Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday, 7 July 2014

Sultan Nazrin tunaikan wasiat Almarhum Sultan Azlan Shah


Sultan Nazrin Shah sebak dan menitiskan air mata ketika menyampaikan titah ucapan pada majlis perasmian Masjid Toh Puan Besar Hatijah dan majlis berbuka puasa di Batu Gajah, Perak, semalam. - BERNAMA

BATU GAJAH 30 Jun - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini berkenan menjunjung wasiat arwah ayahandanya, Almarhum Sultan Azlan Shah untuk merasmikan sebuah masjid bernilai RM21 juta di sini yang dibina semula serta diperkenankan untuk dinamakan sempena nenda baginda, Toh Puan Besar Hatijah sebagai pewakaf tanah tersebut pada 1930-an.

Bangunan pertama yang dirasmikan Sultan Nazrin selepas dimasyhurkan sebagai Sultan Perak ke-35 itu siap dibina semula pada tahun lalu dan telah diwasiatkan oleh Almarhum untuk dirasmikan pada bulan Ramadan tahun ini selain diadakan majlis berbuka puasa pertama Sultan bersama rakyat.

"Almarhum tidak sempat bersolat di masjid yang telah dibina semula ini. Sepanjang hayat, Almarhum terlibat secara langsung dan tidak langsung menasihati, mengawasi dan memantau pelbagai projek membina bangunan merangkumi istana, mahkamah, stadium, institusi pendidikan, galeri dan rumah kediaman.

"Projek pembinaan masjid ini merupakan pembinaan terakhir yang Almarhum telah berikan tumpuan dan terlibat secara langsung," titah baginda sempena perasmian masjid tersebut dan majlis berbuka puasa di sini.

Terdahulu, Sultan Nazrin bersama adinda baginda, Raja Datuk Seri Azureen dan Raja Datuk Seri Eleena serta kerabat diraja yang lain menziarahi makam Toh Puan Besar Hatijah di Tanah Perkuburan Segedup berhampiran masjid tersebut.

Masjid yang asalnya diperbuat daripada kayu telah dirobohkan sebelum diganti dengan binaan berasaskan batu-bata pada 1970-an.

Pada akhir tahun 2006, Almarhum Sultan Azlan Shah menitahkan agar masjid tersebut dibina semula dan pembinaannya telah dimulakan pada 9 Oktober 2008.

Almarhum memberikan sepenuh perhatian apabila memantau dan mengawasi kerja-kerja pembinaan semula masjid itu dengan mengadakan lawatan tapak malah baginda turut memberikan sentuhan peribadi terhadap reka bentuk, hiasan dalaman dan komposisi kompleks masjid tersebut.

Rumah Allah yang diperkenankan Almarhum untuk dinamakan sebagai Masjid Toh Puan Besar Hatijah melambangkan satu pengabadian penghargaan seorang putera kepada seorang bonda selain peringatan kasih sayang baginda terhadap seorang kakanda berikutan dewan serba gunanya turut dinamakan sebagai Dewan Raja Baharum Baha'uddin Shah.

Dalam pada itu, Sultan Nazrin bertitah, walau sejauh mana merantau serta mencapai kejayaan, Almarhum sentiasa mencari masa untuk kembali memijakkan kaki di bumi Batu Gajah yang menjadi menjadi tempat baginda diputerakan.

Menurut Sultan Nazrin, baginda juga sentiasa menghargai dan terus mendampingi rakan-rakan sepermainan dan sepersekolahannya di Batu Gajah yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, agama dan kaum.

"Demikian dalamnya ingatan Almarhum kepada bumi dan alam persekitaran Batu Gajah. Rumah Allah ini adalah hadiah kenangan daripada Almarhum kepada masyarakat Batu Gajah yang sangat nostalgik dalam ingatan baginda.

"Semoga usaha Almarhum membangunkan kemudahan fizikal ini akan disambut dan dilengkapi oleh ahli-ahli qariah dengan menganjurkan pelbagai aktiviti agar masjid ini menjadi masjid yang hidup, diimarahkan setiap masa dan sepanjang waktu," titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Nazrin bertitah, masjid berfungsi sebagai institusi asas lagi utama untuk mendukung peranan mengembangkan syiar Islam selain berperanan sebagai tapak semaian mencanai minda berilmu dan membina sahsiah insan.

"Masjid tidak sekadar pusat untuk melakukan ibadah solat malah telah dan hendaklah terus berfungsi sebagai pusat perkembangan ilmu, perkembangan budaya dan turut berperanan sebagai pusat membangunkan masyarakat," titah baginda.




No comments: