'Pembangkang muflis isu katakan saya ADUN MCA masuki masjid'
DARI UTUSAN MALAYSIA13/8/2012
JOHOR BAHRU 12 Ogos - Tiada perasaan marah
terpampang pada wajah Dahari Hassan, 53, ketika ditanya mengenai
kesilapan sebuah blog propembangkang yang melakukan kesilapan dengan
mengatakan beliau adalah seorang wakil rakyat Cina daripada Barisan
Nasional (BN) yang memasuki masjid.
Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pasir Gudang ini berkata, blog
tersebut menyiarkan gambar seorang lelaki lengkap berpakaian baju Melayu
yang disalah anggap sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor
Jaya, Tan Cher Puk dalam satu acara penyampaian sumbangan di Masjid
Saujana, di sini pada 29 Julai lalu.
"Bagaimana mereka kata memperjuangkan Islam sedangkan nasihat dalam
Surah al-Hujurat yang menekankan tentang kesahihan maklumat tidak
diikuti?
"Apa pun sempena bulan mulia ini saya sudah memaafkan perbuatan
tersebut, tetapi yang kelakarnya sekarang ramai rakan di Pasir Gudang
bergurau dengan memanggil saya 'YB Tan'," katanya ketika ditemui di sini
semalam.
Beliau yang mengusahakan perkhidmatan bas ekspres Suasana Jelita
berkata, apa yang berlaku jelas menunjukkan pembangkang sebenarnya tidak
profesional dalam berpolitik dan banyak bersandiwara.
Malah Dahari turut menghubungi Cher Puk, yang secara berjenaka
mengatakan wajahnya lebih mirip kepada Tan Sri Ong Ka Ting berbanding
beliau.
Menurut beliau, Barisan Nasional (BN) lebih mementingkan fakta
sebenar berbanding putar belit yang sering dimainkan pembangkang dan
meminta rakyat negeri ini sendiri menilai sama ada pembangkang layak
atau tidak menggantikan pemerintahan sedia ada.
Sementara itu, Cher Puk berkata, beliau memang berada di masjid
tersebut namun tidak menyampaikan sebarang ucapan berbaur politik malah
memastikan dirinya bersih sebelum masuk ke kawasan masjid.
"Saya juga berpakaian sopan dan datang untuk turut serta dalam acara
penyampaian bantuan kepada golongan kurang berkemampuan. Saya datang
dengan hati ikhlas bukan untuk kempen politik tetapi beri bantuan dan
berbuka puasa.
"Ini menunjukkan pembangkang sebenarnya sudah muflis isu dan rakyat
diminta jangan terpedaya dengan fitnah mereka ini. Nasihat saya kepada
mereka adalah belajar dengan BN yang bersungguh-sungguh membantu
rakyat," katanya ketika dihubungi.
KOMEN : BUKAN KESILAPAN TU, TAPI ASAL BOLEH JADI CERITA FITNAH BAGI AJE PADA PUAK PEMBANGKANG....
No comments:
Post a Comment