Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday, 4 November 2015

Kerajaan bayar faedah RM1.5 bilion setahun

Pelajar enggan bayar pinjaman PTPTN

HAKIMI ISMAIL | 04 November 2015 1:26 AM


ZAINI UJANG (empat dari kiri) menyaksikan Zulkifli Md Salleh (dua dari kiri) bertukar dokumen dengan Lee Wei Jye pada Majlis Penyerahan Tenaga Kerja kepada Industri dan Pemeteraian Nota Kerjasama di Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA 3 Nov. - Kerajaan perlu menanggung kadar faedah sebanyak RM1.5 bilion setiap tahun akibat keengganan para peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membayar balik pinjaman mereka.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang berkata, sikap tidak bertanggungjawab itu menyebabkan kerajaan terpaksa mengeluarkan peruntukan baharu untuk menyediakan pinjaman kepada pelajar lain.

Beliau berkata, dalam pembentangan Bajet 2016, kerajaan telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM10 bilion untuk tujuan pinjaman kepada pelajar yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT).

“Perkara ini amat mendukacitakan kerana kerajaan perlu menanggung kadar sebanyak empat peratus setahun dan RM1.5 bilion digunakan hanya untuk membayar bunga pinjaman dan bukannya asas pinjaman mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program penyerahan tenaga kerja kepada industri dan pemeteraian nota kerjasama di antara Politeknik Banting, Selangor dan Antah Schindler Sdn. Bhd. (Antah Schindler) di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik, Datuk Mohlis Jaafar; Pengarah Politeknik Banting, Zulkifli Md. Salleh dan Ketua Pegawai Operasi Antah Schindler, Lee Wei Jye.

Sementara itu, Zaini berkata, kerajaan bercadang untuk memperkasakan lagi Jabatan Pendidikan Politeknik dengan menjadikannya sebagai sebuah badan berkanun pada tahun hadapan.

“Langkah ini merupakan pembaharuan yang baik kerana akan menjadikan politeknik lebih fleksibel termasuk dalam hal mengurus kewangan, perjawatan dan kenaikan pangkat,” katanya.

Mengulas mengenai pemeteraian nota kerjasama antara Politeknik Banting dan Antah Schindler, Zaini berkata, kerjasama tersebut akan memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak selain menjamin peluang pekerjaan kepada pelajar.

“Kementerian dan pihak industri akan terus menjalinkan kerjasama dengan lebih erat bagi memastikan transformasi sistem pendidikan tinggi dapat dicapai menjelang 2025, kerjasama hari ini adalah satu usaha yang baik untuk menjurus kepada kejayaan tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Zulkifli ketika berucap dalam program yang sama berkata, sebanyak 15 pelajar telah ditawarkan jawatan sebagai juruteknik oleh Antah Schindler sekali gus membuktikan pelajar politeknik sememangnya berkualiti serta berdaya saing.

“Nota kerjasama hari ini juga akan menjamin kebolehpasaran para pelajar Politeknik Banting dengan Antah Schindler secara berterusan dengan kadar sekurang-kurangnya 20 orang setiap tahun sebagai juruteknik.

“Ketika ini kebolehpasaran graduan lepasan Politeknik Banting amat konsisten iaitu telah berjaya mengekalkan rekod 100 peratus untuk tiga tahun berturut-turut bermula 2012, kejayaan ini adalah hasil kerjasama semua pihak terutamanya kementerian dan pihak industri,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/kerajaan-bayar-faedah-rm1-5-bilion-setahun-1.154365#sthash.9F4wCSxe.dpuf


No comments: