Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday, 9 November 2011

VW - Serlah falsafah Das Auto


Oleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN
DARI KOSMO ONLINE




KALAU tidak silap, konvoi anjuran Volkswagen Group Malaysia (VGM) baru-baru ini adalah yang paling besar. Ia melibatkan 40 unit kenderaan pelbagai model keluaran Volkswagen (VW) menuju ke Pulau Pinang. Kru televisyen, wartawan akhbar, majalah dan blogger, semua ada. Meriah betul.

Saya juga tidak dapat nafikan bahawa gimik itu memang menjadi. Buktinya, ramai yang perasan tentang kehadiran model baharu Volkswagen itu.

Sebenarnya, ia bukan sekadar konvoi dan memandu uji tiga tawaran terbaharu VGM. Tetapi aktiviti tersebut dibuat selari dengan pelancaran model sedan Jetta dan Passat, serta kenderaan pelbagai guna (MPV) pertama VW ke pasaran tempatan, Cross Touran di Hotel Hard Rock, Pulau Pinang.

Sebelum timbul sebarang spekulasi, ingin saya jelaskan di sini bahawa semua model tersebut adalah unit yang diimport sepenuhnya (CBU). Jetta datang dari Mexico, manakala Passat dan Cross Touran dikilang di Jerman.

Jadi, ia bukanlah model CKD hasil daripada perjanjian usahasama eksklusif antara pihak Volkswagen AG dan DRB-HICOM Bhd. pada Disember tahun lalu.

Saya ada bertanya mengenai perkembangan usahasama tersebut. Malangnya tiada ada apa yang boleh dikongsikan di sini. Pihak VGM lebih selesa berdiam diri dan mungkin membiarkan masa yang menentukan segalanya. Kalau diikutkan jadual, produksi pertama bakal keluar pada Disember depan.

Jetta

Perjalanan menuju ke Pulau Pinang dimulakan dengan memegang stereng sedan Jetta. Jika sebelum ini Jetta berkongsi platform, enjin, transmisi dan pelbagai sistem mekanikal yang lain dengan model hatchback Golf, kali ini ia dibina secara individual sepenuhnya.


PASSAT sesuai untuk mereka yang mementingkan aspek kemewahan.

Dikelaskan dalam segmen C, Jetta mempunyai enjin paling kecil dalam kelasnya kalau dibandingkan dengan Honda Civic, Toyota Altis atau Mazda3. Namun, enjin 1.4 liter TSI yang pernah memenangi anugerah enjin terbaik dunia dua tahun berturut-turut (2009 & 2010) itu memang mengagumkan.

Sedan itu terasa ringan. Kuasa enjin yang mencecah 160PS disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear berkembar Direct Shift Gearbox (DSG) tujuh kelajuan. Sama ada anda menggunakan paddle shifter atau mengabaikannya sepanjang pemanduan, kuasa yang diberi tetap memuaskan.

Tanpa sedar, jarum kelajuan sudah jauh melepasi had sepatutnya. Kereta itu juga membuktikan bahawa kelajuan siling 110 kilometer sejam (km/j) sudah menjadi terlalu perlahan.

Tahap NVH yang ditawarkan Jetta cukup bagus. Ditambah dengan kuasa membrek yang meyakinkan, jangan salahkan siapa-siapa jika anda tidak mampu menahan diri dan memecut sepanjang perjalanan.

Passat



Selepas menikmati makan tengah hari di Ipoh, saya berpindah kereta dengan memandu Passat. Selama ini, pasaran tempatan diperkenalkan terlebih dahulu dengan model lebih mewah iaitu Passat CC. Bersaing secara langsung dengan model sedan eksekutif seperti Honda Accord, Toyota Camry, Nissan Teana atau Ford Mondeo, ia dibekalkan dengan enjin 1.8 TSI.

Memiliki tubuh lebih besar dan output enjin yang sama dengan enjin 1.4 TSI (160 PS), anda boleh agak bahawa ia terasa sedikit berat. Tetapi ia memang kena dengan karekter pemiliknya yang terdiri daripada golongan yang bukan lagi jenis suka memecut tidak tentu pasal. Apa yang pasti, Passat menawarkan pemanduan yang releks dan menyenangkan.

Sudah memasuki generasi ketujuh, Passat mempamerkan kematangan pada setiap inci penghasilannya. Rekaan luarannya tidak bersifat berlebihan-lebihan. Ruang dalamannya pula menawarkan kemewahan sewajarnya yang harus ada dalam model segmen sebegini.

Cross Touran

Keesokan harinya, saya pulang dengan memandu model MPV yang disifatkan sebagai antara paling laris di pasaran Eropah. Cross Touran bukan sekadar sebuah MPV, tetapi perkataan Cross itu juga merujuk kepada elemen SUV yang diadun ke dalam model tersebut.

Cross Touran berkapasiti tujuh tempat duduk. Biarpun begitu, ia hanya dikuasakan oleh unit enjin bersesaran 1.4 liter TSI.

Sama dengan apa yang ada pada model Golf, Scirocco dan Jetta, bagaimanapun enjin tersebut telah menerima talaan yang menyebabkan ouputnya sedikit rendah. Lebih tepatnya, 140PS, kurang 20PS berbanding model-model yang saya sebutkan tadi.

Kenapa? Volkswagen memberi alasan bahawa Cross Touran merupakan kenderaan keluarga, jadi ia tidak perlu bertindak seperti jentera untuk berlumba di atas jalan raya. Satu lagi sebab, talaan untuk mendapatkan lebih kuasa adalah mahal. Maka, tindakan mengurangkan janaan kuasa tersebut adalah untuk merendahkan sedikit harganya.

Walaupun kecil, jangan pandang kemampuan enjin itu sebelah mata. Tidak dapat dinafikan ada masanya anda akan berasa Cross Touran seakan-akan tidak berkuasa untuk memecut atau memotong kenderaan lain. Pada ketika itulah penukaran gear secara manual menerusi paddle shifter benar-benar membantu.


PRAKTIKALITI dan aksesori yang boleh anda dapati pada model MPV Cross Touran.

Malah, kecekapan gear dapat ditukar dengan pantas juga membuatkan pemanduan terasa semakin menyeronokkan. Biarpun memiliki kerangka badan kotak dan tinggi, kestabilannya boleh dipuji. Olengan tubuhnya adalah minimum dan melepasi ekspektasi saya.

Cross Touran hadir dengan pelbagai aksesori yang pasti anda hargai. Antaranya, bumbung suria yang besar dan membolehkan cahaya semula jadi tembus ke dalam kabin. Jika ia dibuka sepenuhnya, penghadang angin disediakan bagi mengelakkan angin daripada menghuru-harakan keadaan di dalam kabin.

“Kami ingin menawarkan produk kelas dunia pada harga yang berpatutan. Inilah Das Auto atau The Car yang kami lihat di Volkswagen,” kata Pengarah Urusan VGM, Ricky Tay.

Ketiga-tiga model itu sudah boleh anda lihat secara dekat di mana-mana bilik pameran VW di seluruh negara.

Selepas tiba dan menyerahkan kunci di bilik pameran VW di Glenmarie Shah Alam, saya ada satu kesimpulan. Orang Jerman memang pandai buat kereta.

No comments: