BUMBUNG MERAH
Bagi orang biasa, mereka hanya mahu mencari
sebuah rumah untuk membesarkan keluarga dan berteduh tanpa memikirkan
permainan hartanah yang menjadikan ramai individu kaya-raya.
Permainan jual beli hartanah adalah satu dunia yang memang jauh
daripada kemampuan diri, apatah lagi bagi golongan seperti kami yang
hanya mampu membeli rumah kos rendah sahaja.
Namun, kebelakangan ini saya dan rakan-rakan yang sama taraf melihat
dunia permainan hartanah semakin keji dan kotor apabila pemaju galak
membina rumah mahal sementara orang kaya membeli rumah kos rendah dan
sederhana sebagai 'pelaburan'.
Berita yang menyatakan Persatuan Pemaju Perumahan (REHDA) yang mahu
melupuskan kuota bumiputera yang tidak dapat dijual juga umpama menghina
kebijaksanaan orang biasa.
Kami tidak kaya tetapi kami juga tidak bodoh. Bagaimana mahu dijual
jika asyik membina rumah mewah yang harganya tidak kurang daripada
RM400,000 dan mencecah RM10 juta sebuah?
Adakah mereka ini ingin mempermainkan orang Melayu dengan membeli
tanah-tanah dan membina rumah yang sememangnya tidak mampu dimiliki kami
walaupun dalam tiga keturunan?
Jelas lagi nyata ini semua taktik untuk menghalau bumiputera kembali
ke kampung dan pedalaman dan menumpukan kaum tertentu sahaja di kawasan
bandar.
Sampai bila kerajaan mahu membiarkan ini berlaku tanpa menghadkan bilangan projek perumahan mewah di kawasan orang Melayu?
Seperti mana dapat dilihat kereta-kereta mewah di jalan raya
majoritinya dipandu kaum bukan Melayu. Kini sudah jelas wujud
penempatan-penempatan mewah yang didiami bukan Melayu bersama orang
asing yang membeli rumah di sini.
Di samping itu, kediaman sederhana dan kos rendah pula 'diserang'
golongan berduit yang mahu berkecimpung dalam permainan hartanah.
Walaupun kononnya sebagai pelaburan, tindakan mereka yang membeli murah
dan menjual mahal telah menyebabkan harga rumah melonjak dengan mendadak
dalam tempoh 10 hingga 15 tahun sebelum ini.
Ramai yang menjadi jutawan segera melalui aktiviti ini walaupun
kerajaan telah mengenakan caj jika menjual semula rumah yang baru
beberapa bulan dibeli.
Bayangkan untung bersih menjual rumah kos sederhana atau rendah boleh
mencecah RM100,000 sebuah sementara caj yang dikenakan hanya beberapa
ribu ringgit sahaja.
Mereka ini umpama penyangak mata wang tetapi memainkan harga hartanah terutamanya harga kediaman.
Akhirnya, kami yang mencari rumah untuk didiami menjadi pemilik
keempat atau kelima yang terpaksa membayar sehingga lima kali ganda
harga sebenar rumah tersebut.
Saya tahu orang yang bergiat dalam permainan hartanah mahupun warga
REHDA sendiri akan mempertahankan tindakan mereka sebagai satu proses
perniagaan biasa mahupun menyalahkan kenaikan kos barang binaan.
Namun, kami rakyat jelata tidak reda dengan cara 'penyamun tarbus'
ini dan tidak menghalalkan satu sen pun yang tergadai untuk mereka ini
menjadi kaya dengan mudah.
Saya harap kerajaan kembangkan lagi fungsi Syarikat Perumahan Negara
Berhad (SPNB) untuk membeli tanah-tanah dan membina rumah mampu milik
untuk didiami sahaja.
Hentikan gerakan membina rumah mewah yang tidak kena tempat dan
masanya serta halang aktiviti jual-beli rumah semata-mata demi
keuntungan.
Berilah peluang kepada anak-anak muda yang masih menyewa untuk
membeli rumah pertama mereka berbanding lanun-lanun kaya yang hanya mahu
menjadi lebih kaya.
No comments:
Post a Comment