Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday, 9 March 2011

Contohi pendekatan UiTM


FIKRI JUMIRAN
Bangsar, Kuala Lumpur


DARI mula lagi saya tertarik dengan isu yang dikemukakan dalam surat bertarikh 19 Februari 2011 daripada Adiwira, Kuala Lumpur dan surat bertarikh 22 Februari 2011 daripada Yusuf Jalli, Kuala Lumpur, yang disiarkan di ruangan ini.

Saya juga tertarik dengan surat jawapan bertarikh 28 Februari 2011 daripada Pengarah Unit Pengurusan dan Penambahbaikan Kualiti (QMEC) UM. Saya tambah tertarik dengan satu lagi surat oleh Siswa Harapan UM bertajuk Minda siapa harus berubah? yang disiarkan pada 7 Mac 2011. Kesemuanya berhubung isu Naib Canselor UM yang dikatakan lebih mengutamakan bahasa Inggeris daripada bahasa Melayu.

Saya bukan seorang pelajar UM. Tetapi sebagai seorang yang bergelar mahasiswa yang telah ditakdirkan rezeki ilmunya di Universiti Teknologi Mara (UiTM), ada baiknya saya cuba berkongsi cerita dan pendapat. Bukanlah ingin menyebelahi mana-mana pihak, tapi saya cuba membawa satu contoh institusi yang pada saya cukup seimbang daripada segi pemantapan intelektualnya, mahupun penguasaan dan keutamaan bahasa yang digunakan.

Tahun ini merupakan tahun kedua saya menuntut di UiTM. Bila diimbas kembali saat mula-mula orientasi sebelum bergelar mahasiswa UiTM, saya masih ingat lagi ucapan dasar Naib Canselor yang lalu; "UiTM sudah mencapai banyak kejayaan. Tetapi disebabkan universiti ini hanya untuk bumiputera dan hanya segelintir sahaja pelajar dari luar negara diambil, kita gagal berada dalam ranking universiti terbaik dunia. Walaupun kita tidak diiktiraf, biarlah. Tetapi kita tahu kita memang hebat".

Ketika ini, ucapan dasar tersebut masih terngiang-ngiang di telinga saya. Saban hari saya lihat banyak universiti tempatan lain diiktiraf dunia, tetapi saya hanya tersenyum. Saya tahu kemampuan pelajar dan kakitangan UiTM. Saya juga tahu telah banyak pencapaian bertaraf dunia oleh para pelajar dan pensyarah UiTM.

Menyentuh keutamaan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu di UiTM, saya tidak lihat bahasa ibunda saya dipinggirkan di sini. Para pelajar dan pensyarah masih berkomunikasi dalam bahasa Melayu.

Apabila perlu, bahasa Inggeris akan digunakan seperti mana proses pembelajaran yang memerlukan bahasa Inggeris dijadikan sebagai bahasa pengantaraan. Ada seorang pensyarah sahabat saya pernah berkata: "Even you are good in English (pertuturan), you are still Melayu, you are not American."

Daripada segi pasaran kerja, tidak segan saya menyatakan banyak graduan UiTM berjaya mendapatkan kerja dalam pelbagai sektor. Walaupun ada kajian baru-baru ini menyatakan peratusan graduan UiTM yang gagal mendapatkan kerja lebih tinggi, bagi saya, kita perlu lihat daripada segi jumlah kuota penerimaan bilangan graduan yang masuk untuk belajar di sini lebih tinggi berbanding universiti lain. Bagi saya, sudah menjadi tanggungjawab UiTM ingin membantu anak bangsa sendiri.

Saya juga ingin berkongsi kisah tentang Naib Canselor UiTM, Dato' Prof. Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar, seorang yang sangat mengambil berat tentang kebajikan dan masalah para pelajar. Bagi saya, medium Facebook yang digunakan sangat berkesan. Segala masalah atau kesulitan boleh disalur terus kepada beliau. Tiada lagi birokrasi.

Lebih menyentuh hati, setiap aduan atau sapaan oleh setiap pelajar dijawab mesra dan penuh tanggungjawab oleh beliau di laman sosial tersebut. Saya akui kemudahan di UiTM ada yang tidak sempurna seperti lif yang selalu rosak, mungkin disebabkan kuota pelajar yang semakin meningkat. Tetapi ada sahabat saya yang sentiasa berfikiran positif; "Sudah tiba masanya untuk menggunakan tangga. Sihat juga".

Walaupun kami tidak diiktiraf dalam senarai universiti terbaik dunia, walaupun kemudahan ada cacat celanya, kami tahu UiTM telah cuba sebaik mungkin membantu anak bangsa sendiri. Kami juga tahu kami dapat seimbangkan apa yang perlu untuk menjadikan kami graduan yang berkualiti. Bersederhana itu adalah yang terbaik.


KOMEN : MAJULAH BANGSA MAJULAH NEGARA BERKAT USAHA INSAN YANG BERGELAR MAHASISWA. PENSYARAH HANYALAH PEMBIMBING DAN MAHASISWALAH YANG MENCORAK KEMAJUAN NEGARA MASA HADAPAN. MAJULAH ANAK BANGSA KU...

1 comment: