Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday, 21 November 2011

Tangani politik putar belit pembangkang


Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my



POLITIK memutar belitkan fakta dan melakukan fitnah demi meraih keuntungan politik seolah-olah tidak asing lagi bagi parti pembangkang di negara kita.

Mereka berusaha memburuk-burukkan apa juga usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) dan bersedia untuk memutar belitkan fakta demi menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat yang seterusnya akan membolehkan mereka meraih sokongan politik.

Terbaru mereka menyerang Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dan Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC).

Itulah sikap pembangkang di negara ini dan pada tahun 2008, pembangkang mengamalkan politik persepsi yang berjaya mempengaruhi sebahagian besar rakyat bahawa pentadbiran kerajaan BN ketika itu lemah dan harus ditumbangkan.

Mereka hampir berjaya dan kini menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 pelbagai isu diputar belitkan hatta melibatkan Bajet 2012 sekali pun.

Semua ini seharusnya memberikan kesedaran kepada parti-parti komponen BN bahawa mereka kini berhadapan dengan sekelompok parti pembangkang yang bersedia memutar belitkan fakta demi keuntungan politik mereka.

Apa yang membimbangkan, pembohongan dan putar belit fakta dilakukan dengan penuh keyakinan oleh puak-puak pembangkang sehingga boleh mempengaruhi pemikiran rakyat.

Sebab itulah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memperingatkan mengenai bahayanya politik putar belit pembangkang itu.

Menurut beliau, pembangkang kini ghairah menghakis kepercayaan rakyat kepada kerajaan melalui pelbagai tuduhan dan fakta yang diputarbelitkan serta menabur janji-janji kosong.

Walaupun Muhyiddin mengingatkan rakyat supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakyah pembangkang, namun ia bukanlah satu kerja yang mudah.

Ini memandangkan pembangkang juga mempunyai jentera propagandanya sendiri yang bersedia menyebarkan dakyah-dakyah mereka kepada rakyat.

Lihat sahaja blog-blog pro mereka, pelbagai tuduhan tidak berasas dilemparkan kepada kerajaan BN dan semuanya berdasarkan kepada fakta-fakta yang diputar belitkan.

Bagi pembangkang, soal sama ada fakta yang mereka bentangkan benar atau palsu itu soal kedua yang penting ialah menimbulkan keraguan rakyat sama ada terhadap kerajaan mahupun pemimpin tertentu dalam BN.

Justeru ancaman politik memutar belitkan fakta ini tidak harus dipandang ringan oleh BN apatah lagi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13.

Parti komponen BN terutamanya UMNO perlu mempertingkatkan usaha penerangan kepada rakyat.

Setiap isu yang dibangkitkan oleh pembangkang melalui pendekatan memutar belitkan fakta amat bahaya kerana ia lama-kelamaan boleh mempengaruhi rakyat mempercayai dakyah pembangkang.

Masanya sudah tiba untuk BN menggerakkan secara bersepadu seluruh jentera penerangan untuk meredah setiap pelosok tanah air bagi memberikan penerangan kepada rakyat terhadap segala isu yang dibangkitkan oleh pembangkang.

Parti komponen BN tidak boleh bersikap syok sendiri dengan begitu mempercayai bahawa jumlah kehadiran yang ramai dalam majlis-majlis mereka menunjukkan bahawa sokongan rakyat sudah pulih tanpa menyedari bahawa dakyah pembangkang bagaikan api dalam serkam yang boleh melenyapkan sokongan kepada BN.

Seperti mana diakui oleh pemimpin-pemimpin BN sendiri, pilihan raya umum akan datang cukup getir dan pembangkang bersedia melakukan apa sahaja bagi mempengaruhi rakyat, maka BN juga perlu membuat persediaan yang mencukupi bagi menghadapi 'peperangan besar' berkenaan.

Biro-biro penerangan BN perlu aktif bukannya membuat satu demi satu kenyataan media sedangkan kita sendiri tidak pasti sejauh mana ia mampu menangkis dakwaan pembangkang.

Adalah lebih baik jika biro penerangan berkenaan turun bertemu rakyat dan berjumpa secara bersemuka biar pun dalam kelompok yang kecil bagi memberi penerangan sebenar terhadap sesuatu isu yang diputar belitkan oleh pembangkang.

Pemimpin-pemimpin BN dan UMNO di semua peringkat tidak boleh mengharapkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Muhyiddin sahaja untuk memberi penjelasan.

Sebaliknya, jika mereka benar-benar sayangkan parti dan ingin memastikan BN terus kekal berkuasa dalam pilihan raya umum akan datang, maka mereka juga perlu bersedia menjadi jentera penerangan kepada rakyat.

Selain itu, janganlah pula ada di kalangan pemimpin BN dan UMNO bertindak bagaikan duri dalam daging apabila secara senyap-senyap bersekongkol dengan pembangkang untuk menjatuhkan saingan politik mereka dalam parti sendiri.

Tindakan ini boleh dianggap sebagai satu pengkhianatan kerana bersedia menjadi 'musuh dalam selimut' semata-mata kerana ingin mencapai cita-cita politik peribadi.

Seperkara lagi, sebelum bertemu rakyat, mereka yang terlibat perlulah mempunyai pengetahuan terhadap isu yang diputar belitkan pembangkang.

Janganlah turun ke padang dengan tiada pengetahuan terhadap sesuatu isu kerana ia hanya akan memakan diri.

Pemimpin-pemimpin BN dan UMNO di semua peringkat perlu faham bahawa sekarang bukan di zaman tahun 1970-an atau 1980-an di mana rakyat hanya bergantung kepada media elektronik dan media cetak untuk mengetahui sesuatu isu.

Sekarang sudah banyak cara maklumat disampaikan, ia termasuklah melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dan blog-blog serta portal-portal berita.

Perkara yang paling penting dipegang oleh pemimpin-pemimpin BN dan UMNO ialah kebenaran akan mengatasi kebatilan, apabila kebenaran muncul maka lenyaplah kebatilan.

Justeru biarlah sejauh manakah pun pembangkang cuba memutar belitkan fakta tetapi kebenaran pasti akan muncul, tetapi kebenaran tidak akan muncul, kalau kita tidak berusaha memunculkannya.

Atas sebab itulah, BN dan UMNO perlu bersungguh-sungguh menggerakkan jentera penerangannya, jangan biarkan orang beranggapan bahawa unit penerangan parti itu dianggap 'hidup segan mati tak mahu' atau pandai berteori sahaja sedangkan cabaran dalam pilihan raya umum nanti cukup sengit.

BN dan UMNO masih mempunyai masa untuk menangkis serangan jahat pembangkang terhadap apa juga isu yang dibangkitkan.

Dan mereka juga perlu memberi keyakinan kepada rakyat agar tidak termakan dengan tohmahan dan janji-janji kosong pembangkang kerana ia ibarat mempertaruhkan masa depan negara kepada satu kelompok yang ingin kuasa semata-mata.

KOMEN : SATU AJE PERSOALANNYA... KENAPA ADA RAKYAT YANG SANGGUP MENJADIKAN MANUSIA YANG KUAT PENIPU, MEMUTAR BELITKAN FAKTA DAN TERPALIT DENGAN KESALAHAN JENAYAH SEBAGAI PEMIMPIN IDOLA MEREKA... APATAH LAGI YANG SANGGUP MEMUTARBELITKAN AYAT-AYAT ALQURAN DEMI KELANGSUNGAN POLITIK SONGSANG MEREKA...? KALAU MEMILIH PEMIMPIN BIAR YANG DAPAT MEMBERIKAN KEBAIKAN KEPADA KITA DAN ANAK CUCU KITA... KALAU TERSALAH PILIH JADILAH KITA MANUSIA YANG MEREMPAT DITANAH AIR KITA SENDIRI...

No comments: