KARIM Benzema telah menjaringkan tiga gol setakat ini dan akan menjadi ayam tambatan Perancis untuk pertemuan dengan Nigeria esok.
BRASILIA - Apabila penyerang Perancis, Karim Benzema dibawa keluar pada minit ke-83 yang menyaksikan Les Bleus tumpas 1-0 kepada Sepanyol di laman sendiri semasa kelayakan Piala Dunia Mac tahun lalu, pemain itu diejek oleh para peminat.
Reaksi kemarahan penyokong Perancis di Stade de France itu selepas melihat satu lagi aksi hambar daripada penyerang Real Madrid itu semakin dapat dirasakan lapan minit kemudian apabila mereka memberikan sorakan gemuruh kepada perancang tengah La Roja, Andres Iniesta yang digantikan pada penghujung perlawanan.
Namun Benzema kini menjadi tumpuan negara itu dalam temasya kali ini selepas menyumbang tiga gol dalam perlawanan peringkat kumpulan dan menjadi pemain terbaik perlawanan sewaktu Perancis menundukkan Honduras dan Switzerland.
Malah, penyerang itu turut meraih pujian daripada jurulatih, Didier Deschamps dan rakan sepasukannya hasil sumbangannya itu, dan atas faktor itu Perancis sekali lagi menagih khidmat pemain berusia 26 tahun tersebut untuk mengekalkan prestasinya sekiranya mereka mahu menewaskan Nigeria dalam pertembungan 16 pasukan terakhir di sini, bagi bertemu sama ada Jerman atau Algeria di suku akhir.
Benzema hadir ke Piala Dunia selepas aksi hebat bersama Real apabila dia menjaringkan 24 gol dalam 52 perlawanan di semua pertandingan dan membantu kelab terkaya dunia itu memenangi kejuaraan Liga Juara-juara buat kali ke-10 dan Piala Raja Sepanyol.
Dia telah meninggalkan musim kemarau jaringannya bersama Les Bleus di belakangnya, dan kelihatan cergas dan laparkan kejayaan. Sebelum ini dia gagal menemui sasaran selama 1,200 minit sehingga menyebabkan dia kehilangan tempat dalam pasukan kebangsaan.
Kini lebih matang setelah mengalami beberapa masalah di luar padang dan bergelut untuk menurunkan berat badannya, dia telah menjadi pemimpin dalam skuad Perancis, bukan sahaja di bahagian depan tetapi juga secara kesuluruhan.
Karim merupakan salah seorang pemain handalan bertaraf antarabangsa. Dia beraksi pada tahap terbaik dan yang menggerakkan pasukan, kata rakan sepasukannya, penyerang Real Sociedad, Antoine Griezmann.
Deschamps yang merupakan ketua pasukan Perancis yang memenangi Piala Dunia 1998 dan Euro 2000 bersetuju dengan pandangan itu.
Jurulatih berusia 45 tahun kelahiran Basque itu, yang membimbing Perancis sejak Julai 2012, cuba membawa Perancis untuk memenangi Piala Dunia kedua mereka selepas 1998.
Sebelum ini aksi menyedihkan Les Bleus pada kejohanan besar diburukkan dengan masalah pergaduhan dan disiplin.
Benzema mempunyai gerakan luar biasa yang menyokong corak permainan pasukan.
Kami sentiasa memberi tumpuan kepada sumbangannya selain daripada jaringannya yang merupakan sesuatu yang tidak berlaku di mana-mana tempat, kata Deschamps.
Sementara itu, persediaan Nigeria menjelang pertemuan dengan Perancis terjejas selepas mereka menjadi pasukan terbaharu Afrika dihimpit masalah kewangan dengan pemain mengancam untuk tidak berlatih.
Pegawai pasukan berkata, janji pembayaran segera oleh presiden negara itu telah meredakan keadaan namun itu bukanlah cara terbaik bagi juara Afrika itu untuk membuat persediaan menjelang pertemuan dengan Perancis.
Nigeria pernah ke pusingan kedua dalam dua Piala Dunia pertama mereka pada 1994 dan 1998 tetapi disingkir di peringkat kumpulan pada 2002 dan 2010.
Kemaraan mereka ke pusingan kedua kali ini juga dibayangi oleh kejadian yang disyaki disebabkan oleh serangan bom di ibu negara, Abuja pada waktu puncak Rabu lalu dan sekurang-kurangnya 21 orang terbunuh. Le
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140630/sl_01/Benzema-sandaran-Perancis#ixzz36kajljGQ © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment