Pemain JDT ll, Mohd Zaquan Adha, (kiri), dihalang pemain Selangor PKNS, Helmi Remeli, ketika beraksi pada perlawanan playoff bagi melayakkan diri ke Piala Malaysia di Stadium Perbandaran Selayang, semalam. - UTUSAN/MD.SHAHJEHAN MAAMIN
SELAYANG - Pasukan Liga Perdana, Johor Darul Tazim II (JDT II) melakar kejutan apabila menyingkirkan PKNS yang terpaksa beraksi dengan sembilan pemain pada saingan playoff Piala Malaysia di Stadium Selayang, semalam.
Bekas pemain kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Razak, dan Mohd. Akmal Ishak menjadi watak penting kepada kemenangan JDT II dengan dua jaringan masing-masing pada setiap separuh masa, sementara gol tunggal PKNS disumbangkan Karlo Primorac
PKNS terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-43 selepas Shahurain A. Samah menerima kad kuning kedua apabila mengasari pemain import JDT II, Jose Manuel Carrasco.
Menerusi kelebihan seorang pemain yang ada pada JDT II, Mohd. Zaquan Adha akhirnya meletakkan JDT II di hadapan pada penghujung separuh masa pertama selepas bijak memanfaatkan kedudukan kelam kabut di hadapan kotak penalti PKNS.
Babak kedua menyaksikan pemain gantian, Mohd. Akmal Ishak meledakkan gol kedua buat JDT II menerusi serangan balas pada minit ke-63.
Tersentak dengan dua jaringan JDT II, PKNS cuba bangkit mengejar dengan jaringan daripada pemain import, Karlo Primorac pada minit ke-74 yang bijak memperdayakan penjaga gol, Mohd Anis Faron.
Ketika PKNS FC cuba mendapatkan gol penyamaan, mereka sekali lagi kehilangan seorang pemain apabila Muhamad Zulhariz Mohd. Noor dilayangkan kad merah ekoran menerjah keras ke atas pihak lawan, Mohd. Zaquan Adha pada minit ke-79.
Di Stadium Shah Alam, T-Team memenuhi ramalan apabila menang 1-0 ke atas Negeri Sembilan melalui jaringan tunggal Ramzul Zahini Adnan pada minit ke-42.
Dalam permainan yang banyak dikuasai oleh T-Team, Leandro Dos Santos terlebih dahulu menguji gawang Negeri Sembilan pada minit ke-35 dari luar kotak penalti yang sedikit tersasar ke kanan.
Jaringan The Titans terhasil melalui tendangan deras daripada Jimmy Mulisa yang gagal ditangkap kemas penjaga gol, Mohamad Yatim Abdullah sebelum ditolak masuk oleh Ramzul.
Dua minit kemudian, Negeri Sembilan berpeluang menyamakan kedudukan, namun sepakan percuma cantik oleh Ivan Basic ditolak keluar penjaga gol T-Team, Wan Azrai Wan Teh.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140629/su_04/JDT-II-T-Team-lengkapi-slot-ke-Piala-Malaysia#ixzz36kX4vzzw © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment