Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday, 7 July 2014

WORLD CUP 2014 - Mimpi Umana jadi kenyataan



KETIKA pemain-pemain Costa Rica meraikan kejayaan melayakkan diri ke suku akhir Piala Dunia, pemain Greece pula berduka selepas tumpas menerusi penentuan sepakan penalti 3-5 di Arena Pernambuco, Recife, pagi ini. - REUTERS

“MALAM semalam saya bermimpi tentang perkara ini (mengambil sepakan penalti) tetapi saya rasa ia tidak benar.

“Saya tenang kerana sudah bermimpi mengenainya tetapi saya tidak beritahu sesiapa. Saya rasa sangat yakin ketika mengambil sepakan ini."

Itu kata-kata tonggak pertahanan Costa Rica, Michael Umana selepas menyempurnakan sepakan penalti terakhir yang membawa pasukannya melayakkan diri ke suku akhir Piala Dunia buat kali pertama dengan mengecewakan juara Eropah 2004, Greece 5-3.

Pertarungan diheret ke penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat masa tambahan di Arena Pernambuco, Recife awal pagi ini, meskipun Costa Rica mengharungi sebahagian besar perlawanan dengan 10 pemain.

Penjaga gol Costa Rica, Keylor Navas cemerlang apabila menyelamatkan sepakan penalti keempat Greece yang diambil oleh Theofanis Gekas sebelum Umana menjaringkan gol kemenangan The Ticos, sekali gus membawa mereka menempah pertemuan dengan Belanda di Salvador, Ahad ini.

“Kejayaan ini adalah untuk keluarga saya.

“Ia juga untuk rakan-rakan sepasukan yang mengalami kecederaan sebelum datang ke sini. Mereka tidak bersama kami tetapi memberikan sokongan kepada kami," kata Umana lagi.

Selepas saingan berlangsung hambar pada babak pertama, Bryan Ruiz menghidupkan perlawanan dengan menjaringkan gol pembukaan Costa Rica pada minit ke-52 menerusi rembatan rendah kaki kiri dari jarak 15 meter.

Costa Rica kemudian terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila pertahanan mereka, Oscar Duarte diarah keluar padang kerana menerima kad kuning kedua pada minit ke-66 selepas melakukan kekasaran ke atas Jose Holebas.

Greece yang sebelum ini menumpaskan Ivory Coast dalam perlawanan dramatik untuk mara ke pusingan kedua, berjaya menyamakan kedudukan, seminit memasuki waktu kecederaan menerusi rembatan Gekas.

Mereka hampir meraih gol kedua sejurus selepas itu, namun tandukan Kostas Mitroglou melewati palang dan seterusnya gagal mencari gol kemenangan pada masa tambahan.

Penentuan sepakan penalti berlangsung baik apabila tujuh sepakan berjaya disempurnakan sehinggalah Navas menafikan tendangan Gekas, sebelum jaringan Umana menceriakan 41,000 penyokong Costa Rica di Recife.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140630/sl_16/Mimpi-Umana-jadi-kenyataan#ixzz36lCztsqO  © Utusan Melayu (M) Bhd 


No comments: