03 November 2015 1:00 AM
MEXICO CITY – Nico Rosberg mengetepikan rakan sepasukan dan juara dunia yang baharu Lewis Hamilton untuk memenangi perlumbaan Grand Prix Mexico semalam.
PEMANDU Mercedes AMG Petronas, Nico Rosberg mengangkat trofi ketika meraikan kejayaannya memenangi Grand Prix Mexico di Autodromo Hermanos Rodriguez, Mexico City semalam. AFP
Dalam perlumbaan sulung Formula Satu di Mexico dalam tempoh 23 tahun itu, Rosberg, yang bertelingkah dengan Hamilton di Texas minggu lalu, menebus kehampaannya dengan melakar kemenangan keempat musim ini dan yang ke-12 dalam kariernya.
“Hari yang cukup menakjubkan, satu pertarungan yang hebat dengan Lewis, yang memandu dengan baik sekali dan saya sangat gembira berjaya meraih kemenangan di tempat yang mengagumkan ini. Memang cukup manis kejayaan ini dapat diraih di depan penonton yang hebat,” kata pemandu dari Jerman berusia 30 tahun itu.
“Nico telah mempamerkan pemanduan yang cukup menakjubkan dalam perlumbaan ini,” kata Hamilton.
Pelumba dari Britain itu, yang bermula dari petak kedua, gagal memberikan saingan sengit di hadapan kira-kira 140,000 penonton dan menamatkan aksi di belakang rakan sepasukannya.
Bagi Rosberg, kejayaan tersebut telah memberi kepuasan kepadanya setelah dia mempersiakan peluang ekoran kesilapan sendiri tujuh hari lalu yang membuka laluan kepada Hamilton merangkul gelaran dunia untuk kali ketiga setelah memenangi Grand Prix Amerika Syarikat.
Sepanjang musim ini, Rosberg memulakan perlumbaan dari petak utama sebanyak 10 kali, namun hanya berjaya meraih kemenangan keduanya sebagai pendahulu perlumbaan sejak Grand Prix Australia.
Kemenangan tersebut turut membolehkan dia memintas pelumba Ferrari, Sebastian Vettel di kedudukan kedua, setelah juara dunia empat kali itu gagal menamatkan perlumbaan kerana kemalangan.
Nasib serupa dialami rakan sepasukan Vettel, Kimi Raikkonen yang berlanggar dengan rakan senegaranya dari Finland, Valtteri Bottas yang mewakili pasukan Williams.
Bottas menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga, sementara Daniil Kvyat dari pasukan Red Bull di tangga keempat dan rakan sepasukannya Daniel Ricciardo serta seorang lagi pelumba Williams, Felipe Massa masing-masing di tempat kelima dan keenam. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/lumba-kereta/rosberg-tebus-8232-kekecewaan-8232-di-mexico-1.153711#sthash.hCZAkTiA.dpuf
No comments:
Post a Comment