DARI UTUSAN MALAYSIA
14/8/2012
MEKAH 13 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang tiba
di Tanah Suci Mekah awal hari ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak Luar
Biasa kali ke-4 Persidangan Kerjasama Islam (OIC) esok, memulakan
aturcara beliau dengan menunaikan ibadah umrah.
Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta anggota rombongannya
termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir
Baharom dan Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Syed Omar Mohamad
Al-Saggaf memulakan ibadah umrah dengan tawaf mengelilingi Kaabah
kira-kira 7 pagi waktu tempatan.
Sidang Kemuncak Luar Biasa OIC itu bertujuan membincangkan situasi
terkini di negara dan dunia Islam dengan hasrat mengembalikan dan
mengukuhkan perpaduan umat Islam serata dunia serta memerangi unsur yang
membawa kepada perbalahan dan kekacauan.
Sidang kemuncak anjuran Raja Arab Saudi Raja Abdullah Abdul Aziz itu berlangsung di As-Saffa Palace.
Ia terletak bersebelahan Masjidil Haram dan ia bermula selepas solat
tarawih kira-kira 11 malam sehingga waktu bersahur kira-kira 4 pagi
mulai malam esok dan lusa.
Najib dijangka menyampaikan kenyataan pendirian Malaysia terhadap isu
yang bakal dibangkitkan dalam sidang kemuncak itu. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment