Farizal, benteng pertahanan cemerlang – Gomez
02 November 2015 12:06 AM
FARIZAL MARLIAS (kanan) meraikan kemenangan JDT bersama rakan-rakan sepasukan di Stadium Central Republikan, Dushanbe, kelmarin. - GAMBAR IHSAN/FACEBOOK JOHOR SOUTHERN TIGERS
KUALA LUMPUR - Mario Gomez memuji persembahan penjaga, gol Farizal Marlias dan barisan pemain pertahanannya yang dianggap kunci utama yang membawa Johor Darul Ta’zim (JDT) memahat sejarah muncul kelab Malaysia pertama merangkul Piala AFC, kelmarin.
Ketua Jurulatih skuad Harimau Selatan itu berkata, pemainnya mengikuti arahan dengan baik dan berhak muncul juara selepas menumpaskan wakil Tajikistan, FC Istiklol 1-0 dalam perlawanan akhir di Stadium Central Republikan, Dushanbe.
“Penjaga gol kami dan pertahanan bermain dengan baik ketika Istiklol memberikan tekanan ke atas pasukan.
“Saya juga gembira kerana pemain telah mengikut arahan dengan sebaiknya dan saya bangga dengan kemenangan ini,” kata Gomez.
Dalam perlawanan tersebut, gol tunggal kemenangan JDT dihasilkan oleh pemain import dari Argentina, Leandro Velazquez pada minit ke-23.
Selepas memperoleh gol pembukaan, cabaran skuad Harimau Selatan tidak mudah apabila diberi tekanan berterusan oleh pasukan tan rumah, namun asakan bertali-arus itu berjaya diserap dengan baik oleh JDT sehingga tamat permainan.
Malah, ketua pasukan mereka, Safiq Rahim kemudian dinobat sebagai Pemain Terbaik (MVP) untuk kempen Piala AFC 2015.
“Saya gembira dengan pemain saya malam ini.
“Kami mencipta sejarah buat bola sepak Malaysia dalam saingan Piala AFC dan kami bekerja keras untuk mendapatkan trofi ini.
“Ini adalah perlawanan yang cukup bagus dan atmosfera yang hebat di stadium.
“Istiklol mempamerkan permainan menyerang dan mereka mempunyai peluang pada minit pertama namun berupaya menukar perlawanan selepas itu,” kata Gomez.
Pada ketika JDT pulang bersama kepuasan, jurulatih Istiklol, Mubin Ergashev kecewa kerana pasukannya gagal memanfaatkan peluang mendapatkan jaringan, selain tidak gembira dengan beberapa gol yang dibatalkan oleh pengadil.
“Malang sekali kami tewas saingan akhir di tempat sendiri. Kami cuba memberikan kegembiraan kepada penyokong kami, namun tidak berupaya memenangi perlawanan ini.
“Kami telah memulakan perlawanan dengan baik dan mencipta beberapa percubaan tetapi jika anda tidak menjaringkan gol anda tidak boleh meraih kemenangan. Sepatutnya kami memanfaatkan peluang yang ada,” kata Ergashev.
Istiklol dilihat mempunyai peluang untuk mendominasi perlawanan berikutan mempunyai banyak peluang terhidang bagi menjaringkan gol sebelum JDT meledak gol pada minit ke-23 menerusi Velazquez berpunca daripada sepakan penjuru Safiq.
“Kami mengawal perlawanan pada babak pertama, namun terpaksa mengalah selepas sepakan sudut tersebut. Kami hilang tumpuan ketika itu tetapi tetap meneruskan serangan.
“Kami sudah bermain dengan baik cuma memerlukan sedikit tuah dalam bola sepak. Ini adalah waktu yang sukar buat kami. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada JDT atas kejayaan mereka ini,” kata Ergashev. – AGENSI
- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/jdt-berhak-jadi-juara-1.153168#sthash.qzgHJGLN.dpuf
No comments:
Post a Comment