BRASILIA - Gonzalo Higuain akhirnya menemukan sentuhan jaringan, malah pada awal permainan untuk membantu Argentina meranapkan impian Piala Dunia Belgium dengan kemenangan 1-0 dalam aksi suku akhir semalam.
Higuain menjaringkan gol pada minit kelapan perlawanan di Stadium Nasional Mane Garrincha itu sekali gus meletakkan Arentina di pusingan separuh akhir buat pertama kali sejaka 1990.
Mereka juga menggagalkan harapan Belgium untuk membalas dendam kekalahan mereka di separuh akhir edisi 1986.
Skuad La Albiceleste di bawah bimbingan Alejandro Sabella seterusnya akan bertemu Belanda pada aksi separuh akhir selepas mereka menewaskan Costa Rica menerusi penalti penentuan dalam satu lagi perlawanan.
"Ini merupakan permainan terbaik kami pada Piala Dunia kali ini, juga satu kegembiraan buat pasukan, rakyat dan setiap orang. Ini merupakan permainan terbaik buat Argentina dari segi keseimbangan dan kesemua aspek perlawanan,'' kata Sabella.
Bagaimanapun, kemenangan Argentina itu dibayangi oleh kecederaan yang dialami pemain tengah berpengaruh, Angel Di Maria yang terpaksa digantikan pada babak pertama perlawanan dan mempunyai peluang kecil untuk bermain di separuh akhir.
"Kecederaan dialami Di Maria merupakan satu tamparan besar,'' kata Sabella yang melakukan tiga pertukaran ke atas kesebelasan utama pasukannya yang meneâwaskan Switzerland sebelum ini.
Dia menyenaraikan Jose Maria Basanta, Martin Demichelis dan Lucas Biglia dan lankah itu nyata memberi kesan segera sehinggakan Belgium berdepan masalah.
Beberapa jam selepas Neymar diumumkan tidak lagi dapat beraksi pada temasya itu ekoran kecederaan dan James Rodriguez tersingkir bersama Colombia, Lionel Messi membuktikan bahawa Piala Dunia kali ini mungkin akhirnya akan dimilikinya.
Messi mewarnai corak permainan Argentina dengan gerakan mengelirukan dan hantaran tepat. Walaupun dia gagal membuat jaringan, gol Higuain sudah cukup untuk menyingkirkan generasi emas Belgium yang berjaya melangkah jauh dalam temasya kali ini.
Simbol kerja keras Belgium, pemain bintang mereka Eden Hazard menerima kad kuning kerana kekasaran ke atas Lucas Biglia dan kemudian digantikan dengan Nacer Chadli ketika permainan berbaki 15 minit.
Jurulatih Belgium, Marc Wilmots nyata tidak dapat menyembunyikan rasa kecewanya selepas pasukannya tersingkir daripada Piala Dunia namun tetap memuji persembahan anak-anak buahnya.
"Kami amat kecewa, setiap orang sangat sedih namun saya bangga dengan anak-anak buah saya,'' katanya. - AFP
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140707/sl_04/Akhirnya-Higuain-menjadi#ixzz36jzDSmcM © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment