Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday, 27 April 2011

Kereta hibrid terhangat di pasaran


Oleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN
syukran.zainuddin@kosmo.com.my







“BRADER, kereta ini guna dua enjin? Berapa cc? Macam mana nak caj semula bateri kalau sudah habis? Kereta ni memang tak guna minyak? Berapa laju boleh lari?”

Itu antara soalan yang biasa ditanya apabila perkataan kereta hibrid timbul. Walaupun teknologi hibrid bukanlah penemuan baru dalam industri pemotoran, hakikatnya masih ramai yang belum faham sepenuhnya tentang kenderaan hibrid.

Ditambah pula dengan teknologi pembikinan kereta yang begitu pantas berkembang. Pengguna juga dilihat semakin keliru dengan pelbagai istilah yang digunakan oleh pengeluar kenderaan. Sedangkan ada antara istilah itu merujuk kepada teknologi yang sama.

Paling jauh perbatuan
Secara ringkasnya, kenderaan hibrid ialah jentera yang menggabungkan sistem enjin konvensional dan motor elektrik untuk bergerak. Matlamat utama penghasilan sebuah kenderaan hibrid adalah untuk mencatatkan perbatuan paling jauh dengan penggunaan bahan api paling sedikit di samping meminimumkan pelepasan gas-gas berbahaya daripada ekzos ke atmosfera.

Jika dilihat pada pasaran tempatan, segmen kereta hibrid dimulakan dengan model Civic Hybrid keluaran Honda pada tahun 2007. Betul, ia kurang mendapat sambutan berikutan harganya yang mahal dan kesedaran terhadap teknologi hibrid masih belum meluas ketika itu.

Kemudian, UMW Toyota turut serta dengan memperkenalkan model hibrid popularnya Prius, sebelum diikuti oleh jenama lebih mewah, Lexus. Situasi semakin meriah apabila kerajaan memansuhkan cukai import dan duti eksais ke atas kenderaan hibrid dalam Bajet 2011, sekali gus membuatkan harganya lebih mampu milik.

Jadi, tidak hairanlah jika generasi kedua model hibrid daripada Honda ini menjadi begitu popular. Bagi sebuah negara yang cukai kenderaannya antara tertinggi di dunia, Insight boleh dianggap sebagai sebuah kereta hybrid yang sempurna untuk orang kebanyakan di Malaysia.

Pada harga RM98,000 seunit (di atas jalan), anda sudah boleh memandu sebuah kenderaan hibrid yang tidak kalah dari aspek reka bentuk, praktikaliti dan teknologi. Paling penting, anda membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar.

Untuk sebuah kereta yang memang direka untuk pemanduan di bandar, kuasa daripada enjin bersesaran 1.3 liter tidak mengecewakan. Jadi, kalau ada sesiapa kata Insight kurang power, beli sahaja kereta lain kerana Insight tidak direka untuk tujuan itu.

Biarpun begitu, Insight masih mampu memecut sehingga 190 kilometer sejam (km/j). Tetapi angka itu hanya diperoleh ketika menuruni bukit dan sangat tidak digalakkan demi keselamatan.

Sistem IMA
Enjin SOHC i-VTEC tersebut dipadankan dengan sistem Integrated Motor Assist (IMA) generasi baru yang lebih cekap berbanding sistem IMA sebelum ini. IMA terdiri daripada motor elektrik berkuasa 10-kilowat (13 hp) dan satu Intelligent Power Unit (IPU) kompak.

IPU berperanan menarik dan menyimpan tenaga kinetik yang terhasil daripada tindakan membrek dan nyahpecutan selain membekalkan kuasa tambahan ketika memecut apabila diperlukan.

Anda juga boleh mengharapkan pertukaran gear yang lancar menerusi aplikasi transmisi automatik CVT (continuously variable).

Insight hadir dengan ciri yang interaktif dan berfokuskan kepada pemandu. Teknologi yang membantu menjimatkan penggunaan bahan api itu dikenali sebagai Ecological Drive Assist System (Eco Assist).

Tekan butang ECON
Caranya mudah, pemandu hanya perlu menekan butang ECON berwarna hijau di sebelah kanan stereng. Ciri ini mengoptimumkan kawalan CVT, enjin dan komponennya untuk meningkatkan kecekapan penggunaan minyak.

Pertukaran lampu latar speedometer memberitahu pemandu sama ada mereka memandu dalam keadaan yang menjimatkan atau sebaliknya. Jika hijau, anda memang mesra alam sekitar. Kalau biru, anda mungkin perlu lebih berlembut ketika memijak pedal minyak. Tetapi, jangan leka pula melihat lampu itu bertukar warna sampai tidak sedar apa yang berlaku di atas jalan raya.

Honda mendakwa Insight mampu mencatat perbatuan sejauh 30 kilometer untuk setiap liter petrolnya (km/l). Namun, sewaktu sesi pandu uji baru-baru ini catatan terbaik yang berjaya dilakukan ialah 27km/l. Itu pun setelah memandu dalam keadaan paling berhemah dan ‘berlindung’ di belakang sebuah lori.

Motivasi
Sebagai motivasi untuk mencapai perbatuan terbaik, pemandu yang memandu dalam cara menjimatkan akan dihadiahkan dengan simbol daun. Daun itu kemudian akan ’tumbuh’ sebelum membentuk sebuah trofi. Kalau boleh dapat trofi, anda memang pemandu paling mesra alam di Malaysia.

Demi menggalakkan penggunaan jentera hibrid di Malaysia, Honda Malaysia melanjutkan tempoh jaminan bateri Insight kepada dua tahun lagi, tambahan kepada jaminan selama tiga tahun yang diberikan oleh Honda Motor, Jepun.

Ini bermakna jaminan yang diberi adalah selama lima tahun atau perbatuan sehingga 140,000km (yang mana tiba dahulu).

Bukan itu sahaja, Honda Malaysia akan mengurangkan harga alat ganti Insight sehingga lebih 40 peratus terutama baterinya. Tidak perlu bimbang dengan bateri itu kerana jangka hayatnya ialah selama kereta tersebut boleh digunakan.

“Insight sememangnya satu pakej menarik untuk pengguna yang mengutamakan alam sekitar,” akui Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Honda Malaysia, Rohime Shafie.

No comments: