BRAZIL - Kemenangan 2-1 Brazil ke atas Colombia sedikit terjejas apabila bintang mereka, Neymar disahkan tidak dapat beraksi lagi pada Piala Dunia 2014 akibat mengalami kecederaan tulang belakang.
Pertahanan Colombia, Juan Zuniga secara tidak sengaja telah mengasari Neymar dari belakang menggunakan lutut, dan penyerang Barcelona itu terpaksa diusung keluar padang, dua minit sebelum tamat permainan.
Kecederaan Neymar itu telah disahkan oleh pegawai perubatan Brazil, Rodrigo Lasmar yang bersamanya ketika menjalani ujian di hospital berdekatan.
Thiago Silva turut menambah keresahan Brazil apabila pemain pertahanan Selecao itu digantung satu perlawanan kerana dilayangkan kad kuning kedua dalam kejohanan tersebut, dan insiden itu mengaburi jaringan cantik yang dihasilkan David Luiz menerusi sepakan percuma untuk memberi kemenangan kepada pasukannya.
Jurulatih Brazil, Luiz Felipe Scolari berang dengan situasi Neymar sentiasa diburu sepanjang kejohanan berlangsung, dan tiada sebarang hukuman diambil terhadap mereka yang berbuat demikian.
"Saya sudah nyatakan dalam ketiga-tiga perlawanan sebelum ini yang Neymar menjadi sasaran pihak lawan, tetapi pasukan lain tidak akui perkara tersebut, dan hanya pemain mereka sahaja diburu.
"Selain itu, Silva dilayangkan kad kuning hanya kerana mengganggu David Ospina daripada membuat hantaran bola, tetapi tiada sebarang kad dilayangkan kepada Zuniga yang menyebabkan pemain tercedera," katanya.
Silva meletakkan Brazil di hadapan seawal minit ke-7, dan Luiz menjaringkan satu lagi gol buat pasukannya menerusi sepakan percuma dengan jarak kira-kira 30 meter dari gawang pihak lawan.
Bagaimanapun, James Rodriguez melonjakkan lagi namanya di carta penjaring terbanyak Piala Dunia dengan enam gol daripada lima perlawanan apabila menyempurnakan sepakan penalti setelah Carlos Bacca dijatuhkan Julio Cesar dalam kotak penalti, namun jaringan itu tidak cukup untuk menyekat kemaraan Brazil.
Dalam pada itu, Luiz telah menjelmakan kegembiraan kepada penyokong Brazil apabila menghasilkan antara jaringan tercantik dalam kejohanan tersebut. "Hari ini jaringan yang dilakukan sangat bagus kerana saya membuat rembatan tepat yang menyebabkan bola boleh bergerak di udara, dan mengelirukan penjaga gol," katanya.
Pertahanan Paris St. Germain itu turut yakin dengan pemain gantian seperti Dante, dan Henrique yang bakal mengambil posisi Silva dalam perlawanan peringkat separuh akhir nanti serta menyatakan mereka sudah cukup bersedia untuk diturunkan.
Sementara itu, Colombia mengkritik mutu pengadilan pengadil dari Sepanyol, Carlos Velasco Carballo. "Pengadil tidak membantu," kata pemain tengah Colombia, Rodriguez yang turut menjadi sasaran pemain Brazil, namun dirinya sendiri dilayangkan kad kuning apabila mengasari Hulk.
Kali terakhir Brazil layak ke separuh akhir pada Piala Dunia ialah 12 tahun lalu, tetapi pasukan itu dihantui masalah besar apabila Neymar, dan Silva tidak dapat diturunkan menentang Jerman 9 Julai ini.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140706/sl_01/Brazil-menang-Neymar-hilang#ixzz36k0lQkey © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment