DARI UTUSAN MALAYSIA
12/8/2012
KUALA LUMPUR 12 Ogos - Polis perlu segera menyiasat pendedahan
komplot fitnah di sebalik akuan bersumpah penyiasat persendirian P.
Balasundram yang menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.
Pakar undang-undang, Profesor Salleh Buang (gambar)
menegaskan, siasatan itu wajar diberi perhatian kerana ia membabitkan
satu pertuduhan cukup serius terhadap pemimpin nombor satu negara.
Menurut beliau, polis boleh menggunakan pendedahan itu sebagai satu
maklumat berhubung kemungkinan berlaku jenayah untuk memulakan siasatan.
Malah, Salleh berkata, Raja Petra juga perlu diheret sekali dalam
siasatan itu untuk mengetahui kesahihan maklumat yang didedahkan.
"Sama ada pendedahan itu benar atau sebaliknya, yang penting sekarang
adalah siasatan untuk menentukan kesahihan dakwaan Raja Petra itu.
"Bukan sahaja kes ini tetapi sesiapa pun yang didakwa membuat pembohongan dalam akuan bersumpah mesti disiasat.
"Orang ramai pun hendak tahu juga sama ada pendedahan itu betul atau
tidak, tidak boleh berdasarkan cakap-cakap (dakwaan) orang sahaja,"
katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendedahan Raja Petra
Kamarudin yang mendakwa akaun bersumpah Balasundram menuduh Perdana
Menteri terlibat dalam pembunuhan Altantuya dirancang oleh pembangkang.
Raja Petra turut mendakwa Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa bersama
seorang peguam di sebalik akaun bersumpah memfitnah Najib dan perkara
itu diketahui oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Suaram digesa beri penjelasan
KUALA LUMPUR 12 Ogos - Suara Rakyat Malaysia
(Suaram) digesa membuat penjelasan segera mengenai pembabitannya di
sebalik akuan bersumpah penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam yang
menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terlibat dalam kes
pembunuhan Altantuya Shaariibuu.
Bekas pengasas Parti Keadilan Rakyat, Ng Lum Yong berkata, Pengarah
Suaram, Kua Kia Soong dan bekas pemimpinnya, R. Sivarasa perlu tampil
menjelaskan peranan entiti tersebut dalam komplot memfitnah Najib
seperti yang didedahkan pengendali portal propembangkang, Raja Petra
Kamaruddin.
"Pada 2 Julai 2008, Sivarasa merupakan wakil Suaram yang mengarahkan
Raja Petra pergi ke rumah seorang peguam untuk membincangkan kes
pembunuhan Altantuya itu, membuktikan Suaram juga turut terlibat dalam
komplot tersebut.
"Jika benar Suaram tidak terlibat, satu penjelasan perlu diberikan
oleh Sivarasa dan Kia Soong dalam sidang akhbar terbuka," katanya ketika
dihubungi di sini hari ini.
Raja Petra pada Jumaat lalu mendedahkan bahawa akuan bersumpah
Balasubramaniam yang menuduh Najib terlibat dalam kes pembunuhan itu
telah dirancang pihak tertentu termasuk beberapa pemimpin pembangkang.
Raja Petra juga mendakwa Sivarasa yang sekarang Ahli Parlimen Subang
berperanan bersama seorang peguam di sebalik akuan bersumpah tersebut
bagi memfitnah Najib dan perkara itu diketahui Ketua Pembangkang, Datuk
Seri Anwar Ibrahim.
Sementara itu, Lum Yong turut mendesak Kia Soong dan Sivarasa
menjelaskan status sebenar Suaram yang didaftarkan sebagai sebuah
syarikat swasta dan bukannya pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Tegas beliau, sikap berdiam diri yang diambil itu seperti
menyembunyikan sesuatu dan perlu disiasat segera oleh Suruhanjaya
Syarikat Malaysia (SSM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
"Sebagai sebuah badan yang sering mendesak kerajaan agar lebih telus
dalam pelbagai hal tetapi apabila melibatkan diri sendiri semua senyap.
"Jika tidak, ia akan membuktikan Suaram sedang 'ditunggang' oleh
parti politik yang perlu didedahkan kepada semua rakyat Malaysia dan
juga dunia,"katanya.
No comments:
Post a Comment