Tunku Mahkota Johor, ketua pasukan luah perasaan
02 November 2015 12:07 AM
KENYATAAN Safiq Rahim yang dikeluarkan Faceboon rasmi JDT, JOHOR Southern Tigers, semalam.
KUALA LUMPUR - Kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) dinobat sebagai wakil Malaysia pertama merangkul kejuaraan Piala AFC kelmarin diraikan dengan penuh emosi oleh dua ‘tulang belakang’ pasukan, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan kapten, Safiq Rahim.
Sejurus selepas Harimau Selatan menumpaskan wakil Tajikistan, FC Istiklol 1-0 di Stadium Central Republican, Dushanbe, Facebook rasmi JDT, JOHOR Southern Tigers (JST) menyiarkan luahan perasaan kedua tenaga penting JDT itu.
Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail yang merupakan Penaung Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) dikatakan menangis kegembiraan ketika menonton perlawanan tersebut menerusi televisyen di Argentina dan perkara itu dikongsikan oleh pentadbir laman JST.
“Pengalaman Admin JST yang turut bersama di Argentina, berasa amat terharu melihat DYAM Tunku Mahkota Johor yang tidak dapat menahan linangan airmata kegembiraan dan kesyukuran setelah JDT dinobatkan sebagai juara kejohanan Piala AFC.
“Segala usaha gigih dan penat lelah selama tiga tahun ternyata berbaloi, dan menjadi pembakar semangat pasukan JDT dan sekalian penyokong Johor.”
Sementara itu, JST mengeluarkan kenyataan sinis Safiq sejurus tamat perlawanan dengan memetik ketua pasukan mereka itu sebagai berkata, kemenangan tersebut ditujukan buat mereka yang selama ini mahu melihat kegagalan pasukan.
Safiq, 28, yang turut dinobat sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) Piala AFC 2015 berkata: “Lakukannya untuk mereka yang mahu melihat anda gagal.”
Ketua pasukan Harimau Selatan itu menjaringkan empat gol sepanjang kempen Piala AFC, sekali gus muncul pemain tempatan terbaik dengan satu gol ketinggalan di belakang penyerang import dari Argentina, Luciano Figueroa yang meledak lima gol.
Ketenangan dan kemampuan membaca permainan pihak lawan menjadikan Safiq sebagai pemain yang sangat diperlukan oleh JDT, seterusnya layak dinobatkan sebagai Pemain Terbaik kejohanan.
JDT dan Istiklol sebelum ini dianggap bernasib baik berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir selepas lawan mereka di separuh akhir, Al-Qadsia SC dan Al-Kuwait SC dibatalkan penyertaan akibat badan induk persatuan mereka, Persatuan Bola Sepak Kuwait digantung keahliannya oleh Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada 16 Oktober lalu.
Dalam perlawanan kelmarin, gol tunggal kemenangan JDT dijaringkan oleh pemain import dari Argentina, Leandro Velazquez pada minit ke-23.
Kejayaan JDT membolehkan juara Liga Super dua tahun berturut-turut itu muncul pasukan Asia Tenggara pertama menjulang kejuaraan kelab Asia.- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kemenangan-dirai-penuh-emosi-1.153192#sthash.hSBA0rpJ.dpuf
No comments:
Post a Comment