FORTALEZA - Belanda bangkit di saat akhir menewaskan Mexico 2-1 selepas Arjen Robben mencetuskan kontroversi apabila memperolehi penalti pada masa kecederaan sekali gus layak ke pusingan suku akhir.
Bintang Bayern Munic, Robben kerap dituduh sengaja menjatuhkan diri di dalam kotak penalti bagi menagih simpati pengadil sepanjang karier pemain itu dan dia telah melakukan perkara yang sama selepas berasak dengan pertahanan Mexico, Rafael Marquez.
Pengadil kelahiran Portugal, Pedro Proenca menghadiahkan sepakan penalti dan Klaas-Jan Hunterlaar berjaya menyempurnakannya.
Bagaimanapun, Robben menegaskan keputusan Proenca memberikan sepakan penalti adalah tepat malah turut memberitahu syarikat penyiaran Belanda, NOS bahawa dia dikasari.
Dalam pada masa yang sama dia akui bahawa turut melakukan perkara yang sama di awal permainan bagi mendapatkan sepakan penalti.
"Saya memohon maaf kepada peminat kerana saya sengaja menjatuhkan diri pada babak pertama demi mendapatkan sepakan penalti dan saya tidak patut berbuat sedemikan," akui Robben.
"Itu tindakan bodoh namun sekiranya anda terdesak untuk mendapatkan gol anda sanggup melakukan apa saja," katanya.
Jaringan penalti itu hadir tepat pada masanya apabila Wesley Sneijder menyamakan kedudukan pada minit ke-88 selepas Giovani dos Santos meletakkan pasukannya di hadapan pada minit ke-48.
Jurulatih Mexico, Miguel Herrera mempertikaikan keputusan pengadil perlawanan menghadiahkan sepakan penalti kepada Belanda.
"Faktor penentu keputusan perlawanan bergantung kepada pengadil kerana dia yang mengadili perlawanan. Berdasarkan keputusan yang dibuat dia (Proenca) patut pulang awal seperti kami," kata Herrera.
Mexico kini gagal melayakkan diri ke pusingan suku akhir buat kali keenam berturut-turut dan kali terakhir berjaya melepasi pusingan kalah mati pada Piala Dunia 1986.
Jurulatih Belanda, Luis van Gaal memuji anak-anak buahnya tidak lemah semangat dalam mencari gol penyamaan malah turut menjaringkan gol kemenangan di saat akhir. - AFP
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140701/sl_03/Penalti-kontroversi-selamatkan-Belanda#ixzz36lN5VsMC © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment