Oleh Norfatimah Ahmad
bhnews@bharian.com.my
2011/03/03
Baki tiga hari di Kerdau diguna untuk tembusi kawasan kelabu, kubu lawan
MASUK kandang kambing mengembek, masuk kandang harimau mengaum. Itulah perumpamaan sesuai bagi menggambarkan pentingnya bersikap merendah diri, terutama apabila berada di tempat orang. Ringkasnya, amalan itu jugalah yang dilaksanakan petugas jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau, dalam usaha mereka memenangi hati setiap pengundi. Tetapi pada masa sama, tanpa ilmu untuk mengetahui latar belakang pengundi juga tentu sekali sukar untuk menjamin kemenangan walaupun calon BN yang diketengahkan, Syed Ibrahim Syed Ahmad, 44, sudah melakar potensi ke arah kejayaan.
Menjejak enam hari kempen pada pilihan raya kecil di DUN Kerdau, itulah antara cakap-cakap yang sampai ke telinga apabila ditanya mengenai perjalanan kempen pilihan raya kecil di kawasan ini sejak Sabtu lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Kampung Telok Sentang, Ishak Md Ali, berkata situasi itu berlaku kerana kebanyakan petugas pilihan raya bukan penduduk tempatan yang tidak tahu senario sebenar di DUN Kerdau, malah ada antara mereka itu golongan muda yang mewakili sayap parti.
“Patutnya petugas kempen melawat dari rumah ke rumah atau kawasan yang tidak memihak kepada BN, bukannya berceramah kepada penduduk yang sudah sahih menyokong kita (BN),” katanya yang berterima kasih kepada kerajaan kerana melengkapkan kampungnya dengan pelbagai kemudahan hinggakan tidak ada apa yang mahu diadukan lagi. Sebab itulah, sebagai ‘orang lama’ dan pernah memikul tanggungjawab sebagai Ketua UMNO cawangan, Ishak berasa tidak senang apabila ada pihak yang bertandang dengan niat baik ke Kerdau, untuk membantu BN mengumpul undi tertinggi dalam pilihan raya ini tetapi tidak melakukan 'homework' untuk menentukan fokus kempen mereka.
Memang UMNO dan BN sudah matang dalam kempen pilihan raya tetapi ia tidak bermakna semuanya berjalan lancar, mungkin hal seperti ini perlu diberi perhatian Pengarah Pilihan Raya yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob. Jangan sampai nila setitik rosak susu sebelanga, nanti putih mata!
Bak kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sepanjang proses pilihan raya, setiap pengundi adalah raja dan dengan itu layanlah mereka sebaik mungkin kerana calitan berbentuk X pada kertas undi itu penting, walaupun satu undi ia tetap memainkan peranan dan memberi kesan kepada jumlah keseluruhan undi.
Malah, Ahad lalu ketika menunggu peluang untuk menemubual Syed Ibrahim di Bilik Gerakan UMNO Kampung Ketam, penulis turut mendengar sesi penerangan perjuangan BN, tetapi malangnya, kerusi untuk program ceramah di situ hanya diisi ahli UMNO, manakala inti pati ceramah yang disampaikan pula berkisar kepada usaha untuk menyedarkan pengundi mengenai manfaat menyokong BN.
“Tentu mereka semua ni sokong BN, sebab semuanya memang ahli UMNO. Sepatutnya masa yang ada ini digunakan untuk meraih undi di kawasan kelabu atau kubu pembangkang,” bisik seorang rakan.
Bagaimanapun, mungkin juga itu strategi UMNO dan BN untuk terus mengukuhkan sokongan di kalangan ahli mereka, tetapi dalam tempoh singkat berkempen seharusnya matlamat utama adalah untuk mendapat seramai mana penyokong, terutama golongan atas pagar atau sebaiknya berjaya memutihkan kawasan hitam.
Rasanya masih belum terlambat untuk mengubah keadaan yang tidak menyenangkan itu dan seharusnya baki tiga hari lagi sebelum pengundian 6 Mac ini digunakan sepenuhnya petugas jentera pilihan raya untuk memastikan segala-galanya berjalan lancar.
Lebih-lebih lagi apabila kempen di pihak pembangkang tidak begitu ‘menjadi’ apabila serangan peribadi pembangkang terhadap Syed Ibrahim dipatahkan apabila bekas Penasihat Agama Menteri Besar Pahang itu tampil menunjukkan ijazah bahasa Arab dari Universiti Al-Azhar miliknya pada hari penamaan calon.
Malah, tindak tanduk pembangkang yang semakin terdesak meraih undi jelas dilihat hingga sanggup menjual gula lebih rendah daripada ditetapkan kerajaan iaitu RM1.80 sekilogram baru-baru ini hingga dicabar Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Bagaimanapun taktik pembangkang itu hanya mampu bertahan selama sehari saja.
Begitu juga dengan corak berkempen apabila poster calon PAS turut diselitkan logo Kerajaan Pahang walaupun sebelum ini golongan itu jugalah yang heboh mengatakan Kerajaan Pahang sudah bankrap. Jika tidak mahu dikaitkan dengan kerajaan bankrap, kenapa pula masih menggunakan logonya.
Selain itu, Buku Jingga yang memuatkan 10 janji pembangkang dengan merangka pelan 100 hari pemerintahannya yang dilancarkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang minggu lalu di Kerdau mendapat perhatian BN apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Muhyiddin sendiri dijangka menjelaskan implikasinya jika janji itu dilaksanakan bagi mengelak rakyat ditipu parti pembangkang.
Dalam situasi ini, ketangkasan BN menangkis isu yang diketengahkan patut diteladani dan kini terpulang kepada kebijaksanaan pengundi untuk menentukan siapa yang bakal merangkul takhta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau nanti.
“Syed Ibrahim adalah calon terbaik bukan saja kerana latar belakang agamanya, malah hubungannya dengan rakyat setempat yang sudah lama terjalin akan memudahkan usaha untuk membela nasib rakyat,” kata Pengerusi JKKK Kampung Gunung Senyum, Sallehudin Teh Husin.
Bagi Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan keseluruhan kepemimpinan dan penyokong parti pembangkang pula, tentunya Hassanuddin Salim yang menjadi taruhan dilihat calon paling sesuai untuk merangkul kemenangan di DUN Kerdau, walaupun diketahui statusnya sebagai calon kitar semula selepas dua kekalahan sebelum ini.
KOMEN : PILIHLAH YANG ELOK LEPAS TU YANG PANDAI. LAGI CANTIK ANAK TEMPATAN. JANGAN DIPUJA ORANG DARI LUAR KELAK MERANA DUN KERDAU. SEMASA MEMBUAT PILIHAN INGATKAN MASA DEPAN ANAK CUCU KITA. TERSILAP PILIH MERANALAH MEREKA.
No comments:
Post a Comment