Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday, 1 November 2011

AUKU - Seksyen 15(5)(a)

AUKU masih relevan, cuma perlu penambahbaikan - Pakar
DARI UTUSAN MALAYSIA
1/11/2011


KUALA LUMPUR 31 Okt. - Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) masih relevan dan tidak perlu dihapuskan walaupun Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan Seksyen 15(5)(a) akta berkenaan yang melarang mahasiswa berpolitik sebagai tidak sah.

Pensyarah Fakulti Undang-undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Shamrahayu Abdul Aziz berkata, apa yang perlu dilakukan cuma penambahbaikan dengan memasukkan secara spesifik umur mahasiswa yang dibenarkan berpolitik.

Sambil menyambut baik keputusan Mahkamah Rayuan itu, beliau berkata, semua pihak perlu menghormati keputusan mahkamah kerana ia merupakan institusi yang dipertanggungjawab bagi menilai sistem perundangan negara.

Jelasnya, keputusan Mahkamah Rayuan itu bermakna kebebasan dan hak bersuara rakyat Malaysia termasuk para pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sentiasa diiktiraf oleh undang-undang negara dan ia selari dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, beliau berharap, jika keputusan Mahkamah Rayuan itu kekal, mahasiswa perlu menggunakan peluang untuk berpolitik dengan cara bijaksana dan bukannya mengikut emosi semata-mata sehingga mengabaikan kepentingan akademik.

"Saya percaya akan ada pihak (Kementerian Pengajian Tinggi) membuat rayuan di peringkat lebih tinggi selepas ini, tetapi kita semua perlu merai keputusan Mahkamah Rayuan walaupun ia dilihat sebagai keputusan yang jarang-jarang berlaku di negara ini.

"Mahkamah Rayuan telah buat tafsiran yang selari dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang memberi hak dan kebebasan kepada rakyat Malaysia untuk berkumpul dan menyuarakan pendapat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Low Hop Bing dalam keputusan majoriti 2-1 memutuskan Seksyen 15(5)(a) tidak sah selepas membenarkan rayuan empat penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang didakwa terlibat dalam kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor, April tahun lalu.

Mengulas lanjut, Shamrahayu berkata, adalah tidak adil untuk pihak berkuasa terus menyekat mana-mana mahasiswa yang berumur 21 tahun ke atas daripada terlibat dalam politik kerana rakan sebaya mereka yang berada di luar lingkungan universiti dibenarkan.

Malah, katanya, peraturan yang melarang semua mahasiswa terlibat dengan politik dilihat sebagai tidak lagi sesuai untuk terus diguna pakai memandangkan Perlembagaan Persekutuan sendiri membenarkan rakyat Malaysia yang berumur 21 tahun ke atas mengundi.

"Apa yang penting adalah pihak berkenaan perlu membuat peraturan secara spesifik. Larangan itu tidak boleh lagi merangkumi keseluruhan mahasiswa dan sepatutnya dikuatkuasa hanya kepada mahasiswa berumur bawah 21 tahun," ujarnya.


AUKU harus dilihat secara positif

SINGAPURA 31 Okt. - Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) harus diterima sebagai undang-undang yang mendapat kelulusan Dewan Rakyat, Dewan Negara dan telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, dalam Pelan Transformasi Politik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, AUKU adalah antara akta yang akan dikaji semula tetapi tidak boleh dirangkumkan sebagai menyalahi Perlembagaan.

"Ketika diperkenalkan, berlaku kegelisahan masyarakat disebabkan kuasa pelajar pada 1974 yang saya secara peribadi turut terlibat ketika menjadi pemimpin mahasiswa.

"Sejak itu sehingga sekarang AUKU masih berkuat kuasa dan dalam keadaan tersebut ia harus dilihat relevannya mengikut situasi ketika itu," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan Menteri Pertahanan Singapura, Dr. Ng Eng Hen.

Ahmad Zahid berkata demikian sebagai mengulas keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang memutuskan Seksyen 15(5)(a) AUKU 1971 yang melarang mahasiswa menzahirkan sokongan atau bangkangan dalam kegiatan politik, sebagai tidak sah di sisi undang-undang.

Katanya, melalui transformasi yang mahu dilakukan, 'roh' AUKU itu sendiri bukan tertakluk kepada keputusan-keputusan akhir yang telah dibuat tanpa menyentuh keputusan mahkamah.

"Tetapi kita merasakan AUKU harus dilihat dari segi positif bukan negatif termasuk memohon keizinan HEP dan alumni untuk persatuan mahasiswa melakukan aktiviti.

"Pada hemat saya, para pelajar seharusnya memberi tumpuan utama dalam bidang akademik dan kalau mahu terlibat politik sekadar politik pelajar. Pencapaian pelajar adalah perkara paling penting berbanding penglibatan politik," katanya. - utusan

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, jika ada kumpulan mahasiswa mahu melibatkan diri dalam politik negara, mereka haruslah menunggu sehingga tamat pengajian.

"Keputusan mahkamah harus dihormati tetapi masih tertakluk pada pindaan yang akan dilakukan dan dibawa ke Parlimen sebagai satu proses membuat undang-undang setelah perbincangan dan perbahasan diadakan," katanya.

KOMEN : YANG BIJAK BERPOLITIK AKAN BERJAYA DAN YANG IKUT MEMBABI BUTA DAN KURANG BIJAK BERPOLITIK AKAN KECUNDANG DITENGAH JALAN...

No comments: