PEMAIN Belgium, Dries Mertens (kanan) dan Axel Witsel menjalani sesi latihan pasukan mereka di Mogi das Cruzes semalam dalam persiapan menentang AS. - REUTERS
SALVADOR - Pengumuman Amerika Syarikat (AS) tentang hasrat mereka untuk menerapkan corak serangan, mungkin akan membangkitkan naluri Belgium yang sebelum ini lebih seronok bermain cantik tetapi tidak kalah setakat ini.
Red Devils masih lagi belum beraksi di tahap terbaik, namun sudah membuat persiapan untuk 'berperang' awal pagi esok dalam aksi 16 pasukan akhir Piala Dunia.
Belgium melangkah ke pusingan kalah mati selepas menang ke atas Algeria, Rusia dan Korea Selatan namun masih gagal memenuhi harapan tinggi yang diletakkan ke atas mereka, berikutan corak permainan menariknya serta memiliki pemain berstatus bintang.
Bagaimanapun dengan pemain seperti Eden Hazard, Kevin De Bruyne dan Romelu Lukaku, masih ada masa untuk berubah dan wakil Eropah itu akan berdepan ujian getir daripada AS yang mengejutkan Ghana dan Portugal untuk layak ke pusingan kalah mati bersama-sama Jerman dari Kumpulan G.
Adunan organisasi dan kecergasan fizikal pasukan Stars and Stripes itu dipertingkatkan oleh fokus jurulatih, Juergen Klinsmann terhadap pergerakan hantaran-hantaran pantas yang menajamkan lagi barisan serangan mereka dan itu merupakan formula yang boleh mengancam Belgium.
SKUAD AS membuat latihan ringan sebelum menjalani sesi latihan di Sao Paulo semalam. - REUTERS
"Secara fizikal, mereka amat kuat. Kami telah bersedia untuk berperang," kata jurulatih Red Devils, Marc Wilmots kepada media.
Permulaan pantas boleh menjadi kunci kepada kemaraan AS yang mungkin sedar bahawa Belgium mengambil masa sehingga minit 70 untuk menjaringkan gol dalam kesemua perlawanan peringkat kumpulan.
"Kami akan menggunakan corak itu ke atas mereka. Kami percaya kami mempunyai keyakinan yang cukup untuk mengalahkan mereka. Kami tahu kami perlu mencapai tahap ekstrem untuk memastikan ia berlaku," kata Klinsmann.
Rekod Belgium sangat baik setakat ini apabila tidak kalah dalam kempen kelayakan sehingga meletakkan mereka selaku pasukan pilihan kelima di Brazil.
Kelebihan memiliki Thibault Courtois sebagai penjaga gawang dan pemain pertahanan tengah kental, Vincent Kompany yang hanya dibolosi satu jaringan setakat ini, iaitu penalti Algeria, mereka tidak kisah untuk meninggalkan corak permainan cantik.
"Apakah ertinya bermain dengan cantik? Setiap perlawanan digambarkan dengan taktik dan kecergasan fizikal. Apa yang penting pada akhirnya adalah keputusan, memenangi perlawanan dengan apa cara sekalipun corak permainan,'' kata Wilmots.
Belgium menang empat daripada lima perlawanan dengan AS termasuk kemenangan 4-2 di Cleveland pada Mei tahun lalu. Satu-satunya kemenangan AS ialah pada Piala Dunia 1930.
Mengesahkan kedudukan 16 pasukan akhir selepas dua perlawanan di peringkat kumpulan, Wilmots meletakkan kesebelasan utama yang berbeza semasa pertemuan menentang Korea Selatan.
Ini bermakna mereka memiliki pemain yang cergas untuk pertemuan menentang AS, dan senarai pasukan mereka mungkin sama dengan kesebelasan yang menentang Rusia. - REUTERS
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140701/sl_02/Belgium-sedia-berperang---Wilmots#ixzz36lLzKF8X © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment