DARI BERITA HARIAN
2011/03/02
SHAH ALAM: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini berkata Amerika Syarikat perlu mendapatkan persetujuan masyarakat antarabangsa sebelum mengambil sebarang tindakan ketenteraan terhadap Libya.
Katanya, walaupun beliau tidak bersetuju dengan situasi terkini yang berlaku di negara itu, sebarang tindakan yang ingin diambil harus mengikut saluran yang betul. "Saya berharap Amerika Syarikat tidak ambil tindakan berdasarkan keputusan sendiri kerana apa sahaja kita buat kena dapat persetujuan masyarakat dunia. "Walaupun kita tidak suka lihat apa yang dilakukan di Libya tetapi tindakan mestilah mengikut saluran yang benar dan baik. Kalau dia boleh serang Libya dia boleh serang kita juga bila dia tidak suka pada kita," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan rasmi ke Universiti Antarabangsa Al-Madinah (MEDIU) di sini hari ini.
Dr Mahathir berkata demikian ketika mengulas mengenai rancangan Amerika Syarikat untuk mengambil tindakan ketenteraan terhadap Libya yang sedang bergolak berikutan tunjuk perasaan rakyat negara itu yang mendesak pemimpinnya Muammar Gaddafi meletak jawatan.
Washington dilaporkan telah menggerakkan kapal perang dan tentera udaranya menghampiri Libya berkemungkinan sebagai persediaan untuk menyerang negara itu.
Dr Mahathir juga berkata, umat Islam perlu memperkuatkan diri dengan ilmu pengetahuan terutama dalam bidang sains, teknologi dan matematik bagi memperkukuhkan kedudukannya di mata dunia. Beliau berkata, sekiranya tidak mempunyai ilmu, umat Islam akan menjadi lemah dan mudah ditekan oleh pihak lain.
"Kalau ini berlaku kita tidak boleh salahkan orang lain, kita kena salahkan diri kita kerana kita dapat peluang bahkan kita begitu kaya sekali tetapi tidak tahu menggunakan peluang dan kekayaaan ilmu untuk perbaiki kedudukan umat Islam.
"Bila kita lemah, kita tidak tahu nak pertahankan diri kita. Kalau kita tidak lemah dan kita ada kekuatan yang sama dengan musuh kita maka kita tidak perlu guna cara yang dianggap sebagai terrorisme," katanya.
Mengenai MEDIU, Dr Mahathir memuji penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) secara intensif oleh universiti itu dalam usaha mengembangkan ilmu pengetahuan.
Beliau menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara MEDIU, yang diwakili rektornya Prof Dr Muhammad Khalifa Al Tamimi, dan SIRIM Bhd yang diwakili presidennya Datuk Yahaya Ahmad.
MoU itu adalah berhubung usaha sama antara MEDIU dan SIRIM seperti dalam penggunaan kemudahan makmal dan program lepasan ijazah kejuruteraan forensik untuk kakitangan SIRIM. - BERNAMA
KOMEN : ITULAH KERJA AS SEBAGAI POLIS DUNIA. TAK PAYAH TUNGGU PERSETUJUAN PBB TERUS BERTINDAK MACAM DUNIA INI MEREKA YANG PUNYA. SETUJU KATA TUN M. MEREKA BOLEH SERANG KITA KALAU MEREKA TAK SUKA DENGAN KITA. HUKUM RIMBA MASIH DIGUNA PAKAI. MASALAHNYA SEMUA NEGARA YANG AS SERANG SEHINGGA SEKARANG HIDUP DALAM KESENGSARAAN. BUKAN MUDAH UNTUK MEMBANGUNKAN SEBUAH NEGARA YANG MUSNAH DALAM PEPERANGAN BELUM DIAMBIL KIRA PERGOLAKAN POLITIK. KEMATIAN TIDAK DAPAT DIELAKKAN. PERMUSUHAN SESAMA UMAT ISLAM MELEMAHKAN LAGI JATI DIRI BANGSA ARAB.
No comments:
Post a Comment