DARI UTUSAN MALAYSIA
16/8/2012
MEKAH 15 Ogos - Malaysia akan menyertai negara-negara Pertubuhan
Kerjasama Islam (OIC) menyokong cadangan badan itu menggantung
keanggotaan Syria berikutan pergolakan yang semakin meruncing di negara
itu, kata Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.
Perdana Menteri berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan syor-syor
dikemukakan oleh menteri-menteri luar negara anggota OIC berikutan
keadaan yang semakin meruncing di negara itu menyebabkan ramai rakyat
terbunuh termasuk wanita dan kanak-kanak.
Katanya, majoriti negara anggota bersetuju untuk berbuat demikian
kerana pergolakan di Syria sudah sampai ke tahap yang memerlukan OIC
mengambil tindakan lebih tegas.
Saya jangka keputusan ini akan disahkan oleh ketua-ketua kerajaan
OIC malam ini dan inilah juga pendirian yang akan disuarakan oleh
Malaysia," katanya pada sidang akhbar berhubung hasil Sidang Kemuncak
Luar Biasa Ke-4 OIC pada hari pertama di sini malam tadi.
Beliau berkata, keputusan untuk menggantung keanggotaan Syria itu dibuat secara konsensus. Ditanya sama ada OIC berusaha untuk berinteraksi secara terus dengan
Presiden Bashar Assad, beliau berkata, langkah-langkah itu telah diambil
tetapi Assad berkeras dengan tindakannya sehingga negara itu terjerumus
ke dalam kancah perang saudara.
Kita tidak ada pilihan lain kecuali untuk menggantung keanggotaan
Syria dan Syria perlu melakukan transisi kepimpinannya supaya sebuah
kerajaan baru dibentuk melalui demokrasi berdasarkan kehendak rakyat,"
katanya.
Menurut Perdana Menteri, selain Syria, dua isu lain yang turut dibincangkan semalam ialah mengenai Palestin dan Rohingya.
Mengenai Palestin, kebanyakan ketua negara menyentuh isu berkenaan
yang sudah lama diperjuangkan dan langkah seterusnya ialah berusaha
supaya Palestin diiktiraf sebagai sebuah negara di Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu pada perhimpunan yang akan diadakan bulan depan.
OIC perlu menentukan sikapnya sebagai satu kumpulan untuk menjadikannya satu realiti," katanya. Perkara ketiga yang disentuh ialah mengenai Rohingya yang mana OIC bersimpati dengan nasib mereka.
Ini juga salah satu isu yang perlu diperjuangkan oleh Malaysia dan
penting bagi OIC mengambil berat isu ini. Satu misi mendapatkan maklumat
yang akan diketuai oleh Setiausaha Agung OIC akan ke Myanmar untuk
melihat keadaan sebenar," katanya.
Beliau berkata, langkah menghantar misi ke Myanmar itu telah
dipersetujui oleh kerajaan negara itu dan Malaysia mengalu-alukan usaha
tersebut.
Katanya, OIC amat mengalu-alukan usaha Myanmar ini kerana melalui
penilaian oleh misi tersebut, OIC dapat menyusun langkah seterusnya bagi
memastikan hak asasi Muslim Rohingya dipertahankan.
Bagi Malaysia, isu ini juga amat penting kerana permasalahan yang
berlaku di sana menyebabkan kemasukan 90,000 rakyat Rohingya ke negara
ini.
Perdana Menteri juga memberitahu, beliau telah diberi penjelasan oleh
kerajaan negara itu bahawa perkara berkaitan Rohingya tidaklah seberat
yang dibangkitkan.
Saya menghargai penjelasan ini dan diharapkan melalui misi itu
nanti, negara-negara anggota ASEAN yang akan bersidang pada bulan
November akan datang juga dapat menentukan pendirian mengenai perkara
ini.
Kita juga mengalu-alukan jaminan Presiden Thein Sein bahawa dia
sedang melakukan tindakan konstruktif untuk meredakan isu Rohingya ini,"
katanya. - UTUSAN
KOMEN : HARAP TIDAK TERUS TIDUR LENA DENGAN PERMASALAHAN YANG DIHADAPI OLEH NEGARA-NEGARA ISLAM...
No comments:
Post a Comment