25 November 2015 12:20 AM
KUALA LUMPUR - Pahang semakin hampir dengan misi memenangi Piala Malaysia untuk kali ketiga berturut-turut selepas menumpaskan Lions XII 4-1 dalam suku akhir pertama Piala Malaysia manakala Johor Darul Ta’zim (JDT) diselamatkan oleh jaringan Amirul Hadi Yahya pada penghujung perlawanan untuk seri 1-1 dengan Felda United semalam.
Pahang, yang telah terlepas trofi Piala FA dan Liga Super yang mereka menangi musim lalu, memerlukan kemenangan dalam Piala Malaysia untuk sekurang-kurangnya tidak berputih mata tahun ini, dan misi mereka semakin hampir apabila menjaringkan tiga gol pada babak kedua selepas Hafiz Kamal meletakkan mereka di depan seawal minit keenam perlawanan di Stadium Darul Makmur.
Ingin mencari kemenangan besar untuk dibawa sebagai bekalan ke Stadium Jalan besar, Pahang semakin garang selepas waktu rehat dan Matias Conti menyambar umpanan Azamuddin Akil dari sebelah kiri untuk menjaringkan gol kedua pada minit ke-54.
Kedudukan mereka semakin kukuh setelah Dickson Nwakaeme menggelecek pemain pertahanan Lions dan melepaskan rembatan dari hujung kawasan penalti untuk gol ketiga pada minit ke-60 sebelum R. Gopinathan menyudahkan larian cantik dari kiri untuk menjaringkan gol keempat pada minit ke-68.
Lions bagaimanapun menggunakan kealpaan barisan pertahanan tuan rumah untuk memperoleh gol pada masa kecederaan apabila Mohd. Safuwan Baharudin menanduk bola ke dalam gawang walaupun cuba dicabar oleh penjaga gol Khairul Azhan Khalid.
Di Stadium MP Selayang, Felda mencipta kejutan apabila mendahului JDT seawal minit kelapan menerusi Thiago Agusto yang menyepak mudah dari jarak dekat dan kelihatan mampu menang hanya untuk akhirnya berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 apabila rembatan Amirul Hadi menggegarkan jaring pada masa kecederaan.
Sementara itu, misi Selangor untuk mendakap Piala Malaysia untuk kali ke-33 semakin cerah setelah menumpaskan Sarawak 2-1 di Stadium Negeri, hasil jaringan Mohd. Afiq Azmi pada minit ke-89.
Sebelum itu Mohd. Hazwan Bakri meletakkan pasukan pelawat di depan pada minit ke-36 tetapi Sarawak bangkit pada awal babak kedua untuk menyamakan kedudukan hasil jaringan Billy Mehmet pada minit ke-60.
Penonton di Stadium Darul Aman pula menyaksikan dua gol dijaringkan dalam masa 15 minit terakhir untuk menyaksikan Kedah sekadar seri 1-1 dengan PKNS Selangor.
Syazwan Zainon meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-75 sebelum Pedro Henrique mengecewakan mereka dengan gol penyamaan pada minit ke-87.
- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/pahang-menang-selesa-1.161965#sthash.Ikz9LQFs.dpuf
No comments:
Post a Comment