Luis Suarez yang sedang mendukung anak lelakinya, Benjamin melambai kepada peminat dari rumah ibunya di Canelones, berdekatan Montevideo baru-baru ini. - AFP
MONTEVIDEO - Penyerang Uruguay, Luis Suarez memohon maaf kepada pertahanan Itali, Giorgio Chiellini semalam kerana menggigit pemain itu.
Perbuatan bintang Liverpool itu membenamkan giginya ke bahu Chiellini mengakibatkan dia digantung selama empat bulan, dan disingkir daripada Piala Dunia.
Ini kali pertama Suarez mengakui kesilapannya kerana menggigit Chiellini.
"Saya benar-benar menyesal terhadap apa yang berlaku. Saya meminta maaf kepada Giorgio Chiellini, dan seluruh keluarga bola sepak. Saya berjanji tidak akan mengulangi perbuatan tersebut pada masa depan," kata Suarez dalam kenyataan rasmi yang disiarkan menerusi akaun Twitter miliknya.
Chiellini telah memberi maklum balas segera terhadap permohonan maaf yang dikemukakan oleh Suarez itu.
"Semuanya telah dilupakan. Saya harap FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) akan mengurangkan (tempoh) penggantungan awak," kata pemain itu menerusi Twitter.
Suarez menggigit Chiellini sewaktu Uruguay melakar kemenangan 1-0 ke atas Itali pada 24 Jun lalu yang melayakkan pasukan Amerika Selatan itu ke pusingan kedua pada Piala Dunia. Uruguay bagaimanapun tewas kepada Colombia Isnin lalu.
SEORANG pelancong bergambar sambil berlagak lengannya digigit oleh Luis Suarez di hadapan sebuah papan iklan yang menggunakan gambar pemain itu di pantai Copacabana di Rio de Janeiro, Brazil. Lagak itu menjadi fenomena sejak Suarez menggigit Giorgio Chiellini. - AFP
Penyerang prolifik itu pada awalnya menafikan tuduhan yang dikenakan ke atasnya. Pemain itu memaklumkan kepada suruhanjaya disiplin FIFA bahawa dia gagal mengawal badannya, dan menafikan menggigit Chiellini.
Namun, dalam tempoh 48 jam insiden tersebut berlaku, Suarez telah dijatuhkan hukuman digantung daripada terbabit dalam sebarang aktiviti bola sepak selama empat bulan, dan digantung sembilan perlawanan antarabangsa, serta didenda 100,000 Swiss franc (RM361,512).
Kesalahan menggigit pemain lawan merupakan kali ketiga dilakukan Suarez. Dia pulang ke Uruguay pada Jumaat lalu yang mana hukuman tersebut telah membangkitkan kemarahan rakyat negara itu.
Presiden Jose Mujica telah menyelar pemimpin FIFA, dan mencerca mereka dengan kata-kata makian ekoran hukuman tersebut.
"Selepas beberapa hari berehat di rumah dengan keluarga saya, saya berpeluang untuk mendapatkan ketenangan, dan mengenang kembali insiden yang berlaku sewaktu perlawanan Itali-Uruguay pada 24 Jun 2014," kata Suarez.
Katanya lagi, terdapat kenyataan yang bercanggah, tetapi dia sama sekali tidak berniat untuk mengganggu persembahan baik yang dipamerkan skuad kebangsaannya.
"Kebenarannya rakan sepejuangan saya, Giorgio Chiellini telah terjejas secara fizikal kerana gigitan tersebut ekoran perlanggaran yang berlaku dengan saya. Untuk itu saya dengan ikhlas memohon maaf terhadap insiden yang berlaku," ujar penyerang Liverpool berusia 27 tahun itu. - AFP
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140702/sl_01/Suarez-mohon-maaf#ixzz36lc1FMuC © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment