Oleh OPAT RATTANACHOT
uspetani@utusan.com.my
ADBUL Azeez Abdul Rahim memakaikan kain samping baru kepada seorang anak yatim sambil diperhatikan oleh Pengurus Jakel Sungai Petani, Amir Abdul Aziz (kiri) ketika membawa anak-anak yatim dari daerah Baling membeli baju raya di Gedung Tekstil Jakel Sungai Petani, Kedah, semalam. - UTUSAN/ABD RAZAK OSMAN
SUNGAI PETANI 14 Julai - Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) tidak akan terburu-buru menghantar misi kemanusiaan ke Gaza, Palestin sehingga mendapat kepastian yang keadaan keselamatan benar-benar terkawal.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, ia bagi memastikan kesemua anggota sukarelawan dapat menjalankan tugas mereka dengan selamat dan misi tersebut berjaya.
"Secara dasarnya kita bersedia pada bila-bila masa untuk ke sana. Rakyat Palestin memerlukan perhatian segera. Namun, kita sedang menyusun beberapa langkah untuk memastikan anggota misi ke sana selamat dan dapat menjalankan tugas dengan baik.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membawa 120 anak-anak yatim dari kawasan Parlimen Baling membeli-belah baju raya di kedai kain Jakel, di sini semalam.
Abdul Azeez yang juga Pengerusi Biro Kebajikan UMNO dan Duta Kehormat Palestin di Malaysia berkata, beliau kini mengikuti perkembangan secara dekat mengenai keadaan yang berlaku di Palestin.
Katanya, beberapa pegawai kanan negara itu juga ada menghubunginya setiap tiga jam bagi melaporkan perkembangan yang berlaku.
"Berdasarkan maklumat dan perkembangan yang diterima itu, kita dapat menyusun strategi dan bantuan bakal disalurkan dengan lebih berkesan kerana kita sudah tahu apa yang akan dibuat," jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, setakat ini, pihaknya menerima penyertaan daripada lebih 50 sukarelawan.
Bagaimanapun katanya, misi tersebut memerlukan lebih ramai doktor yang mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang tertentu seperti pakar kanak-kanak, ortopedik dan pembedahan.
"Setakat ini sebanyak 23 doktor telah menyatakan hasrat untuk menyertai misi. Kita memerlukan sekurang-kurangnya 50 doktor untuk ke sana,'' katanya.
Sementara itu, beliau menasihati orang ramai agar menyiasat latar belakang organisasi terlebih dahulu sebelum menyalurkan bantuan terutamanya kewangan bagi tujuan membantu rakyat Palestin.
"Orang ramai harus berwaspada kerana mungkin ada pihak yang mengambil kesempatan mengutip derma dan sebagainya atas nama Palestin,'' katanya.
Beliau juga menasihati badan-badan yang berhasrat membantu rakyat Palestin agar bergabung dengan sekretariat KP1M bagi memudahkan lagi urusan misi keamanan di sana.
"Kita perlu bergerak sebagai satu kumpulan. Saya minta kita ketepikan fahaman politik, agama dan bangsa kerana misi yang akan dibawa ini adalah atas satu nama sahaja iaitu Malaysia,'' katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140715/dn_22/Misi-ke-Gaza-tidak-dibuat-secara-terburu-buru---Azeez#ixzz37bqXJifO © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment