Fred (tengah) dan David Luiz (kanan) berpeluang menggunakan faktor ketinggian sebagai senjata untuk menjaringkan gol pada perlawanan menentang Chile dalam pusingan kalah mati, esok di Brazil. - AFP
TERESOPOLIS - Brazil bakal menggunakan faktor ketinggian sebagai satu kelebihan untuk menentang Chile apabila kedua-dua pasukan itu bertemu dalam pusingan kalah mati pada Piala Dunia, esok, kata penyerang, Fred, semalam.
"Saya telah berbincang dengan bek tengah, dan pemain yang beraksi di bahagian sayap kami kerana para pemain Chile rata-ratanya pendek," kata Fred kepada pemberita di kem latihan Brazil dekat Teresopolis.
Fred yang meledakkan jaringan menerusi tandukan ketika Brazil membelasah Cameroon 4 -1, Selasa lalu memiliki ketinggian 186 sentimeter. Faktor tersebut memberikan pemain itu kelebihan dari segi saiz berbanding tiga pemain pertahanan Chile yang diturunkan pada dua perlawanan terakhir iaitu Francisco Silva (178cm), Gonzalo Jara (177cm), dan Gary Medel(171cm).
Tidak semua pemain Brazil mempunyai saiz badan yang besar contohnya Neymar yang hanya berketinggian 175cm. Namun, Brazil memiliki beberapa pemain yang tinggi termasuk bintang pertahanan mereka, David Luiz yang berketinggian 189cm, sementara Thiago Silva 182cm, yang mana kedua-dua pemain berkenaan mempunyai rekod cemerlang ketika melakukan percubaan menerusi tandukan.
Sementara itu, jurulatih Brazil, Luiz Felipe Scolari dijangka menukar barisan tengah pasukannya pada perlawanan pusingan kedua menentang Chile bagi memberi ruang kepada Fernandinho di bawa masuk dalam kesebelasan utama.
Pemain itu kelihatan menjalani sesi latihan bersama skuad utama Brazil sebelum berlepas ke Belo Horizonte menjelang pertembungan kalah mati itu. Dia mengantikan Paulinho selepas pemain tersebut gagal mempamerkan aksi yang memberangsangkan dalam tiga perlawanan sebelum ini.
Fernandinho merupakan pemain gantian ketika bertemu Cameroon, Isnin lalu, dan muncul sebagai salah seorang penjaring gol sewaktu Brazil melakar kemenangan besar 4-1 yang sekaligus memastikan tempat Selecao ke pusingan kalah mati terjamin.
Pada sesi latihan tersebut, Scolari turut mengantikan Daniel Alves dengan Maicon, manakala Ramires mengisi posisi Hulk, namun Fernandinho masih dikekalkan kedudukannya dalam skuad tersebut.
Paulinho diberi peluang untuk beraksi selepas pemain itu menunjukkan perkembangan yang positif semasa Piala Konfederasi, dan ketika perlawanan pemanas badan sebelum bermulanya Piala Dunia. - REUTERS
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140628/sl_06/Brazil-jadikan-ketinggian-sebagai-senjata#ixzz36kN6ah7m © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment