Siswa ITM, UiTM: Idealisme, alat politik
UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA (UITM) kini tidak seperti ITM dulu.
Mahasiswanya kini tidak seperti dulu. Kini mereka mendapat PTPTN, dulu
tiada. Pelajar miskin dulu rata-rata akan menderu ke Dewan Makan untuk
menikmati juadah makan tengah hari, makan malam atau sarapan yang tidak
seberapa, dengan lazatnya.
Kami semua bersyukur ketika itu. Amat-amat bersyukur, kerana wang di
poket ada kalanya terputus. Makan tengah hari pada hari Jumaat
ditunggu-tunggu kerana ia merupakan hidangan istimewa: nasi beriani
dengan ayam masak merah. Hari-hari biasa selalunya ikan cencaru keras
yang disebut dengan panggilan ikan jaket.
UiTM kini lain daripada ITM dulu. Pelajar-pelajar datang ke kampus
berkereta. Sekurang-kurangnya Kancil atau MyVi. Parking di dalam kampus
di Shah Alam penuh sehinggakan parking pensyarah pun diambil alih.
Telefon tangan canggih-canggih belaka. iPad dan tablets tidak asing.
Belajar dalam suasana yang amat selesa. Mereka cukup beruntung.
Namun UiTM sekarang bukan seperti ITM dulu. Dulu perjuangan mereka
ialah untuk masa depan bangsa. Pelajar-pelajar baru didedahkan dengan
semangat lagu Warisan: Anak Kecil Main Api. Semua mereka menyanyikan
lagu itu dengan linangan air mata. Dulu sekitar 1970an pejuang-pejuang
pelajar berjuang untuk masa depan bangsa dan negara.
Kini UiTM sudah mempunyai pelajar seperti Khalid Mohd. Ismath.
Pelajar yang diperalatkan oleh pihak-pihak tertentu. Pada 1970-an ITM
pun mempunyai pelajar seperti dia bernama Ibrahim Ali, tapi perjuangan
mereka berbeza. Ibrahim berjuang atas idealisme siswa, sementara Khalid
atas dasar menjadi alat parti politik.
Jauh bezanya pelajar sekarang dan dulu. Dulu kami Kesatuan Siswa
ITM (KSITM) berslogankan Bumiputera Bertindak. Memperjuangkan untuk ITM
ditukar menjadi Universiti. Berjuang untuk kursus-kursus diploma
tertentu dinaik taraf menjadi ijazah. Itu perjuangan kami. Kami tidak
diperkuda-kudakan oleh mana-mana parti politik," katanya yang menjadi
Presiden KSITM pada 1974, sewaktu berlakunya demonstrasi besar-besaran
oleh para pelajar ITM.
Tarikh demonstrasi ialah 22 April 1974. Berlaku tunjuk perasaan
terhebat dan luar biasa membabitkan 6,000 pelajar ITM. Tepat jam 12
tengah malam, kesemua 6,000 pelajar itu berbaris panjang dan berarak
dari Shah Alam untuk ke bangunan Parlimen bagi menuntut taraf ITM
dinaikkan.
Dalam perjalanan itu, menurut Ibrahim, 1,500 ditangkap, kira-kira 200
ke 300 dibawa di hospital, hanya lebih kurang 300 sahaja yang berjaya
tiba di bangunan Parlimen.
Yang luar biasa, semasa berjalan mereka tiba di Stesen Kereta Api
Batu 3, sekumpulan pelajar merampas kereta api dan para pelajar
kejuruteraan mengambil alih membawa jentera itu untuk ke Kuala Lumpur.
Polis terpaksa bertindak dan kami dapat melihat tabung-tabung gas pemedih api ditembak bagaikan percikan bunga api."
Hasil daripada peristiwa itu, ITM ditutup, namun kampus itu diambil
alih oleh para pelajar selama dua minggu. Pelajar Hotel Catering
menyediakan makanan, pelajar Komunikasi (Mass Comm) melakukan perang
saraf media, pelajar kejuruteraan menjalankan peranan mereka.
Kami bertahan selama dua minggu di kampus Shah Alam, Jalan Othman dan Seksyen 17 Shah Alam."
Kemudian perundingan dengan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein
pun berjalan. Saya mengetuai perjumpaan dengan Tun Razak dan Tan Sri
Ghazali Shafie (Menteri Dalam Negeri) di Jabatan Perdana Menteri. Pada
waktu itu semua ibu bapa kepada Exco-Exco KSITM dibawa ke Kuala Lumpur
dan ditempatkan di Hotel Hilton untuk memujuk para pemimpin pelajar
menghentikan tunjuk perasaan."
Dalam perundingan itu, cerita Ibrahim lagi, Tun Razak memberikan
surat perakuan kepadanya selaku Presiden KSITM bahawa kerajaan bersetuju
untuk menaik taraf sebahagian daripada Diploma ITM menjadi Ijazah Am,
tetapi dengan syarat pulang ke kampung dahulu.
ITM kemudian ditutup selama sebulan. Para pemimpin itu tidak pulang
ke kampung, sebaliknya berkampung di bangunan MAYC di Jalan Syed Putra
setelah mendapat kebenaran daripada Presiden MAYC ketika itu, Sanusi
Junid (Tan Sri). ITM kemudian dibuka semula sebulan selepas itu sekitar
awal Jun 1974. Sebahagian Diploma kemudian diiktiraf sebagai Ijazah Am.
Itulah perjuangan kami ketika itu," kata Ibrahim, bekas pelajar
Komunikasi Massa ketika itu yang kemudian Diplomanya diiktiraf sebagai
Ijazah Am. Ibrahim kemudian disumbat ke dalam ISA pada Disember tahun
yang sama kerana terbabit dalam demonstrasi Baling dan demonstrasi
menuntut ITM dijadikan Universiti.
Perjuangan beliau tidak habis sampai di situ sahaja. Perjuangannya
bagi menuntut ITM dijadikan universiti tidak putus-putus. Selepas keluar
daripada tahanan ISA pada 1978, beliau menyertai politik. Menjadi Ahli
Parlimen Pasir Mas pada 1986 beliau masih tidak putus bercakap mengenai
ITM untuk dijadikan universiti.
Saya dilantik menjadi Ahli Majlis Tertinggi UMNO pada 1992 dan
masih bercakap mengenai isu yang sama sehinggakan Dr. Mahathir pernah
berseloroh Ibrahim tak ada kerja lain asyik cakap pasal perkara itu
sahaja.
Pada 1999 saya dilantik menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana
Menteri menjaga hal ehwal undang-undang, saya mengadakan perhimpunan
siswazah ITM di Stadium Malawati Shah Alam dengan menjemput Dr. Mahathir
merasmikannya. Semua tokoh-tokoh korporat besar negara lulusan ITM
turut hadir. Datuk Najib Tun Razak selaku Menteri Pelajaran juga hadir.
Sebelum saya berucap saya sekali lagi bertanya kepada Dr. Mahathir
memohon supaya beliau mengumumkan ITM dijadikan universiti.
Dr. Mahathir kemudian toleh ke arah Najib dan bertanya kalau dia
umum ITM jadi universiti hari ini bolehkah dari segi perundangan? Najib
berkata, tiada masalah ia boleh dilakukan. Maka pada hari itu
bertukarlah ITM menjadi universiti atau dikenali sebagai UiTM," kata
Ibrahim kepada saya dalam satu pertemuan selepas majlis penganugerahan
oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) kepada Pengarah
pertama ITM, Tan Sri Arshad Ayub dengan Anugerah Bintang Pahlawan
Pribumi Perkasa serta diangkat sebagai Bapa Modal Insan Pribumi Perkasa,
Ahad lalu.
Ibrahim masih tidak puas hati. Beliau mahu melihat sebuah universiti
Melayu Bumiputera itu yang selama ini dipandang rendah oleh orang lain,
termasuk bangsanya sendiri, dipandang tinggi. Ibrahim bertanya kepada
Dr. Mahathir, UiTM perlu ditubuhkan Fakulti Perubatan, atau jika tidak
ia akan terus dipandang rendah.
Dr. Mahathir kemudian meluluskan penubuhan fakulti perubahan UiTM
yang kini adalah antara fakulti yang paling susah untuk dimasuki
berdasarkan meritnya yang tinggi," katanya.
Perjuangan belakang tabir Ibrahim terhadap ITM dan UiTM tidak selesai
apabila dengan menggunakan inisiatifnya, beliau menubuhkan Yayasan
Budiman, yayasan yang kini menaja para pelajar sederhana yang miskin
mencapai cita-cita mereka untuk menjadi kumpulan profesional melalui
program Destinasi Anak Bangsa. Para pelajar sederhana ini diambil
menjalani kursus pra-diploma selama enam bulan dengan dibiayai oleh
yayasan ini sehinggalah mereka mampu melanjutkan pelajaran dalam bidang
perakaunan atau kejuruteraan dan menjadi akauntan dan jurutera
profesional.
Itulah perjuangan para pemimpin pelajar dahulu. Bukan macam Khalid
Mohd. Ismath yang terbabit dalam perhimpunan Bersih baru-baru ini. Dia
dipengaruhi oleh Ambiga, Tian Chua, Mat Sabu dan lain-lain. Jauh
bezanya perjuangan kami dengan para pelajar sekarang. Kami tidak
dipengaruhi oleh parti politik. Dulu kami tidak mengizinkan langsung
dipengaruhi oleh mana-mana parti politik. Kami bukan anti kerajaan, tapi
kami berjuang untuk suasana kampus yang lebih baik, duit poket lebih
dan untuk anak bangsa. Kami tidak menentang kerajaan dan kami masih
boleh berunding dengan para menteri, TPM dan PM," katanya.
Semasa di bawah Arshad Ayub dulu, kata Ibrahim beliau menggalakkan
para pelajarnya berfikiran kritikal, tetapi berpandukan kepada isu-isu
dan bukan untuk menentang kerajaan.
Ibrahim menjangkakan dengan pindaan undang-undang Akta Universiti
Kolej Universiti (AUKU) yang membenarkan para pelajar menjawat jawatan
dalam parti politik maka keadaan akan menjadi lebih teruk lagi.
Para pelajar sekarang suka take side. Dan lebih teruk apabila para
pelajar ini dibawa oleh parti-parti politik pembangkang semasa cuti
untuk dicuci fikiran mereka menentang kerajaan," katanya.
Itulah yang membezakan ITM dan UiTM sekarang. Sebuah institusi yang
masih boleh bertahan dalam situasi politik UMNO semasa, dan tidak pasti
kedudukannya jika kerajaan sekarang terjunam dalam pilihan raya ke-13
kelak.
Hayat UiTM sebenarnya berada di hujung tanduk.
No comments:
Post a Comment