Oleh ZAINU‘L AZHAR ASH‘ARI
utusanperlis@utusan.com.my
TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (kanan) menyampaikan Ijazah Kehormat Ulung Doktor Kejuruteraan kepada Dr. Mahathir Mohamad pada Istiadat Konvokesyen Khas Unimap di Kangar, semalam.
KANGAR 17 Mac – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail meminta semua pemimpin di segenap peringkat mencontohi ciri-ciri kepimpinan yang dimiliki oleh Tun Dr. Mahathir Mohammad.
Baginda menyifatkan, bekas Perdana Menteri itu, sebagai negarawan berjiwa besar yang sentiasa mahu melihat masyarakat terus hidup dalam aman, bekerjasama, bersatu dan seimbang dalam semua aspek kehidupan.
Titah baginda, ciri-ciri tersebut dapat memastikan rakyat negara ini berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah, setanding dengan masyarakat lain di dunia.
‘‘Dr. Mahathir juga bukan seperti kebanyakan kita kerana beliau melihat sesuatu dari perspektif yang lebih luas dahulu sebelum melihatnya dari perspektif kecil,” titah baginda selaku Canselor Universiti Malaysia Perlis (Unimap) pada Istiadat Konvokesyen Khas Unimap di Dewan 2020 di sini hari ini.
Pada istiadat tersebut, baginda berkenaan mengurniakan Ijazah Kehormat Ulung Doktor Kejuruteraan Unimap kepada Dr. Mahathir manakala Ijazah Kehormat Ulung Doktor Sains pula diberikan kepada Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.
Berangkat sama ke istiadat tersebut Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pro Canselor Unimap.
Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu; Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis, Datuk Yazid Mat; Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Azizan Hamid; Pengerusi Lembaga Pengarah Unimap, Tan Sri Zainul Ariff Hussain dan Naib Canselor Unimap, Prof. Dr. Kamarudin Hussin.
Menurut baginda, bagi memiliki ciri-ciri tersebut, rakyat hendaklah terlebih dahulu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, berkemahiran intelektual dan berkeyakinan.
‘‘Pada masa sama rakyat perlu sanggup mengambil risiko dan berubah, berwawasan dan sensitif kepada kehendak masyarakat dan alam sekitar,” titah baginda.
Baginda bertitah, rakyat juga hendaklah sentiasa bersiap siaga menghadapi cabaran dalam persekitaran yang sering berubah.
KOMEN : JASA TUN M. TETAP DIKENANG OLEH GENARASI DAHULU DAN SEKARANG. PERJUANGAN KITA MASIH BELUM SELESAI....
No comments:
Post a Comment