Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday 4 March 2014

Permohonan Anwar taktik tangguh - DI TOLAK


Oleh SUWARNI MOKHTAR 
pengarang@utusan.com.my




PUTRAJAYA 3 Mac - Mahkamah Rayuan yang menolak permohonan ketiga Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menggugurkan peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah daripada mengetuai pasukan pendakwaan, menyifatkan permohonan terbaharu Ketua Pembangkang itu hanya bertujuan melengah-lengahkan rayuan terhadap pembebasannya daripada tuduhan liwat.

Sambil menganggap perkembangan rayuan tersebut begitu perlahan seperti siput, Datuk Balia Yusof Wahi yang mengetuai panel tiga hakim dengan tegas menolak permohonan Anwar untuk menangguhkannya, sekali gus memerintahkan rayuan pihak pendakwaan itu diteruskan pada Khamis dan Jumaat ini.

"Terdapat elemen yang menunjukkan bahawa permohonan dibuat atas tujuan untuk melengahkan rayuan pihak pendakwaan yang pada ketika ini bergerak begitu perlahan seperti siput. Tiada sebarang perkembangan dalam rayuan itu sejak Julai 2013," kata beliau.

Hakim Balia yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Aziah Ali dan Hakim Datuk Mohd. Zawawi Salleh sebelum itu sebulat suara menolak permohonan terbaharu Anwar untuk menyingkirkan Muhammad Shafee yang difailkan pada 25 Februari lalu.

Dalam keputusan tersebut, mahkamah mendapati bahawa permohonan kali ketiga Ahli Parlimen Permatang Pauh itu adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah dan remeh.

Panel tersebut juga berpendapat, mahkamah tidak boleh memutuskan bahawa Muhammad Shafee adalah tidak layak dan sesuai untuk mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan terbabit semata-mata atas keputusan Jawatankuasa Tatatertib Majlis Peguam.

Selain itu, kuasa melantik seseorang individu untuk mewakili pihak pendakwaan merupakan kuasa mutlak Peguam Negara yang tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa.

Anwar mengemukakan permohonan itu atas alasan pada 5 Oktober 2012, Muhammad Shafee telah didenda RM5,000 selepas didapati melanggar Akta Profesion Undang-Undang 1976 dan keputusan jawatankuasa itu dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dua percubaan Anwar untuk menggugurkan Muhammad Shafee daripada mengetuai pihak pendakwaan dalam rayuan kes liwatnya sebelum ini telah ditolak sehingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan.

Berhubung permohonan penangguhan rayuan itu Hakim Balia menyatakan, tiada sebarang keadaan istimewa yang membolehkan rayuan tersebut ditangguhkan walaupun pihak pembelaan ingin merayu di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan hari ini.

"Kami mendapati bahawa tiada sebab khas untuk menangguhkan rayuan. Rayuan terhadap kes liwat itu akan berjalan pada 6 dan 7 Mac ini, pukul 9 pagi," kata Hakim Balia.

Rayuan kes liwat itu telah ditangguhkan sebanyak tiga kali sejak Disember 2013.

Anwar, 67, dilepas dan dibebaskan pada 9 Januari 2012 daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 28, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di ibu negara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Keputusan itu dibuat selepas perbicaraan kes liwat itu tertangguh sebanyak 69 kali.

Esok, Mahkamah Persekutuan akan mendengar rayuan Anwar untuk memanggil semula bekas pegawai penyiasat kes liwat terbabit, Supritendan Judy Blacious Pereira setelah Mahkamah Rayuan menolak permohonannya pada 12 Februari lalu.

Permohonan tersebut dibuat untuk mencabar kredibiliti saksi pendakwaan itu berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 15 Januari lalu yang membatalkan petisyen Judy untuk menjadi peguam bela dan peguam cara.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140304/ma_01/Permohonan-Anwar-taktik-tangguh#ixzz2uxEBiVaN  © Utusan Melayu (M) Bhd 



KOMEN : BILA NAK SELESAILAH KALAU ASYIK DI TANGGUH...

No comments: