Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday 6 March 2012

Agama ajar manusia hidup bersistem


Oleh Shamrahayu A Aziz
bhnews@bharian.com.my
2012/03/06



Wujud peradaban mulia dari segi jasad, roh bentuk masyarakat sempurna

SELAMAT bertemu lagi. Perkongsian saya pada minggu ini agak berat pengisiannya. Tetapi, saya fikir kita perlukan perbincangan ini untuk dijadikan dasar kepada beberapa perkara yang sudah sekian lama dan berterusan diperdebatkan dalam khalayak kita. Tujuan tulisan saya pada minggu ini ialah untuk membawa pembaca kepada falsafah atau dasar dan prinsip di dalam sesuatu budaya atau peradaban. Saya mahu pembaca sama-sama berfikir untuk menjadikan penghuni negara ini yang baik budi dan pekertinya serta membina budaya dan peradaban negara yang murni dan seterusnya menjadikan tanah air ini tempat yang teratur sistem sosialnya.

Saya impikan setiap ahli masyarakat memberi sumbangan. Saya impikan setiap kita menyedari hakikat bahawa kewujudan kita adalah bagi meneruskan kelangsungan agama, bangsa dan negara kita – bukan semata-mata wujud untuk mencari kekuasaan dan kemewahan.

Saya impikan setiap kita sedar tanggungjawab utama ini. Oleh itu perjuangan setiap kita adalah untuk kesentosaan negara tercinta, bukan untuk kepentingan diri sendiri atau ahli keluarga kita saja.

Tanggungjawab utama kita adalah untuk menjadikan budaya dan peradaban kita yang sentosa dan sempurna dari segi jasad dan rohnya. Meletakkan keduanya secara bersama dan seiring dengan tujuan supaya kita mempunyai peradaban yang bukan saja sempurna fizikal tetapi tenteram rohaninya. Kita mahukan negara yang mempunyai prasarana fizikal mencukupi (bahkan baik dan mewah). Pada masa sama kita juga mahukan peradaban yang mempunyai roh aman dan tenteram – jauh daripada jiwa yang kacau.

Kita tidak dapat menafikan bahawa peradaban yang mementingkan pembangunan jasad saja, (tanpa roh) boleh memberi manfaat dari segi fizikal dan materialnya. Kita lihat sudah banyak pembangunan fizikal di dalam peradaban yang memisahkan roh daripada jasadnya.

Kita lihat ini dalam peradaban Barat yang disandarkan kepada sekularisme atau pemisahan antara negara dan agama. Namun, apa yang didapati ialah tanpa makanan rohani, penghuni di dalam peradaban ini akan menjadi bankrap moralnya dan kucar-kacir aturan sosialnya. Peradaban sebegini akan melahirkan masyarakat yang lucut moral, mementingkan diri serta hilang harga diri.

Oleh itu, sekiranya peradaban negara ini dibina atas konsep kerohanian yang tidak jelas, atau bersandarkan kepada kebendaan dan menjurus kepada pemisahan antara jasad dan roh umpama falsafah sekularisme, maka sudah tentu peradaban kita juga akan menemui pengakhiran atau simpulan serupa.

Dalam memperkatakan kedudukan roh dalam sesuatu peradaban, maka kita tidak boleh lari daripada menuntut pertolongan daripada agama atau ketuhanan. Agama dan ketuhanan itu mengajar manusia kepada hidup bersistem.

Melatih manusia kepada sistem hidup yang dikawal oleh satu sumber kuasa di luar kemampuan manusia itu sendiri. Kewujudan agama atau kawalan daripada luar bidang keilmuan manusia ini, walaupun mendapat tentangan, masih belum wujud hujah sejagat yang boleh menafikan sumbangannya. Oleh itu agama dan ketuhanan adalah unsur penting kepada peradaban.

Walaupun begitu, sekiranya sesuatu peradaban itu tidak sepenuhnya menafikan agama atau ketuhanan, dan sekiranya ia tidak memberi nilai yang sesuai atau tidak meletakkan agama atau ketuhanan pada tempat yang benar dan tepat, maka ia tidak akan dapat mencapai natijah atau hakikat sempurna. Seterusnya ia akan mengundang kemusnahan kepada peradaban itu.

Sudah banyak contoh yang menunjukkan kekeliruan dan kesan negatif dalam sebuah peradaban yang menolak agama dan ketuhanan. Kita juga lihat kadar kekeliruannya meningkat. Sebagai contoh mudah, kekeliruan susun atur nasab atau keturunan (family tree) dalam perkahwinan sejenis, homoseksual dan lesbian.

Sudah tentu perkahwinan sejenis tidak dapat melahirkan zuriat. Ekoran itu, timbul pula kejayaan sains yang boleh menyediakan perolehan zuriat melalui sistem ibu tumpang bagi pasangan yang sama jantina.

Kemudiannya anak yang dilahirkan itu dibesarkan dalam ‘keluarga’ yang hanya mempunyai ‘ibu bapa’ yang sama jantina – sama ada dalam pasangan homoseksual atau lesbian. Lama kelamaan, sistem ‘keluarga’ sebegini menjadikan manusia itu sendiri keliru.

Pada fitrahnya, pasangan bermaksud berlainan jantina. Pada fitrahnya ‘ibu bapa’ adalah pasangan yang berbeza jantina. Oleh itu peradaban ini menjauhkan manusia daripada fitrahnya dan seterusnya meruntuhkan sistem sosial manusia itu sendiri.

Oleh itu, peradaban yang mementingkan kehendak dan nafsu manusia yang tiada kawalan agama serta berfalsafahkan kebebasan semata-mata sudah terbukti kegagalannya dalam mengawal keperibadian dan keteraturan sosial fitrah kemanusiaan.

Adakah kita mahu kekeliruan dan kecelaruan sebegini terjadi kepada peradaban kita. Sudah tentu kita tidak mahu. Jika itu kehendak kita, maka hendaklah kita terus berusaha dan menangkis sebarang percubaan atau tekanan untuk meletakkan nafsu manusia di atas segala kehendak agama dan ketuhanan.

Saya percaya, tidak ada makhluk yang lebih mengetahui daripada ilmu dan pengetahuan Penciptanya.

Penulis ialah Profesor Madya di Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

KOMEN : PILIHAN DIHATI DAN MINDA KITA... KEMANAKAH ARAH TUJUAN KEHIDUPAN KITA SELEPAS INI?

No comments: