Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday, 14 November 2011

AUKU tidak perlu dipinda


DARI UTUSAN MALAYSIA
12/11/2011



SHAH ALAM 11 Nov. – Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) tidak perlu dipinda kerana politik di universiti hanya akan memecahkan perpaduan sesama penuntut sedangkan matlamat utama mereka ialah menimba ilmu dan mendapat pekerjaan bagi menjamin masa depan.

Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Datuk Prof Dr. Sahol Hamid Abu Bakar (gambar) berkata, universiti itu tidak bersetuju dengan cadangan pindaan AUKU kerana kebebasan politik hanya akan mengancam keamanan serta kesepakatan penuntut Melayu dan bumiputera di universiti.

“Anak-anak (penuntut UiTM) saya aman harmoni berjuang bersama-sama dan menuntut ilmu untuk menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

“Apa yang penting kita semua bersatu padu dan tidak berpecah belah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan beberapa pihak yang mahu AUKU dipinda bagi memberi ruang dan kebebasan berpolitik kepada penuntut universiti.

Sahol Hamid berkata, pada masa ini, penuntut diberi peluang untuk meluahkan pandangan dan pendapat mereka melalui persatuan yang disertai serta pilihan raya kampus yang diadakan dan ini sudah memadai.

“Malah saya sendiri mempunyai akaun Facebook yang digunakan untuk berhubung secara terus dengan penuntut UiTM. Mereka boleh mengadu apa sahaja kepada saya dan tindakan yang sewajarnya akan diambil.

“Kalaupun minat sangat dengan politik, habiskan dulu pengajian. Di UiTM, pengajian kita adalah sangat intensif, jadi tidak ada masa untuk berpolitik,” kata Sahol Hamid.

Mengulas lanjut, beliau berkata politik orang Melayu pada hari ini menjurus kepada perpecahan dan bukan perpaduan.

Beliau berkata, apa yang jelas masing-masing cuba memburukkan sesama sendiri sambil terlupa pihak lain sentiasa bersatu padu dalam memastikan survival mereka di masa depan.

“Jangan terlalu ghairah sampai lupa sejarah, lupa helah dan tidak nampak apa yang sedang berlaku. Melayu sepatutnya kuat dan bersatu padu,” katanya. – BERNAMA

Dua MPP tidak setuju AUKU dipinda
DARI UTUSAN MALAYSIA
13/11/2011


KUALA LUMPUR 12 Nov. - Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) menyifatkan cadangan meminda Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) sebagai sesuatu yang berunsurkan politik.

Presiden MPP USM, Muhammad Idzuan Jamaluddin berkata, sebagai mahasiswa pihaknya tidak mahu agenda politik menyusup ke dalam kampus kerana ia akan menganggu pembelajaran di kampus.

"Sebenarnya hanya minoriti daripada mahasiswa yang bersuara untuk meminda AUKU kerana mentaliti mereka telah dipengaruhi oleh unsur-unsur politik yang berusaha memasuki kampus," katanya di sini hari ini.

Beliau mengulas pandangan Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Sahol Hamid Abu Bakar yang tidak bersetuju dengan cadangan pindaan AUKU.

Tambah Muhammad Idzuan, sejak AUKU diwujudkan tiada sebarang laporan mengenai kemerosotan akademik melibatkan mahasiswa.

"Mahasiswa perlu ingat bahawa kehadiran mereka ke universiti adalah untuk menimba ilmu dan bukannya untuk terlibat dengan sebarang kegiatan politik," katanya.

Presiden MPP UPM, Iqbal Ismat Nordin pula berkata, pindaan AUKU sebenarnya tidak mengambil kira pertimbangan akademik.

"Cadangan pindaan AUKU dibuat berdasarkan alasan hak manusia tanpa mengambil kira faktor akademik mahasiswa. Kita tidak mahu di kalangan mahasiswa wujud perpecahan disebabkan faktor parti politik kerana ia akan menyebabkan mereka lalai dalam pelajaran," ujarnya.

KOMEN : SUARA SIAPA YANG LEBIH PENTING? SUARA PELAJAR DAN PENDIDIK ATAU SUARA ORANG GILA POLITIK? SENDIRI BELAJAR PUN MASIH DITANGGUNG, APA SIBUK SANGAT NAK BERPOLITIK... KEJAYAAN AKADEMIK LEBIH PENTING UNTUK MASA DEPAN PELAJAR-PELAJAR INI DARI MENYOKONG PARTI POLITIK YANG MEMBAWA REBAH...

No comments: