Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday 28 March 2012

Kes hasutan: Karpal gagal merayu


DARI UTUSAN MALAYSIA
27/3/2012




PUTRAJAYA 26 Mac - Pengerusi DAP, Karpal Singh hari ini gagal merayu di Mahkamah Persekutuan berhubung perintah Mahkamah Rayuan mengarahkannya membela diri atas tuduhan mengeluarkan kata-kata hasutan membabitkan Sultan Perak, tiga tahun lalu.

Ia berikutan keputusan panel lima hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin membenarkan notis usul pihak pendakwaan yang memohon agar rayuan itu diketepikan tanpa mendengar meritnya.

Dengan keputusan tersebut, Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu dijadual memberi keterangan bela diri di Mahkamah Tinggi pada 30 dan 31 Mei ini.

Beliau bagaimanapun masih menunggu tarikh pendengaran di hadapan satu panel Mahkamah Rayuan lain untuk menyemak keputusan terdahulu yang mengarahkannya membela diri.

Hakim Zulkefli ketika membacakan keputusan ringkas itu menyatakan, isu berhubung perkataan 'keputusan' mengikut definisi Seksyen 3 Akta Mahkamah Kehakiman (COJA) 1964 yang dibangkitkan oleh pendakwaan, terpakai dalam prosiding hari ini.

Beliau menyatakan, panel tersebut sebulat suara bersetuju bahawa perintah Mahkamah Rayuan pada 20 Januari lalu tidak boleh dirayu pada peringkat ini kerana ia belum muktamad.

Hakim Zulkefli turut menyatakan, kuorum tersebut bersetuju dengan hujahan pendakwaan bahawa Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan yang dijadikan Karpal sebagai asas rayuan, perlu dibaca bersama Perkara 121(2) dan Seksyen 87 COJA.

Turut bersidang ialah Hakim Datuk Hashim Yusoff, Hakim Tan Sri Abdull Hamid Embong, Hakim Datuk Suriyadi Halim Omar dan Hakim Datuk Hasan Lah.

Karpal merayu selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 Jun 2010 yang melepas dan membebaskannya tanpa dipanggil membela diri.

Peguam terkemuka itu dituduh mengeluarkan perkataan berunsur menghasut terhadap Sultan Perak di firma guamannya, Tetuan Karpal Singh & Co di Jalan Pudu Lama di ibu negara di antara pukul 12 dan 12.30 tengah hari, 6 Februari 2009.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948, yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya.

Karpal yang mengetuai barisan pembelaan dalam rayuan itu berhujah, beliau layak diberi hak yang sama rata di sisi undang-undang seperti yang termaktub di bawah Perkara 8(1) Perlembagaan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Noorin Badaruddin berhujah, kesamarataan hak itu tidak mutlak kerana Perkara 8(1) perlu dibaca secara bersama dengan Perkara 121(2) Perlembagaan dan Seksyen 87 COJA.

Pendakwa raya turut menghujahkan, rayuan Karpal tidak sempurna pada peringkat ini atas alasan kes berkenaan belum selesai sepenuhnya.

Beliau bersama-sama Timbalan- Timbalan Pendakwa Raya, Manoj Kurup dan Azlina Rasdi berhujah, perintah Mahkamah Rayuan hanya boleh dirayu apabila kesnya dimuktamadkan dan hak beliau dilupuskan pada akhir kes pembelaan.

Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Karpal selepas mendapati kenyataan pada sidang akhbar itu termaktub di bawah pengecualian Seksyen 3(2)(a) Akta Hasutan.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan memutuskan perkataan-perkataan yang diucapkan oleh peguam tersebut mempunyai kecenderungan menghasut dan menimbulkan perasaan tidak puas hati dan kebencian rakyat terhadap Sultan Perak.

KOMEN : SAMPAI BILA NAK TEMBERANG...?

No comments: