AZMAN IBRAHIM | 20 November 2015 2:00 AM
NURUL IZZAH ANWAR (dua dari kanan) dan Jacel Kiram (kiri) dalam satu majlis makan di Filipina baru-baru ini. GAMBAR FACEBOOK
KUALA LUMPUR 19 Nov. – Tindakan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar bertemu dengan anak perempuan bekas ketua pengganas kumpulan bersenjata Sulu, Jacel Kiram menimbulkan persoalan.
Jacel memuat naik empat keping gambar pertemuan dengan Nurul Izzah dalam akaun Facebook, Princess Jacel H. Kiram-Hassan dipersoalkan.
Malah, turut dimuat naik gambar Jacel memegang kain rentang yang tertera perkataan ‘Lepaskan Anwar Segera’.
Gambar-gambar yang dimuat naik Jacel bertarikh 9 November lalu menerima dua perkongsian oleh rakan Facebook serta tiga hingga 89 likes.
Rakan Facebook Jacel, Jerico Natividad Bustamante mengemukakan soalan dalam satu daripada empat keping gambar yang dimuat naik; “Adakah itu anak perempuan Anwar?”
Jawab Jacel; “Ya!”.
Seorang lagi rakan Facebook, Ead MasReka menjawab Nurul Izzah Anwar.
Sementara itu, penulis blog LSS Report, Lim Sian See dalam akaun Facebook miliknya turut mempersoalkan pertemuan tersebut kerana mempunyai bukti secara bergambar dan dianggap mempunyai agenda tertentu.
“Saya berasa hairan apa yang dibincangkan oleh Nurul Izzah, Jacel dan rakan lelaki ‘Mat Salih’ yang tidak dikenali dalam majlis makan malam. Adakah kerana makanan itu sangat sedap?,” soal Sian See.
Menurut Sian See, Jacel merupakan ketua jurucakap sewaktu pencerobohan Lahad Datu suatu masa dahulu.
Katanya, anak perempuan Kiram itu pada waktu ini dikatakan sedang mengejar jawatan senator untuk dijadikan landasan untuk menuntut Sabah dari Malaysia.
Sian See turut mengandaikan beberapa alasan yang mungkin diberi oleh Nurul Izzah jika dipersoalkan rakyat mengenai pertemuan itu, termasuk tidak mengenali Jacel.
Kali pertama bertemu dengan anak perempuan Kiram, tidak mengenali Kiram, tidak mendatangkan bahaya kerana berbual dengan gadis itu, cuba meyakinkan Jacel untuk menggugurkan tuntutan ke atas Sabah bagi manfaat hubungan Malaysia-Filipina dan beberapa lagi.
“Ini adalah penghinaan kepada warga Malaysia, orang Sabah dan terutamanya wira-wira negara yang mempertahankan kedaulatan negara,” kata Sian See.
Sementara itu, Nurul Izzah dalam satu kenyataan mengakui beliau bertemu Jacel pada 9 November lalu, apabila berada di Filipina bersama-sama dengan Ahli Parlimen Batu Tian Chua sebagai sebahagian daripada rombongan PKR untuk bertemu dengan pelbagai pihak berkepentingan negara itu.
Beliau berkata majlis itu dianjurkan Majlis Hal Ehwal Filipina dan Institut Asia bagi Demokrasi, pejabat Datuk Bandar Manila dan pejabat Naib Presiden Filipina.
“Mereka putuskan mengenai senarai para pemimpin yang perlu ditemui. Antaranya calon-calon sah yang bertanding atas tiket naib presiden Jejomar Binay - dan banyak lagi pemimpin pertubuhan awam,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/pertemuan-nurul-izzah-jacel-dipersoal-1.160307#sthash.I4X0WGkg.dpuf
No comments:
Post a Comment