Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday 14 March 2012

PARLIMEN -Taat, kukuhkan perpaduan


DARI UTUSAN MALAYSIA
13/2/2012





YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan menerima watikah ucapan daripada Najib Tun Razak pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Persidangan Parlimen ke-12 di Parlimen, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/ABDUL RAZAK LATIF

KUALA LUMPUR 12 Mac - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah mahu semua rakyat di negara ini memperkukuhkan perpaduan serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menjejas atau menggugat kedaulatan negara.

Seri Paduka juga menyeru kepada semua rakyat supaya memberi taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada negara dan sentiasa memelihara, melindungi serta mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan.

Tuanku Abdul Halim turut meminta generasi muda khususnya berusaha memahami dan menghayati sejarah kemerdekaan negara yang merupakan hasil pengorbanan pejuang-pejuang kemerdekaan selain mengingatkan jangan ada pihak yang cuba menidakkan pengorbanan mereka.

Kepada semua ahli Parlimen pula, Yang di-Pertuan Agong berpesan agar sentiasa menjaga kehormatan dan kemuliaan dewan.

''Perbahasan hendaklah berlandaskan keikhlasan serta semangat untuk memajukan kehidupan rakyat. Semoga iltizam ahli-ahli Yang Berhormat akan meningkatkan keyakinan rakyat kepada dewan ini," titah Seri Paduka pada majlis pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-12 di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum itu, Tuanku Abdul Halim bersama Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah tiba di Dataran Parlimen kira-kira pukul 10 pagi dan selepas lagu Negaraku berkumandang, Seri Paduka berkenan memeriksa barisan kawalan kehormatan terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja dari Kem Sungai Besi di sini diketuai Mejar Amriza Mohd Ashaari.

Turut hadir Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia; Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Timbalan-timbalan Yang Dipertua Dewan.

Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menteri-menteri Kabinet, ahli-ahli Parlimen serta wakil kedutaan asing.

Dalam perkembangan berkaitan, Yang di-Pertuan Agong juga mahu generasi muda sentiasa menghargai kebebasan yang dikecapi ketika ini.

Menyentuh lebih lanjut mengenai soal perpaduan, Tuanku Abdul Halim mengharapkan para pemimpin di setiap peringkat, para cendekiawan, media massa serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memainkan peranan yang lebih berkesan dalam meningkatkan kefahaman dan penghayatan mengenai kepentingan perpaduan nasional.

Tidak ketinggalan Seri Paduka mengucapkan penghargaan kepada seluruh rakyat yang responsif kepada seruan kerajaan dengan bersama-sama memainkan peranan dalam agenda pembangunan demi melakar masa hadapan negara yang lebih cerah selain memahami niat jujur kerajaan melakukan yang terbaik meskipun menghadapi pelbagai cabaran.

''Beta menyeru agar rakyat terus memberi sokongan dan sumbangan untuk memastikan segala perancangan agenda pembangunan dapat direalisasikan," titah Tuanku Abdul Halim.

Selain itu, Seri Paduka turut menghargai sumbangan sektor swasta yang selama ini memainkan peranan penting dalam pembangunan negara dan berharap kerjasama pihak swasta serta kerajaan terus dipertingkatkan pada masa hadapan.

Mengenai Dasar Transformasi Nasional yang merangkumi Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP), Program Transformasi Politik (PTP) dan Program Transformasi Luar Bandar, Seri Paduka bertitah ia telah mula membuahkan hasil untuk dinikmati oleh rakyat.

''Kerajaan beta akan terus melaksanakan program dan projek di bawah Rancangan Malaysia kesepuluh (RMK-10) dengan memberi tumpuan kepada projek pembangunan berimpak tinggi dan bermanfaat kepada rakyat.

''Sesungguhnya usaha-usaha ini berhadapan dengan pelbagai cabaran. Namun, berkat usaha gigih kerajaan dan sokongan rakyat, negara kekal makmur walaupun dunia bergelut dengan krisis kewangan, kemelut politik dan ketidaktentuan persekitaran," titah Yang di-Pertuan Agong.

Dalam pada itu Tuanku Abdul Halim bertitah, perjalanan menuju ke arah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 bukan sahaja memerlukan transformasi ekonomi malah turut menuntut keseimbangan antara kepentingan individu dan kumpulan berasaskan kepentingan negara .

''Oleh itu, di bawah kepimpinan kerajaan hari ini, pelbagai usaha transformasi sosio politik telah dan sedang dilaksanakan antaranya termasuk penambahbaikan terhadap undang-undang dan peraturan, menambah baik sistem pilihan raya serta memastikan hak dan kebebasan hak asasi rakyat berlandaskan Perlembagaan terjamin.

''Ini termasuklah memansuhkan akta-akta yang dianggap mengehadkan kebebasan rakyat seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 di samping menggubal dan meminda undang-undang dan peraturan-peraturan untuk menjamin keselamatan negara serta mencegah keganasan dan ekstremisme," titah Seri Paduka.

Tuanku Abdul Halim bertitah, ini semua merupakan keputusan besar kerajaan untuk memperkukuhkan kebebasan sivil dan melaksanakan transformasi politik.

No comments: