Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Thursday, 17 November 2011

DEBAT 211 JAM DARI 24. NOV HINGGA 2 DISEMBER 2011

Debat dapat sokongan Dr. Mahathir, pelajar dan artis
Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my



CUBAAN Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk memecahkan rekod dalam Malaysia Book of Records (MBR) dengan mengadakan Debat Bahasa Melayu Tanpa Henti 211 Jam mulai 24 November hingga 2 Disember ini mendapat sokongan negarawan negara, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri itu dijangka akan menghadirkan diri sebagai peserta dalam acara yang akan berlangsung di Anjung Sri Budiman, UiTM Shah Alam, Selangor.

Ia juga bakal disertai beberapa artis terkenal tanah air dan kira-kira 1,300 pendebat yang terdiri daripada pelajar sekolah, kolej, politeknik, institut perguruan dan institusi pengajian tinggi (IPT) dari seluruh negara.

Program debat ala perbahasan di Parlimen itu adalah kesinambungan daripada rekod terdahulu yang berjaya dicatatkan dalam MBR iaitu selama 100 jam, 10 minit dan 44 saat.

Rekod itu telah dicipta oleh pelajar UiTM pada 2006 dengan bantuan sebilangan pendebat dari luar. Program itu telah dianjurkan oleh Fakulti Pendidikan UiTM.

Sebanyak 211 usul akan dikemukakan dalam usaha terbaru untuk memecah rekod yang berlangsung secara berterusan selama sembilan hari.

Antara usul-usul yang dicadangkan selaras dengan tema debat iaitu 'Transformasi dan Perpaduan Bangsa Dalam Mengangkat Martabat Bahasa Melayu' adalah ' Demi Kestabilan Negara, ISA Perlu Dipertahankan'.

Usul lain adalah Perlembagaan Kita Sudah Tidak Lagi Dijunjung; Rukun Negara Hanya Hafalan, Bukan Amalan; Ketidakseimbangan Etnik Dalam Sektor Swasta: Salah Mereka; Dialog Antara Agama Perkukuh Integrasi Nasional dan Pendidikan dan Perpaduan, Seiring Tidak Sehaluan.

Ia merupakan anjuran Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (Impak) UiTM, Yayasan Oreator bersama Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Fakulti Pendidikan UiTM.

Felo Impak UiTM, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, perdebatan itu diharap dapat memupuk kesedaran untuk mengutamakan fakta dalam melakukan transformasi perpaduan negara dan bukannya berlandaskan emosi semata-mata.

Tambah beliau, usaha untuk mencipta rekod MBR itu merupakan satu pendedahan awal kepada mahasiswa tentang tata susila dan adab perdebatan di Parlimen di samping memupuk budaya perpaduan berbilang kaum di negara ini.

''Usaha untuk meningkatkan soal perpaduan adalah penting bagi generasi muda untuk membentuk masyarakat yang berdisiplin pada masa depan," katanya.

Dalam pada itu, Irmohizam menjelaskan, persediaan untuk mencipta rekod MBR itu berjalan lancar dengan segala persiapan dari segi logistik telah pun dibuat untuk memastikan keselesaan lebih 30,000 pengunjung.

''Kerancakan debat ini sudah mula dapat dirasai apabila ramai di kalangan kumpulan pelajar UiTM telah mendaftar untuk menjadi sebahagian daripada pendebat.

''Penyertaan dibuka kepada mereka yang berumur 15 tahun ke atas dengan setiap pasukan mempunyai lapan anggota iaitu tiga pencadang, tiga pembangkang dan dua calon simpanan.'' ujarnya.

Baru-baru ini, UiTM dan Utusan Melayu (M) Bhd. turut menjalin kerjasama bagi menjayakan program berkenaan dengan matlamat untuk memartabatkan kedudukan pendidikan orang Melayu, penyelidikan dan perkembangan bahasa Melayu.

Kerjasama itu dimeterai melalui satu memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua institusi tersebut untuk memartabatkan kedudukan bangsa Melayu dan bumiputera di negara ini, termasuk meningkatkan kedudukan bahasa Melayu serta tulisan jawi.

Utusan diwakili Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin manakala UiTM pula diwakili Naib Canselornya, Prof. Datuk Ir. Sahol Hamid Abu Bakar.

Dalam pada itu, Pengarang Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim berkata, akhbar berkenaan akan memberikan liputan penuh sepanjang acara itu berlangsung.

''Orang ramai juga boleh mengetahui perkembangan sepanjang acara itu secara terus dalam talian melalui laman web Utusan Online," ujarnya.

Tambah beliau, Kumpulan Utusan juga akan membuka gerai jualan buku dan majalah sepanjang acara itu berlangsung.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia ke UiTM baru-baru ini mendapati telah diadakan klinik debat yang dikendalikan oleh Penasihat program debat tanpa henti berkenaan, Noriza Hussin.

Klinik debat yang disertai pelajar kokurikulum satu dan pengucapan awam UiTM di Dewan Dedaru, Fakulti Pendidikan, UiTM Shah Alam turut memfokuskan teknik debat dan tanggungjawab setiap pendebat.

Bermula dengan tanggungjawab pencadang pertama disusuli dengan pencadang kedua dan pencadang ketiga, seterusnya peranan ketua pembangkang, timbalan ketua pembangkang dan pembangkang ketiga serta diakhiri dengan sesi penggulungan bagi kedua-dua pihak.

Selain itu, klinik perdebatan itu juga membantu peserta bagaimana untuk membina usul berdasarkan tema program itu.

Ia juga memberi fokus kepada kemahiran berkomunikasi khususnya dalam aspek kualiti nada dan penguasaan istilah-istilah bahasa Melayu di samping melatih peserta untuk berfikir secara kritikal.

KOMEN : SEMOGA SEMUANYA MENCAPAI KEJAYAAN...

No comments: