mana pasukan menggunakan taktik sedemikian akan beraksi secara bertahan, dan meletakkan harapan menjaringkan gol menerusi serangan balas.
Pembantu teknikal Los Ticos, Luis Marin berkata, pasukannya perlu menjaringkan gol awal bagi mengelak Greece mendahului perlawanan, dan selepas itu mereka akan bermati-matian menutup benteng pertahanan daripada ditembusi lawan.
"Amat penting untuk kami menjaringkan gol awal dalam perlawanan itu, terutama Greece amat dikenali sebagai sebuah pasukan yang akan bermain dengan corak bertahan apabila mereka telah menjaringkan gol.
"Kami sedar pertemuan itu bakal menjadi satu pertarungan yang sukar. Walaupun mereka tumpas kepada Colombia (3-0), gol yang mereka lepaskan adalah disebabkan satu kesilapan mudah. Greece juga cukup handal sewaktu melakukan serangan balas.
"Penalti mungkin mampu memainkan sebahagian peranan dalam perlawanan itu nanti. Walaupun anda berharap ia tidak akan berlaku, kami perlu bersedia untuk apa sahaja senario yang bakal berlaku. Kami juga membuat latihan sepakan penalti," kata Marin.
Costa Rica muncul sebagai salah sebuah pasukan yang mempamerkan prestasi baik dalam saingan peringkat kumpulan, setelah mereka mengejutkan Uruguay, dan selepas itu Itali sebelum terikat keputusan seri dengan England untuk berada di kedudukan teratas Kumpulan D.
Sementara itu, Greece melangkah ke peringkat kalah mati pada saat-saat akhir apabila Giorgios Samaras menyempurnakan sepakan penalti pada hujung permainan yang sekali gus menghadiahkan kemenangan penting 2-1 kepada skuad bimbingan Fernando Santos ke atas Ivori Coast untuk menempah laluan ke pusingan 16 pasukan akhir buat kali pertama.
Malah, jaringan tersebut merupakan gol kedua Greece dalam tiga perlawanan Kumpulan C. Santos yang mengemudi Greece buat kali pertama ke peringkat kalah mati berkata, skuad bimbingannya perlu berhati-hati menentang pasukan sehebat Costa Rica.
"Kami perlu memberi perhatian khusus kepada perlawanan, mereka muncul sebagai juara dalam `kumpulan maut. Jadi, kami tidak boleh memandang rendah keupayaan mereka," kata warga Portugal itu. - AFP
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140629/sl_02/Costa-Rica-waspada-corak-bertahan-Greece#ixzz36kVzgp4J © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment