Minda Pengarang: Rakyat Sarawak lebih makmur, maju di bawah manifesto BN
DARI BERITA HARIAN 2011/04/01
BARISAN Nasional (BN) dijangka melancarkan manifesto Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10 pada bila-bila masa. Ini berdasarkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin bahawa manifesto itu sudah berada pada peringkat akhir disiapkan, hanya menunggu masa terbaik untuk dilancarkan oleh Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud selepas penamaan calon 6 April ini.
Walaupun belum dilancarkan, umum sudah dapat menjangka manifesto kali ini menjanjikan pelbagai manfaat untuk dikecapi seluruh rakyat dan negeri Sarawak, malah lebih baik berbanding manifesto pada Pilihan Raya Negeri Sarawak 2006. Ini berdasarkan kenyataan Muhyiddin yang menegaskan manifesto kali ini membabitkan keperluan dan keutamaan rakyat.
Tema manifesto kali ini mengajak rakyat bersama-sama mentransformasi Sarawak ke arah kemakmuran serta meningkatkan kualiti hidup kepada lebih baik. Manifesto itu juga memberi penekanan kepada keharmonian kaum, kestabilan politik, tadbir urus baik, pemulihan alam sekitar, memulihara budaya semua kaum, menyediakan peluang pekerjaan mencukupi, peluang pendidikan dan ekonomi, menjanjikan kehidupan rakyat yang lebih baik serta memastikan kemudahan jalan raya, bekalan air dan elektrik dipertingkatkan terutama di luar bandar.
Semua janji dalam manifesto itu bakal melonjak kemakmuran Sarawak seterusnya menjadi negeri terkaya di Malaysia menjelang 2030. Berdasarkan penjelasan itu, umum menjangka BN bakal membentang satu manifesto yang cukup komprehensif dan menyeluruh. Pastinya seluruh rakyat Sarawak menunggu dengan penuh harapan manifesto yang bakal diumumkan nanti.
Manifesto sebenarnya adalah janji yang realistik dan mampu dipenuhi berdasarkan kepada keadaan semasa, sama ada dari aspek ekonomi, sosial dan politik. Ia bukanlah sekadar janji manis bersifat populis, seperti digariskan pembangkang dalam Buku Jingga mereka yang meletakkan 10 janji untuk direalisasikan dalam tempoh 100 hari jika mereka berkuasa. Isi kandungan buku itu hanya memperlihatkan ketamakan pembangkang untuk merebut kuasa politik. Ia langsung tidak melihat kepada realiti, kesan serta mampukah janji itu dipenuhi, apatah lagi dalam tempoh yang singkat. Justeru, manifesto bukan sekadar janji kosong, semata-mata untuk meraih sokongan rakyat.
Pengundi kini lebih matang dan mampu membezakan antara kaca dan permata. Jika sekali janji tidak dikota, sudah pasti parti itu akan dihukum pada pilihan raya seterusnya. Sarawak yang selama ini berada di bawah pemerintahan kerajaan BN, mencatat pelbagai kemajuan dan rakyatnya hidup aman, terhindar daripada sebarang kekacauan. Kita yakin menerusi manifesto kali ini, BN akan terus menjanjikan kemajuan dan kemakmuran yang dikecapi selama ini. Sebagai parti yang berpengalaman dan sudah teruji, BN hanya membuat janji yang mampu ditunaikan. Kita tidak mahu manifesto BN, terikut-ikut dengan pendekatan pembangkang yang hanya pandai menabur janji, tetapi tidak berpijak di bumi nyata. Pada masa sama, kita percaya rakyat juga bersikap rasional dan tidak mengharap semua manifesto itu dapat ditunaikan sekelip mata.
Apa yang lebih penting, keikhlasan kerajaan melaksanakannya walaupun mungkin mengambil sedikit masa untuk menjayakan pelbagai program dan projek yang dijanjikan. Jika terbukti kerajaan BN sudah melaksanakan yang terbaik dan memenuhi janjinya dalam manifesto terdahulu, kita percaya rakyat akan terus memberi sokongan kepada kerajaan sedia ada untuk membentuk semula kerajaan negeri selepas pilihan raya nanti.
KOMEN : UNDI ADALAH HAK ANDA DAN GUNAKAN SEBAIK-BAIKNYA DEMI KEMAJUAN NEGERI SARAWAK UNTUK MASA DEPAN ANAK CUCU YANG LEBIH TERJAMIN.
No comments:
Post a Comment