Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Thursday, 17 July 2014

Bedilan Israel diperhebat


Sebahagian penduduk, meratapi kematian kanak-kanak perempuan bernama Sarah Sheik al-Eid, 4, bersama bapa serta bapa saudaranya ketika majlis pengebumian mereka di Rafah, selatan Genting Gaza, kelmarin. - AFP

BAITULMAQDIS 16 Julai - Israel hari ini dijangka melancarkan serangan besar-besaran ke atas Gaza selepas tentera rejim Zionis tersebut mengeluarkan amaran kepada 100,000 penduduk Palestin di Genting Gaza untuk berpindah, ketika angka kematian serangan udara Israel meningkat kepada 216 orang.

Koresponden AFP melihat risalah amaran tersebut digugurkan dari udara di kawasan perumahan Zeitun, timur Gaza City dan penduduk di sekitar kawasan berkenaan dilaporkan menerima panggilan telefon dan mesej teks menggesa meninggalkan rumah mereka menjelang pukul 8 pagi waktu tempatan (1 petang waktu Malaysia).

Risalah itu menyatakan tentera rejim Zionis akan melancarkan serangan udara ke atas kawasan pergerakan Hamas di Zeitun dan Shujaiya ekoran jumlah tinggi serangan roket dilancarkan dari sana.

Selain kawasan perumahan, Israel turut mengarahkan Hospital al-Wafa di Gaza City dikosongkan, satu tindakan tidak masuk akal memandangkan kemudahan tersebut menempatkan penduduk yang cedera termasuk kritikal.

Pengarah hospital itu, Basman Alashi berkata, sebanyak 14 pesakit di hospital itu tidak boleh dipindahkan kerana berada dalam keadaan koma dan lumpuh.

"Tiada tempat yang selamat di Gaza. Jika hospital turut diserang, di mana pesakit hendak berlindung? Kami juga tidak boleh meninggalkan pesakit kerana mereka tidak berdaya," katanya.

Dalam pada itu, serangan roket sayap bersenjata Hamas, Briged al-Qassam ke atas Israel berdekatan pintu sempadan Erez dengan Gaza menyaksikan seorang lelaki Israel maut, kematian pertama melibatkan penduduk Yahudi.

Beberapa siri serangan Israel ke atas Genting Gaza pada awal pagi ini menyaksikan sekurang-kurangnya tujuh penduduk Palestin maut dan memusnahkan sebuah rumah milik pemimpin utama Hamas, Mahmoud Zahar.

Di selatan Gaza, bedilan Israel meragut dua nyawa, manakala seorang remaja lelaki terbunuh dalam serangan berasingan.

Di Khan Younis, selatan Genting Gaza, tiga orang termasuk seorang nenek berumur 65 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun turut menjadi korban kekejaman Israel selepas rumah mereka dibedil.

Israel meningkatkan serangan udara hari ini, sehari selepas menangguhkan serangan apabila cadangan gencatan senjata anjuran Mesir gagal dicapai. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140717/lu_03/Bedilan-Israel-diperhebat#ixzz37iAleFOm  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: