DARI UTUSAN MALAYSIA
15/8/2012
MEKAH 14 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak
menyifatkan Sidang Kemuncak Luar Biasa Ke-4 Pertubuhan Kerjasama Islam
(OIC) selama dua hari yang bermula hari ini sebagai pertemuan istimewa
dan tepat pada masanya.
Perdana Menteri berkata, mengambil semangat Ramadan serta berlangsung
di kota suci, Malaysia berharap OIC dapat merumuskan keputusan penting
berkaitan permasalahan umat Islam yang berlaku ketika ini terutama
melibatkan Myanmar dan Syria.
Katanya, mesyuarat yang dipanggil oleh Raja Abdullah Abdul Aziz itu
memerlukan ketegasan OIC untuk mengambil langkah lebih positif bagi
menangani permasalahan umat Islam di Syria dan Myanmar.
''Perbalahan yang serius sedang menimpa rakyat Syria yang memerlukan
OIC mengambil tindakan lebih tegas, bukan sahaja tindakan politik tetapi
tekanan dan tindakan tertentu untuk menyelamatkan keadaan di Syria,"
katanya kepada wartawan Malaysia di sini malam tadi.
Syria, salah sebuah daripada 57 negara anggota OIC kini sedang
bergelut dengan peperangan antara pihak kerajaan pimpinan Bashar Assad
dan pemberontak. Ramai penduduk awam terbunuh dalam konflik tersebut.
Ditanya mengenai kemungkinan Syria disingkirkan dari OIC seperti yang
dilakukan oleh Liga Arab, Perdana Menteri berkata, perkara itu akan
diputuskan kemudian dalam mesyuarat yang akan berlangsung mulai malam
ini.
''Setakat ini mood dalam persidangan nampak menjurus kepada pendirian yang hampir sama dengan Liga Arab," katanya.
Perdana Menteri berkata, kemelut yang melanda umat Islam di Myanmar dan Syria tidak boleh dibiarkan berlarutan.
Sementara itu, menjawab soalan dalam satu temu bual khas dengan
stesen televisyen Huda TV, Perdana Menteri berkata, Malaysia setakat ini
telah menghantar pasukan khas untuk membantu pelarian etnik Rohingya
akibat keganasan yang meletus di Rakhine.
Pada masa sama, Malaysia akan meneruskan tekanan politik serta
mendapatkan penglibatan pertubuhan hak asasi manusia untuk memainkan
peranan lebih penting.
Katanya, OIC perlu bertindak sebagai satu suara yang mewakili masyarakat Islam seluruh dunia. - Utusan
KOMEN : APA PUN TANGAN-TANGAN GHAIB ADA MEMAINKAN PERANAN UTAMA BAGI MENGHANCURKAN PERPADUAN ORANG ISLAM... ORANG KAFIR NI TIDAK AKAN SENANG SELAGI KITA TIDAK MENGIKUT AGAMA MEREKA...
No comments:
Post a Comment