Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday, 7 July 2014

WORLD CUP 2014 - Cesar penyelamat Brazil


Penjaga gol Brazil, Julio Cesar (atas kanan) meraikan kemenangan bersama rakan sepasukannya dalam aksi penentuan sepakan penalti ketika menentang Chile pada pusingan kalah mati di Stadium Mineirao, Belo Horizonte, semalam. - REUTERS

BELO HORIZONTE - Penjaga gol, Julio Cesar memastikan harapan tuan rumah terus bersinar setelah menyelamatkan dua sepakan ketika penentuan penalti untuk membantu Brazil menang 3-2 ke atas Chile dan mara ke suku akhir untuk bertemu Colombia.

Penalti penentuan terpaksa dilaksanakan setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam masa permainan sebenar dan tambahan.

Empat tahun lalu, Brazil menyingkirkan Chile dalam pusingan kalah mati, dan mengulanginya kali ini selepas Gonzalo Jara gagal menyempurnakan sepakan penalti terakhir setelah Cesar terlebih dahulu menafikan dua percubaan Chile sebelum itu.

Cesar, yang kemudian dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan itu, dikritik teruk ketika Piala Dunia 2010 selepas menjadi punca kekalahan kepada Belanda. Bagaimanapun semalam dia menyelamatkan gawangnya daripada asakan bertubi-tubi Chile.

David Luiz meletakkan Brazil di hadapan pada minit ke-18 namun Alexis Sanchez berjaya menyamakan kedudukan sebelum tamat separuh masa pertama dan pasukan tuan rumah di ambang penyingkiran selepas Willian dan Hulk masing-masing gagal menyempurnakan sepakan penalti setelah perlawanan dalam masa tambahan juga gagal memutuskan pemenang.

Namun nasib menyebelahi Brazil apabila Cesar menyelamatkan sepakan penalti oleh Mauricio Pinilla dan Alexis Sanchez sebelum Jara turut gagal menyempurnakannya.

“Sangat rumit kerana tekanan yang dirasai bermain di laman sendiri cukup besar. Kami beraksi dengan cemerlang pada babak pertama namun selepas Chile menyamakan kedudukan, mereka mengambil alih perlawanan.

“Rakan sepasukan sentiasa memberi sokongan dan kekuatan kepada saya kerana impian saya adalah untuk melihat Brazil berjaya menjulang trofi Piala Dunia di laman sendiri," kata Cesar, selepas berjaya mengelak kekalahan pertama Brazil di laman sendiri sejak 1975.

Bagi Chile, ini merupakan pengalaman pahit yang terpaksa ditelan walaupun mendapat petanda positif selepas berjaya menewaskan juara bertahan, Sepanyol pada peringkat kumpulan. Namun mereka gagal mengatasi sumpahan Brazil setelah tewas pada pasukan yang sama pada Piala Dunia 1998 dan 2010 di peringkat kalah mati.

Chile kelihatan tidak bermaya apabila membiarkan sepakan sudut oleh Neymar pada minit ke-18 ditanduk oleh Thiago Silva sebelum Jara cuba menyelamatkan gawangnya tetapi sepakannya kurang tepat dan bola mengenai Luiz dan melantun masuk.

Juara lima kali itu terus mengasak dan Neymar sepatutnya menambah gol kedua apabila meluru untuk melepasi kawalan tetapi sepakannya kemudian terkeluar.

Chile, bagaimanapun, menyamakan kedudukan 14 minit kemudian selepas mengambil peluang daripada kecelaruan antara Hulk dengan Marcelo dan Alexis yang mendapat umpanan di dalam kawasan gol dengan tenang menyudahkan peluangnya untuk membuatkan penyokong Brazil terpaku seketika.

Chile hampir memenangi perlawanan pada penghujung perlawanan apabila Pinilla menyaksikan percubaannya mengegarkan palang.

“Percubaan yang hampir masuk itu benar-benar menyakitkan kami. Jika kami membuat jaringan, kami akan mencipta sejarah. Kami begitu hampir dengan kemenangan," kata jurulatih Chile, Jorge Sampaoli kepada wartawan.

Luiz, Marcelo dan Neymar menyempurnakan sepakan penalti masing-masing dan walaupun Willian tersasar dan tendangan Hulk diselamatkan, Cesar menyelamatkan sepakan Pinilla dan Alexis.

Sepakan terakhir Chile yang dilakukan oleh Jara kemudiannya mengenai tiang, membuatkan stadium bergemuruh. - REUTERS

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140630/sl_02/Cesar-penyelamat-Brazil#ixzz36kbr99oe  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: