ECER tarik pelaburan RM32.7b sehingga akhir Jun
DARI UTUSAN MALAYSIA1/8/2012
KUALA LUMPUR 31 Julai - Datuk Seri Najib Tun
Razak berkata Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) telah menarik
pelaburan lebih RM32.7 bilion sejak 2007 sehingga akhir Jun tahun ini,
di mana RM12 bilion telah dicatatkan dalam tempoh enam bulan pertama
2012.
Perdana Menteri berkata, antara Januari dan Jun tahun ini, kelompok
pelancongan ECER telah menarik jumlah pelaburan tertinggi iaitu
kira-kira 55 peratus, diikuti oleh kelompok pembuatan (31 peratus),
kelompok pertanian (8.0 peratus), kelompok pendidikan (5.0 peratus) dan
sektor perkhidmatan (hampir 1.0 peratus).
"Kesemua projek ini dijangka dilaksanakan pada tahun ini," katanya di
dalam dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat majlis
kedua Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) tahun ini
di sini hari ini.
"Daripada jumlah pelaburan RM32.7 bilion yang telah berjaya ditarik
masuk ke ECER sejak 2007, kira-kira RM21.9 bilion telah pun diterima dan
mewujudkan hampir 30,000 peluang pekerjaan di samping menyumbang RM7
bilion kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK)," Najib.
Beliau juga Pengerusi ECERDC.
Katanya lonjakan dalam pelaburan tersebut disokong oleh peningkatan
infrastruktur yang dilaksanakan secara progresif di ECER serta
usaha-usaha promosi pelaburan yang giat dijalankan oleh ECERDC dengan
kerjasama Lembaga Kemajuan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Kementerian
Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata ECER kini berada pada
kedudukan yang kukuh dan berupaya menarik kedatangan para pelabur yang
berkualiti dari pelbagai jenis industri, termasuklah para pengiat
industri bertaraf dunia dari sektor bioteknologi.
"Ini adalah bukti jelas bahawa usaha Kerajaan untuk menjadikan ECER
sebuah wilayah maju menjelang tahun 2020 sudah mula membuahkan hasil.
"ECER kini sedang mengorak langkah ke arah merapatkan jurang
pembangunan yang wujud antara wilayah pantai timur dan pantai barat dan
ia telah berjaya mengukuhkan kedudukannya sebagai sebuah destinasi
pelaburan yang unggul, dinamik dan kompetitif di peringkat global," kata
Perdana Menteri.
Menurutnya, kesemua perkembangan itu sememangnya memberi kesan
positif kepada ECER, terutamanya bagi penduduk Wilayah ini yang kini
menikmati lebih banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan yang dijana
oleh kesemua pelaburan tersebut.
Antara pelaburan yang telah dicatatkan antara bulan Januari dan Jun
tahun ini adalah pengumuman oleh Gevo Inc. dari Amerika Syarikat untuk
membina sebuah loji bioisobutanol pertama di dunia yang menggunakan
bahan mentah biojisim bernilai RM1.65 bilion di Taman BioPolimer Kertih
(KBP), Terengganu.
Gevo akan mengikut jejak langkah CJ Arkema, sebuah syarikat usahasama
antara CJ CheilJedang Corporation dari Korea Selatan dan Arkema SA dari
Perancis, yang akan melabur RM2 bilion untuk membangunkan sebuah loji
bio-metionina yang pertama di dunia di KBP.
Kini, ECERDC telah menyiapkan kerja-kerja infrastruktur di tapak
kemudahan bio-metionina CJ Arkema di KBP dan pembinaan loji tersebut
dijangka bermula pada suku ketiga 2012.
Pengumuman Gevo itu merupakan salah satu hasil susulan daripada
pemeteraian dokumen kerjasama strategik antara Kerajaan Terengganu,
ECERDC dan Perbadanan Bioteknologi Malaysia (BiotechCorp) untuk
membangunkan kawasan seluas 1,000 hektar di KBP untuk pembinaan kompleks
biopenapisan yang terbesar di Asia.
Kompleks biopenapisan yang terletak di KBP itu merupakan satu mercu
tanda utama kerana ia merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia
yang menggunakan bahan mentah selulosa untuk menghasilkan produk
terbitan bio seperti karbohidrat lanjutan, biokimia, biobahan, biobaja
dan ramuan suapan aktif.
Kompleks biopenapisan ini dijangka menarik pelaburan RM7 bilion dan
keseluruhan projek itu dijangka menjana PNK terkumpul RM20.4 bilion
menjelang 2020 di samping membuka 2,500 peluang pekerjaan "hijau" di
Malaysia.
Sebagai tambahan, Najib berkata Kelantan telah menerima satu
rangsangan pembangunan utama dengan cadangan pelaksanaan projek
Pelabuhan Bersepadu Tok Bali.
Projek itu akan dibangunkan oleh East Coast Terminal Sdn Bhd dengan
pelaburan keseluruhan RM4.5 bilion, yang akan mentransformasi Tok Bali
untuk menjadi hub logistik bagi industri sektor berasaskan ikan,
pelancongan dan minyak dan gas, katanya. - BERNAMA
KOMEN : PUAK PEMBANGKANG MESTI SPIN YANG ECER NI TIPU RAKYAT HIDUP-HIDUP... MACAM SI KHALID KAT SELANGOR TIPU RAKYAT PASAL TALAM DAN AIR.... MEREKA APA PUN TAK BOLEH BUAT....
No comments:
Post a Comment