KUALA LUMPUR 27 Ogos - Pas dinasihatkan tidak
berharap kepada komitmen Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim
untuk melaksanakan hukum hudud sekiranya pembangkang berjaya membentuk
kerajaan pada masa depan.
Ahli Dewan Negara, Datuk S. Nallakaruppan (gambar) berkata,
berdasarkan kenyataan Anwar selama ini, beliau secara jelas menyatakan
hukum syariah itu tiada dalam dasar bersama pakatan pembangkang atau
dokumen Buku Jingga yang menggariskan agenda pakatan pembangkang.
Sehubungan itu, kata Nallakaruppan, beliau berasa kasihan terhadap
para pemimpin Pas yang beria-ia mahu memperjuangkan hukum hudud
sedangkan Anwar tidak bersedia melaksanakannya dan DAP pula secara
konsisten serta keras menentang agenda tersebut.
"Saya menghormati para pemimpin spiritual Pas yang tegas
memperjuangkan hukum hudud kerana mereka ikhlas dan komited terhadap
usaha itu, tetapi selagi berada dalam pakatan pembangkang, hudud dilihat
amat sukar dilaksanakan.
"Di samping itu, Pas tidak boleh berharap kepada Anwar kerana Anwar
sendiri takut terhadap hukum hudud apabila beliau selama ini terlibat
dalam pelbagai isu moral," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau yang merupakan bekas rakan karib Anwar selama lebih 30 tahun
mengulas mengenai pendirian Anwar selaku Ketua Pembangkang yang tidak
jelas mengenai hudud ekoran perbalahan berterusan Pas dan DAP dalam
aspirasi pelaksanaan hukum itu.
Pada sidang akhbar 28 September 2011, Anwar menjelaskan hudud bukan
merupakan sebahagian agenda pembangkang buat masa ini tetapi pada masa
sama memperakui kewujudan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan
Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003.
Dalam satu kenyataan menerusi blog beliau kelmarin pula, Anwar
sekadar menegaskan pakatan pembangkang mengiktiraf, menghormati
perbezaan pandangan serta kedudukan komponen pembangkang berkenaan hukum
hudud dan mendakwa ia merupakan penerimaan mereka terhadap amalan
konsensus politik.
Sementara itu, Nallakaruppan memberitahu, Pas dan rakyat tidak harus
terpedaya dengan tindak-tanduk serta kenyataan bercelaru Anwar dalam isu
hudud kerana Ketua Pembangkang tersebut mempunyai keupayaan
mengelirukan masyarakat.
"Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri dalam blog
beliau beberapa hari lalu mengakui terpedaya dengan imej Islamik Anwar
yang warak dan menasihatkan semua rakyat terutama penyokong pembangkang
tidak ikut tertipu.
"Seperti yang kita tahu, Anwar hanya bercita-cita menjadi Perdana
Menteri dengan apa cara sekalipun dan mengimpikan untuk menguasai
Putrajaya," katanya.
No comments:
Post a Comment